PERADUAN MENULIS CERPEN PARANORMAL UNTUK KOMUNITI E-NOVEL
SUASANA kelas 4
Sains Cemerlang riuh-rendah bunyinya. Sebaik loceng tamat sekolah berbunyi,
keadaan mula berubah menjadi seperti di pasar ikan. Melia hanya tersenyum dan
menggelengkan kepala, dia merasa sungguh terhibur dengan gelagat anak-anak muridnya.
Sebentar tadi Melia
telah mengumumkan bahawa rombongan ke Langkawi yang mereka rencanakan
beberapa bulan lepas sudahpun mendapat lampu hijau. Semua pelajar kelihatan teruja.
Ada yang melompat-lompat kegirangan. Mereka mula membentuk kumpulan-kumpulan
kecil dan berbual sesama sendiri.
Sambil berpura-pura
menanda buku latihan murid, Melia menjeling Nur Syafinaz yang duduk termenung memerhatikan
keriangan kawan-kawannya. Hanya dia seorang sahaja yang tidak turut serta.
Bapanya sudah lama meninggal dunia, dan ibunya tidak mampu mengeluarkan wang seratus ringgit untuk perbelanjaan seperti yang diminta. Luluh hati Melia melihatkan Nur
Syafinaz yang dikenali di kalangan kawannya dengan gelaran Pinat, menyendiri di
saat kawan-kawannya yang lain bergembira.
*****
KEMUNCULAN Nur Syafinaz di pagi hari yang dijanjikan, mengejutkan semua orang. Dari jauh, Melia melihat kelibat Nur Syafinaz sedang dikelilingi kawan-kawannya. Mereka kelihatan terkejut dan teruja. Maklumlah, selama ini, Nur Syafinaz tidak pernah mampu ikut serta.
Kardigan merah
jambu yang Melia berikan beberapa hari lepas, tersarung cantik di badan Nur
Syafinaz. Dia nampak sungguh comel. Walaupun Kardigan itu
mahal, dan dibeli ketika berpergian ke Bandung, Melia tidak pernah memakainya.
Entah kenapa, dia rasa tidak selesa. Dia merasakan seperti ‘remaja tua’ bila
memakai baju begitu. Sudahnya…dia berikan baju itu kepada Nur Syafinaz tanpa ada
sebarang rasa ralat di dada.
“ Cantik. Kena
sungguh baju ini dengan kamu.” Melia menegur, sebaik sahaja Nur Syafinaz
menghampirinya.
“ Terima kasih
Cikgu. Cikgu Mimi juga. Mak kirim salam pada cikgu berdua. Saya terharu, kalau
bukan kerana Cikgu Melia dan Cikgu Mimi, saya tak mungkin dapat bersama
kawan-kawan,” ucap Nur Syafinaz lembut.
“ Tak apa. Itu
sumbangan kecil kami aja. Tentang baju tu, saya tak pakaipun…”
“ Nanti
simpanlah elok-elok baju tu. Ini duit belanja untuk kamu. Lima puluh ringgit. Ambillah!”
Cikgu Mimi yang tersengih di sebelah Melia menghulurkan not lima puluh ringgit.
Nur Syafinaz
mengangguk, dengan riak serba-salah dia menyambut wang itu “ Terima kasih lagi
sekali. Saya akan simpan elok-elok duit ni. Baju ni pula, akan saya pakai
sampai akhir hayat saya.” Suara Nur Syafinaz jadi bergetar kerana terharu.
Melia
menepuk-nepuk bahu Nur Syafinaz. Selepas itu dia menghulurkan beg berisi kamera
berjenama Canon kepada Nur Syafinaz.
“ Kamu Presiden
Persatuan Fotografi kan! Jadi saya amanahkan kamera ini pada kamu. Saya mahu
kamu ambil gambar cantik-cantik. Semua gambar dari waktu menunggu untuk
bertolak, tempat lawatan dan aksi kawan-kawan. Masa kamu ambil gambar hari
sukan dulu, semuanya cantik-cantik. Guru Besar pun suka. Nanti kita masukkan
dalam majalah sekolah. Boleh?”
“ Boleh cikgu.
Tapi kamera ni mahal, saya takut hilang…”
“ Tak apa, bila
habis bergambar, tak mahu gunakan lagi..pulangkan pada saya. Saya kan pergi
sekali, apa yang kamu nak risau?”
Nur Syafinaz
tersenyum lantas meminta izin untuk mula merakam aksi kawan-kawannya dan juga
suasana sebelum rombongan bertolak.
*****
“ BAGUS jugak
kau bagi idea tentang berkongsi taja penyertaan Nur Syafinaz. Terkejut jugak
aku bila Kak Syimah tu izinkan. Aku rasa bahagia tengok dia happy.” Cikgu Mimi memandang Nur Syafinaz
yang sedang merakam gambar kawan-kawannya.
“ Aku pun. Tapi
masa aku ke rumah dia dan minta keizinan Kak Syimah, aku guna ayat diplomasilah
sikit.”
“ Kau kata
apa?”
“ Aku cakap, semua
perbelanjaan di bawah tanggungan aku dan engkau. Pinat pelajar yang cerdik.
Selama inipun, dia amat memahami keadaan Kak Syimah… dan dia selalu terlepaskan
peluang bergembira dengan kawan-kawannya.
Lepas tu, aku
bagi tau dia, apa yang Pinat cakap kat aku. Ayat yang Pinat kata ‘duit seratus
tu, lebih baik buat beli makanan untuk adik-adik daripada dia habiskan bersuka
ria’ tu. Aku cakap, kenyataan dia tu buat aku terharu. Dan, aku rasa, sebagai
anak yang baik dan pelajar yang cemerlang, kita patut beri dia ganjaran.” Melia
berhenti sebentar. Dia merenung ke arah Nur Syafinaz yang sedang asyik dengan
kamera di tangan.
Cikgu Mimi
turut memandang ke arah yang sama. Dia mengangguk kepalanya, “ betul tu, kita
memang patut beri dia ganjaran. Budak cerdik macam dia, perlu juga keluar
melihat dunia, bukan asyik terperuk kat kampong ni. Sudahlah TV pun dia tak
ada…”
Melia
mengangguk. Nur Syafinaz memang perlu melihat dunia luar.
“ Eh! Mana
Ustaz Fitri dengan Daniel Hakimi? Kata nak ikut sekali!” Melia tiba-tiba
mengubah tajuk perbualan.
“ Tu! Ada kat
sana tu, tengah bebual dengan Cikgu Zizan. Aku tengok, Cikgu Zizan tu, dari
tadi asyik jeling kat kau aja. Dia tak ikut sekali ke?”
“ Dia nak ikut,
tapi aku tak bagi. Segan aku kalau dia tunjuk caring semacam depan budak-budak. Dalam kelakar dia, kalau dia buat
aksi caring, naik geli geleman pun
ada…” jawab Melia sambil memandang ke arah Ustaz Fitri yang sedang dipeluk
kakinya oleh Daniel Hakimi.
“Kau ni, dia
sayang engkau tu…bagilah dia peluang. Kau macam pernah frust aja, padahal aku
tak pernah tengok kau ada boyfriend.” Ayat terakhir Cikgu Mimi membuatkan Melia
terpempan. Melia mengeluh di dalam hati. Kalaulah Cikgu Mimi tahu yang dia
pernah menyimpan hati pada Ustaz Fitri…
Maher Zain, tiba-tiba menjerit dengan lagu
‘Insyallah’ dari dalam beg sandang Melia. Kelam-kabut Melia mendapatkan telefonnya.
“ Ayah
telefon.” Kata Melia sebaik melihat skrin telefon. Dia terus menekan butang
untuk menjawab.
Malang bagi
Melia, bila ayahnya menyampaikan berita sedih tentang kematian neneknya. Melia
terpaksa membatalkan pemergiannya dan pulang ke Tanjung Piandang, tempat asal ayahnya.
Atas idea Cikgu Mimi, Cikgu Zizan diminta menggantikan tempat Melia memantau keselamatan
para pelajar.
*****
NEK YAM sudahpun selamat dikebumikan selepas Asar. Hidup Melia tiba-tiba terasa kosong. Rupanya, hilang seseorang yang tersayang kerana
meninggal dunia, sedihnya lebih berganda berbanding kehilangan Ustaz Fitri
kerana cinta. Melia tahu, dia
pasti akan rindukan Nek Yam yang kelakar dan sentiasa menasihatinya.
“ Melia dah tak
ada nenek. Melia akan sentiasa rindukan Nek Yam…” kata-kata Melia terhenti di situ kerana sebak.
“ Sudah sampai
masa nenek untuk pergi. Kita kena lepaskan dia dengan redha,” balas Kak Rahimi,
sepupu Melia. Pasti Kak Rahimi yang lebih terasa ketiadaan nenek, kerana nenek
yang membesarkannya.
Bunyi mesej
masuk bersama getaran telefon, membuatkan Melia terkejut. Dia mengurut dadanya. Ibu Melia dan Kak Rahimi hanya tersenyum melihat gelagatnya. Sebaik melihat skrin telefon, ada mesej dari Cikgu Mimi, yang
bertulis,
‘Kau OK? Semua urusan dah selesai? Kami
dalam perjalanan ke Telaga Tujuh. Nur Syafinaz sedih kau tak ikut. Dia
pulangkan kamera kau tu. Takut hilang katanya’
Selepas membaca
mesej Cikgu Mimi, Melia serta merta membuat panggilan telefon kepada Cikgu
Mimi,
“ Salam Mimi.
Tolong pass telefon pada Pinat!”
“ Pinat jer,
Cikgu Zizan… tak nak ke?”
“ Ala…jangan
main-mainlah. Bateri telefon aku nak habis ni…”
“ OK!...OK! Sorry!
Tunggu kejap ye…” Kedengaran bunyi tapak kasut dan riuh rendah suara para
pelajar. Melia terdengar nama Nur Syafinaz dipanggil.
“
Assalamu’alaikum! Cikgu Amelia! Pinat ni…” suara kecil Nur Syafinaz bergema di
corong sebelah sana.
“ Pinat dengar
sini, cikgu tak boleh cakap lama, sebab bateri telefon cikgu dah nak kong. Pinat jangan takut nak guna kamera
tu. Jaga aja baik-baik. Kalau apa-apa terjadipun, cikgu tak akan salahkan Pinat.
OK?”
“ Baik cikgu. Pinat
janji…Pinat akan jaga barang cikgu tu, macam nyawa Pinat sendiri. Cikgu akan
dapat balik kamera cikgu tanpa apa-apa kerosakan. Cikgu…” kata-kata Nur
Syafinaz terputus di situ. Skrin telefon terus menjadi gelap.
“ Alamak!
Bateri habis! Charger pula tak bawa…”
“Kalau telefon
Sony Ericson, kau boleh pinjam Adam punya. Nanti akak telefon Adam.”
“ Huh!
Lega…nanti lepas Maghriblah saya pergi ke rumah Adam.”
*****.
HUJAN turun dengan
lebat sewaktu Melia sampai di rumah Adam. Melia nampak kelibat Nana, isteri
Adam menjengah di tingkap dan melambai sebaik Melia keluar dari dalam kereta.
Melia berpeluk tubuh menahan kesejukan sambil melangkah masuk ke rumah Adam.
“ Aik! Mana
sorang lagi? “ Soal Nana sambil berjalan ke arah pintu dan menjengah ke luar.
“ Tak adalah.
Kak Melia datang sorang je. Kenapa Nana tanya macam tu?”
Mata Nana yang
bundar itu, seperti tersembul memandang Melia. Muka Nana kelihatan pucat dan
tangannya mula mengurut-ngurut leher.
“ Tadi masa Kak
Melia keluar dari kereta, Nana nampak ada sorang budak perempuan pakai baju
sejuk sedang berdiri di belakang akak. Nana ingat, akak bawa anak murid akak
balik kampong…”
“ Biar betul!”
Entah kenapa, bulu roma Melia meremang tiba-tiba. Dia bergerak ke pintu dan
turut melihat ke luar.
Hajat untuk
meminjam charger bateri telefon dari
Adam dan pulang semula ke rumah Nek Yam dibatalkan. Akibat terlalu takut, Melia
tidur di bilik tetamu di rumah Adam.
Melia terjaga
di tengah malam kerana merasa terganggu…
“ Cikgu….
Cikgu…” Seperti di awang-awangan, Melia mendengar suara seseorang memanggilnya. Dia membuka mata dan disambut oleh wajah sedih Nur Syafinaz
merenungnya dari birai katil.
“ Pinat! Buat
apa kat sini?” Soal Melia, masih dalam keadaan keliru. Tak tahu samada dia
sedar atau bermimpi.
“ Pinat sejuk.
Pinat takut…Pinat tak boleh balik. Cikgu tolong Pinat!” Sayu suara Nur Syafinaz
menuturkan ayat-ayat itu. Entah kenapa, Melia jadi sebak dan terharu.
“ Kenapa Pinat.
Pinat nak cikgu buat apa?”
“ Pinat
terkurung di satu tempat. Pinat nampak ada pokok besar dengan akar berjuntai
sampai ke tempat Pinat. Cikgu tolong Pinat!”
“ Tapi Pinat kan
ada depan cikgu, macam mana Pinat boleh datang kat sini?”
“ Kamera cikgu,
Pinat bungkus dengan baju. Pinat sembunyikan kat bawah batu dekat perdu pokok besar
tepi tapak kemah. Pinat dah janji nak jaga kamera cikgu. Cikgu
akan dapat balik dalam keadaan baik…”
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan bertalu-talu di pintu bilik.
“ Kak Melia!
Kak Melia! Suara Adam dan Nana bertingkah memanggilnya.
Melia terkejut.
Dia bergegas membuka pintu. Adam dan Nana terjengol di situ dengan muka yang cemas.
“ Kak Melia
berbual dengan siapa?”
“ Dengan Pinat.
Kenapa?” Namun, Melia tiba-tiba terkejut dengan jawapannya sendiri. Dia
berkalih memandang katil. Kelibat Nur Syafinaz sudah tiada di situ. Melia
terkejut. Mukanya berubah pucat. Tiba-tiba dia rasa bulu romanya meremang.
Kepala terasa kembang menjadi sebesar bakul.
“ Tadi, Pinat
ada kat sini…” Melia bergegas menghampiri tempat Nur Syafinaz duduk tadi. Tilam di
bahagian itu, basah lencun. “ Tadi, dia kat sini. Akak baru berbual dengan
dia…” Adam dan Nana berpandangan.
Rasa tidak
sedap hati tiba-tiba menerpa. Melia mencapai telefon bimbit yang masih terlekat di wayar charger. Sebaik menanggalkan charger, dia menekan butang ‘on’
untuk menghidupkan telefonnya. Sudah menjadi amalannya untuk mematikan telefon
setiap kali bateri dicaskan.
Sudah pukul 3
pagi rupanya. Serentak dengan itu, dia dikejutkan dengan bunyi mesej masuk
bertalu-talu. Ada berpuluh panggilan masuk. Panggilan dari Cikgu Mimi dan ada juga
dari Cikgu Zizan.
Tanpa
berlengah, Melia membuat panggilan ke nombor Cikgu Mimi. Sebaik memberi salam,
Cikgu Mimi terus bercakap tanpa berhenti. Melia hanya mendengar. Dan, air mata
jatuh berlinangan tanpa dia sedar. Melia akhirnya menamatkan perbualan, dan
merenung Adam dan Nana tanpa berkelip.
“ Kenapa Kak
Melia?” Soal Nana.
“ Pinat… dia
lemas sewaktu mandi di air terjun Telaga Tujuh. Sampai sekarang, mayatnya belum
dijumpai. Rupanya tadi, dia datang beritahu dia kat mana…”
*****
MELIA masih tidak mampu berhenti menangis. Sudah
puas dia dipujuk oleh Cikgu Zizan untuk balik. Namun sejak tadi, dia berkeras
mahu menunggu. Adam yang menemaninya ke Langkawi, hanya memandang. Tiada siapa
mampu membuat Melia bergerak dari tempat dia berdiri. Semua orang sedar dan
tahu, Melia dibelenggu rasa bersalah. Dia yang bertanggung-jawab membawa Nur
Syafinaz ke Langkawi. Buat masa ini, dia seperti lupa yang segalanya sudah
ditentukan Allah.
Mayat Nur
Syafinaz akhirnya dinaikkan selepas dua jam Melia menunggu. Lututnya terasa lemah sebaik diberitahu yang
mayat Nur Syafinaz sudah ditemui dengan kardigan merah muda masih tersarung di
badannya. Memang betul, mayat itu ditemui tepat di lokasi yang Melia beritahu
melalui telefon pagi tadi. Kini, mayat itu sedang dibawa ke dalam trak polis.
“ Dia cakap
semalam, dia akan pakai baju tu sampai akhir hayat…” sayu bunyi suara Melia
setelah sekian lama hanya menangis.
“ Nana cakap, budak perempuan yang dengan Kak Melia semalam tu,
pakai baju sejuk warna pink juga,” celah Adam sambil memandang Cikgu Zizan.
Cikgu Zizan hanya menggaru kepalanya. Segalanya seperti susah hendak diterima
akal.
“ Semua yang
terjadi, terjadi dengan kehendak Allah. Dia yang Maha Berkuasa. Kita antara
orang bertuah dapat melihat keajaiban ini.” Ustaz Fitri yang baru muncul dari
lokasi pencarian, bersuara perlahan.
“ Betul tu
ustaz! Sudahlah Kak Melia. Jomlah! Kita balik,” saran Adam.
“ Kejap! Kat
mana kemah persalinan didirikan? Tolong bawa aku ke sana…” tiba-tiba Melia
bertanya.
“ Kenapa?” Soal
Cikgu Zizan. Namun bila melihat muka Melia yang serius, dia mengalah. Cikgu
Zizan mendahului yang lain berjalan ke arah tapak perkemahan.
Sebaik sampai
ke situ, Melia meluru ke perdu pokok sebesar dua pemeluk. Dia meneliti keadaan
sekeliling dan akhirnya bergerak menuju ke arah longgokan batu-batu kecil di
antara dua bongkah batu yang lebih besar. Dia mula memindahkan batu-batu kecil
itu ke tepi. Melia akhirnya menemui gumpalan baju T di bahagian bawah sekali.
Kamera Canon
kesayangan Melia tersimpan kemas di dalam gumpalan baju seperti yang diberitahu
oleh entiti Nur Syafinaz awal pagi tadi. Masih elok tanpa sebarang calar.
“ Dia cakap, dia
akan jaga kamera aku, macam nyawanya sendiri. Semua ini terjadi dengan izin
Allah kerana sebuah janji dari seorang yang jujur mahu menunaikannya…” ucap Melia
dengan perlahan.
Melia tidak
dapat menahan kesedihannya. Dia memeluk gumpalan baju bersama kamera tersebut
dan terus menangis. Tiada apa yang dapat dibuat oleh Cikgu Zizan dan Ustaz
Fitri, mereka sekadar memandang dengan pandangan yang sayu. Hanya Adam yang
cuba mententeramkan Melia dengan mengosok bahunya dengan perlahan.
TAMAT
--------------------------------------------------------------------------------------
Tak tahu samada, cerpen ini boleh dikategorikan sebagai Paranormal atau tidak. Saya sekadar mahu memeriahkan pertandingan.
Cerita ini berdasar pengalaman saya dan cerita dari mulut kawan. Insiden menumpang kereta itu adalah pengalaman saya. Suatu hari, sewaktu balik dari kerja sekitar pukul 10 malam. Kakak saya tiba-tiba bertanya, adakah anak saudara saya menumpang kereta saya? Sedangkan waktu itu, saya hanya memandu sendiri. Kata kakak, dia nampak kelibat seseorang di tempat duduk belakang kereta saya.
Insiden entiti yang datang menunaikan janjinya itu, saya dengar dari cerita seorang kawan. Saya cuma mengolah sesedap rasa dan membuat kesinambungan watak-watak dalam cerpen saya 'MELAKAR WARNA PELANGI' di dalam buku TENTANG CINTA.
Semoga terhibur. :)
2 comments:
Best...
best tapi sedih jugak.huwaaa~
Post a Comment