Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, November 18, 2011

JANJI PINAT

PERADUAN MENULIS CERPEN PARANORMAL UNTUK KOMUNITI E-NOVEL



SUASANA  kelas 4 Sains Cemerlang riuh-rendah bunyinya. Sebaik loceng tamat sekolah berbunyi, keadaan mula berubah menjadi seperti di pasar ikan. Melia hanya tersenyum dan menggelengkan kepala, dia merasa sungguh terhibur dengan gelagat anak-anak muridnya.

      Sebentar tadi Melia telah mengumumkan bahawa rombongan ke Langkawi yang mereka rencanakan beberapa bulan lepas sudahpun mendapat lampu hijau. Semua pelajar kelihatan teruja. Ada yang melompat-lompat kegirangan. Mereka mula membentuk kumpulan-kumpulan kecil dan berbual sesama sendiri.

      Sambil berpura-pura menanda buku latihan murid, Melia menjeling Nur Syafinaz yang duduk termenung memerhatikan keriangan kawan-kawannya. Hanya dia seorang sahaja yang tidak turut serta. Bapanya sudah lama meninggal dunia, dan ibunya tidak mampu mengeluarkan wang seratus ringgit untuk perbelanjaan seperti yang diminta. Luluh hati Melia melihatkan Nur Syafinaz yang dikenali di kalangan kawannya dengan gelaran Pinat, menyendiri di saat kawan-kawannya yang lain bergembira.

*****

      KEMUNCULAN Nur Syafinaz di pagi hari yang dijanjikan, mengejutkan semua orang. Dari jauh, Melia melihat kelibat Nur Syafinaz sedang dikelilingi kawan-kawannya. Mereka kelihatan terkejut dan teruja. Maklumlah, selama ini, Nur Syafinaz tidak pernah mampu ikut serta.

      Kardigan merah jambu yang Melia berikan beberapa hari lepas, tersarung cantik di badan Nur Syafinaz. Dia nampak sungguh comel. Walaupun Kardigan itu mahal, dan dibeli ketika berpergian ke Bandung, Melia tidak pernah memakainya. Entah kenapa, dia rasa tidak selesa. Dia merasakan seperti ‘remaja tua’ bila memakai baju begitu. Sudahnya…dia berikan baju itu kepada Nur Syafinaz tanpa ada sebarang rasa ralat di dada.

      “ Cantik. Kena sungguh baju ini dengan kamu.” Melia menegur, sebaik sahaja Nur Syafinaz menghampirinya.

      “ Terima kasih Cikgu. Cikgu Mimi juga. Mak kirim salam pada cikgu berdua. Saya terharu, kalau bukan kerana Cikgu Melia dan Cikgu Mimi, saya tak mungkin dapat bersama kawan-kawan,” ucap Nur Syafinaz lembut.

      “ Tak apa. Itu sumbangan kecil kami aja. Tentang baju tu, saya tak pakaipun…”

      “ Nanti simpanlah elok-elok baju tu. Ini duit belanja untuk kamu. Lima puluh ringgit. Ambillah!” Cikgu Mimi yang tersengih di sebelah Melia menghulurkan not lima puluh ringgit.

      Nur Syafinaz mengangguk, dengan riak serba-salah dia menyambut wang itu “ Terima kasih lagi sekali. Saya akan simpan elok-elok duit ni. Baju ni pula, akan saya pakai sampai akhir hayat saya.” Suara Nur Syafinaz jadi bergetar kerana terharu.

      Melia menepuk-nepuk bahu Nur Syafinaz. Selepas itu dia menghulurkan beg berisi kamera berjenama Canon kepada Nur Syafinaz.

      “ Kamu Presiden Persatuan Fotografi kan! Jadi saya amanahkan kamera ini pada kamu. Saya mahu kamu ambil gambar cantik-cantik. Semua gambar dari waktu menunggu untuk bertolak, tempat lawatan dan aksi kawan-kawan. Masa kamu ambil gambar hari sukan dulu, semuanya cantik-cantik. Guru Besar pun suka. Nanti kita masukkan dalam majalah sekolah. Boleh?”

      “ Boleh cikgu. Tapi kamera ni mahal, saya takut hilang…”

      “ Tak apa, bila habis bergambar, tak mahu gunakan lagi..pulangkan pada saya. Saya kan pergi sekali, apa yang kamu nak risau?”

      Nur Syafinaz tersenyum lantas meminta izin untuk mula merakam aksi kawan-kawannya dan juga suasana sebelum rombongan bertolak.

*****

      “ BAGUS jugak kau bagi idea tentang berkongsi taja penyertaan Nur Syafinaz. Terkejut jugak aku bila Kak Syimah tu izinkan. Aku rasa bahagia tengok dia happy.” Cikgu Mimi memandang Nur Syafinaz yang sedang merakam gambar kawan-kawannya.

      “ Aku pun. Tapi masa aku ke rumah dia dan minta keizinan Kak Syimah, aku guna ayat diplomasilah sikit.”

      “ Kau kata apa?”

      “ Aku cakap, semua perbelanjaan di bawah tanggungan aku dan engkau. Pinat pelajar yang cerdik. Selama inipun, dia amat memahami keadaan Kak Syimah… dan dia selalu terlepaskan peluang bergembira dengan kawan-kawannya.

      Lepas tu, aku bagi tau dia, apa yang Pinat cakap kat aku. Ayat yang Pinat kata ‘duit seratus tu, lebih baik buat beli makanan untuk adik-adik daripada dia habiskan bersuka ria’ tu. Aku cakap, kenyataan dia tu buat aku terharu. Dan, aku rasa, sebagai anak yang baik dan pelajar yang cemerlang, kita patut beri dia ganjaran.” Melia berhenti sebentar. Dia merenung ke arah Nur Syafinaz yang sedang asyik dengan kamera di tangan.

      Cikgu Mimi turut memandang ke arah yang sama. Dia mengangguk kepalanya, “ betul tu, kita memang patut beri dia ganjaran. Budak cerdik macam dia, perlu juga keluar melihat dunia, bukan asyik terperuk kat kampong ni. Sudahlah TV pun dia tak ada…”

      Melia mengangguk. Nur Syafinaz memang perlu melihat dunia luar.

      “ Eh! Mana Ustaz Fitri dengan Daniel Hakimi? Kata nak ikut sekali!” Melia tiba-tiba mengubah tajuk perbualan.

      “ Tu! Ada kat sana tu, tengah bebual dengan Cikgu Zizan. Aku tengok, Cikgu Zizan tu, dari tadi asyik jeling kat kau aja. Dia tak ikut sekali ke?”

      “ Dia nak ikut, tapi aku tak bagi. Segan aku kalau dia tunjuk caring semacam depan budak-budak. Dalam kelakar dia, kalau dia buat aksi caring, naik geli geleman pun ada…” jawab Melia sambil memandang ke arah Ustaz Fitri yang sedang dipeluk kakinya oleh Daniel Hakimi.

      “Kau ni, dia sayang engkau tu…bagilah dia peluang. Kau macam pernah frust aja, padahal aku tak pernah tengok kau ada boyfriend.” Ayat terakhir Cikgu Mimi membuatkan Melia terpempan. Melia mengeluh di dalam hati. Kalaulah Cikgu Mimi tahu yang dia pernah menyimpan hati pada Ustaz Fitri…

       Maher Zain, tiba-tiba menjerit dengan lagu ‘Insyallah’ dari dalam beg sandang Melia. Kelam-kabut Melia mendapatkan telefonnya.

      “ Ayah telefon.” Kata Melia sebaik melihat skrin telefon. Dia terus menekan butang untuk menjawab.
 
      Malang bagi Melia, bila ayahnya menyampaikan berita sedih tentang kematian neneknya. Melia terpaksa membatalkan pemergiannya dan pulang ke Tanjung Piandang, tempat asal ayahnya. Atas idea Cikgu Mimi, Cikgu Zizan diminta menggantikan tempat Melia memantau keselamatan para pelajar.

*****

NEK YAM sudahpun selamat dikebumikan selepas Asar. Hidup Melia tiba-tiba terasa kosong. Rupanya, hilang seseorang yang tersayang kerana meninggal dunia, sedihnya lebih berganda berbanding kehilangan Ustaz Fitri kerana cinta. Melia tahu, dia pasti akan rindukan Nek Yam yang kelakar dan sentiasa menasihatinya.

     “ Melia dah tak ada nenek. Melia akan sentiasa rindukan Nek Yam…” kata-kata Melia terhenti di situ  kerana sebak.

      “ Sudah sampai masa nenek untuk pergi. Kita kena lepaskan dia dengan redha,” balas Kak Rahimi, sepupu Melia. Pasti Kak Rahimi yang lebih terasa ketiadaan nenek, kerana nenek yang membesarkannya.

      Bunyi mesej masuk bersama getaran telefon, membuatkan Melia terkejut. Dia mengurut dadanya. Ibu Melia dan Kak Rahimi hanya tersenyum melihat gelagatnya. Sebaik melihat skrin telefon, ada mesej dari Cikgu Mimi, yang bertulis,

‘Kau OK? Semua urusan dah selesai? Kami dalam perjalanan ke Telaga Tujuh. Nur Syafinaz sedih kau tak ikut. Dia pulangkan kamera kau tu. Takut hilang katanya’

      Selepas membaca mesej Cikgu Mimi, Melia serta merta membuat panggilan telefon kepada Cikgu Mimi,

      “ Salam Mimi. Tolong pass telefon pada Pinat!”

      “ Pinat jer, Cikgu Zizan… tak nak ke?”

      “ Ala…jangan main-mainlah. Bateri telefon aku nak habis ni…”

      “ OK!...OK! Sorry! Tunggu kejap ye…” Kedengaran bunyi tapak kasut dan riuh rendah suara para pelajar. Melia terdengar nama Nur Syafinaz dipanggil.

      “ Assalamu’alaikum! Cikgu Amelia! Pinat ni…” suara kecil Nur Syafinaz bergema di corong sebelah sana.

      “ Pinat dengar sini, cikgu tak boleh cakap lama, sebab bateri telefon cikgu dah nak kong. Pinat jangan takut nak guna kamera tu. Jaga aja baik-baik. Kalau apa-apa terjadipun, cikgu tak akan salahkan Pinat. OK?”

      “ Baik cikgu. Pinat janji…Pinat akan jaga barang cikgu tu, macam nyawa Pinat sendiri. Cikgu akan dapat balik kamera cikgu tanpa apa-apa kerosakan. Cikgu…” kata-kata Nur Syafinaz terputus di situ. Skrin telefon terus menjadi gelap.

      “ Alamak! Bateri habis! Charger pula tak bawa…”

      “Kalau telefon Sony Ericson, kau boleh pinjam Adam punya. Nanti akak telefon Adam.”

      “ Huh! Lega…nanti lepas Maghriblah saya pergi ke rumah Adam.”

*****.

HUJAN  turun dengan lebat sewaktu Melia sampai di rumah Adam. Melia nampak kelibat Nana, isteri Adam menjengah di tingkap dan melambai sebaik Melia keluar dari dalam kereta. Melia berpeluk tubuh menahan kesejukan sambil melangkah masuk ke rumah Adam.

      “ Aik! Mana sorang lagi? “ Soal Nana sambil berjalan ke arah pintu dan menjengah ke luar.

      “ Tak adalah. Kak Melia datang sorang je. Kenapa Nana tanya macam tu?”

      Mata Nana yang bundar itu, seperti tersembul memandang Melia. Muka Nana kelihatan pucat dan tangannya mula mengurut-ngurut leher.

      “ Tadi masa Kak Melia keluar dari kereta, Nana nampak ada sorang budak perempuan pakai baju sejuk sedang berdiri di belakang akak. Nana ingat, akak bawa anak murid akak balik kampong…”

      “ Biar betul!” Entah kenapa, bulu roma Melia meremang tiba-tiba. Dia bergerak ke pintu dan turut melihat ke luar.

      Hajat untuk meminjam charger bateri telefon dari Adam dan pulang semula ke rumah Nek Yam dibatalkan. Akibat terlalu takut, Melia tidur di bilik tetamu di rumah Adam.

      Melia terjaga di tengah malam kerana merasa terganggu…

      “ Cikgu…. Cikgu…” Seperti di awang-awangan, Melia mendengar suara seseorang memanggilnya. Dia membuka mata dan disambut oleh wajah sedih Nur Syafinaz merenungnya dari birai katil.

      “ Pinat! Buat apa kat sini?” Soal Melia, masih dalam keadaan keliru. Tak tahu samada dia sedar atau bermimpi.

      “ Pinat sejuk. Pinat takut…Pinat tak boleh balik. Cikgu tolong Pinat!” Sayu suara Nur Syafinaz menuturkan ayat-ayat itu. Entah kenapa, Melia jadi sebak dan terharu.

      “ Kenapa Pinat. Pinat nak cikgu buat apa?”

      “ Pinat terkurung di satu tempat. Pinat nampak ada pokok besar dengan akar berjuntai sampai ke tempat Pinat. Cikgu tolong Pinat!”

      “ Tapi Pinat kan ada depan cikgu, macam mana Pinat boleh datang kat sini?”

      “ Kamera cikgu, Pinat bungkus dengan baju. Pinat sembunyikan kat bawah batu dekat perdu pokok besar tepi tapak kemah. Pinat dah janji nak jaga kamera cikgu. Cikgu akan dapat balik dalam keadaan baik…”

      Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan bertalu-talu di pintu bilik.

      “ Kak Melia! Kak Melia! Suara Adam dan Nana bertingkah memanggilnya.

      Melia terkejut. Dia bergegas membuka pintu. Adam dan Nana terjengol di situ dengan muka yang cemas.

      “ Kak Melia berbual dengan siapa?”

      “ Dengan Pinat. Kenapa?” Namun, Melia tiba-tiba terkejut dengan jawapannya sendiri. Dia berkalih memandang katil. Kelibat Nur Syafinaz sudah tiada di situ. Melia terkejut. Mukanya berubah pucat. Tiba-tiba dia rasa bulu romanya meremang. Kepala terasa kembang menjadi sebesar bakul.

      “ Tadi, Pinat ada kat sini…” Melia bergegas menghampiri tempat Nur Syafinaz duduk tadi. Tilam di bahagian itu, basah lencun. “ Tadi, dia kat sini. Akak baru berbual dengan dia…” Adam dan Nana berpandangan.

      Rasa tidak sedap hati tiba-tiba menerpa. Melia mencapai telefon bimbit yang masih terlekat di wayar charger. Sebaik menanggalkan charger, dia menekan butang ‘on’ untuk menghidupkan telefonnya. Sudah menjadi amalannya untuk mematikan telefon setiap kali bateri dicaskan.

      Sudah pukul 3 pagi rupanya. Serentak dengan itu, dia dikejutkan dengan bunyi mesej masuk bertalu-talu. Ada berpuluh panggilan masuk. Panggilan dari Cikgu Mimi dan ada juga dari Cikgu Zizan.

      Tanpa berlengah, Melia membuat panggilan ke nombor Cikgu Mimi. Sebaik memberi salam, Cikgu Mimi terus bercakap tanpa berhenti. Melia hanya mendengar. Dan, air mata jatuh berlinangan tanpa dia sedar. Melia akhirnya menamatkan perbualan, dan merenung Adam dan Nana tanpa berkelip.

      “ Kenapa Kak Melia?” Soal Nana.

      “ Pinat… dia lemas sewaktu mandi di air terjun Telaga Tujuh. Sampai sekarang, mayatnya belum dijumpai. Rupanya tadi, dia datang beritahu dia kat mana…”

*****

      MELIA  masih tidak mampu berhenti menangis. Sudah puas dia dipujuk oleh Cikgu Zizan untuk balik. Namun sejak tadi, dia berkeras mahu menunggu. Adam yang menemaninya ke Langkawi, hanya memandang. Tiada siapa mampu membuat Melia bergerak dari tempat dia berdiri. Semua orang sedar dan tahu, Melia dibelenggu rasa bersalah. Dia yang bertanggung-jawab membawa Nur Syafinaz ke Langkawi. Buat masa ini, dia seperti lupa yang segalanya sudah ditentukan Allah.

      Mayat Nur Syafinaz akhirnya dinaikkan selepas dua jam Melia menunggu.  Lututnya terasa lemah sebaik diberitahu yang mayat Nur Syafinaz sudah ditemui dengan kardigan merah muda masih tersarung di badannya. Memang betul, mayat itu ditemui tepat di lokasi yang Melia beritahu melalui telefon pagi tadi. Kini, mayat itu sedang dibawa ke dalam trak polis.

      “ Dia cakap semalam, dia akan pakai baju tu sampai akhir hayat…” sayu bunyi suara Melia setelah sekian lama hanya menangis.

      “ Nana cakap, budak perempuan yang dengan Kak Melia semalam tu, pakai baju sejuk warna pink juga,” celah Adam sambil memandang Cikgu Zizan. Cikgu Zizan hanya menggaru kepalanya. Segalanya seperti susah hendak diterima akal.

      “ Semua yang terjadi, terjadi dengan kehendak Allah. Dia yang Maha Berkuasa. Kita antara orang bertuah dapat melihat keajaiban ini.” Ustaz Fitri yang baru muncul dari lokasi pencarian, bersuara perlahan.

      “ Betul tu ustaz! Sudahlah Kak Melia. Jomlah! Kita balik,” saran Adam.

      “ Kejap! Kat mana kemah persalinan didirikan? Tolong bawa aku ke sana…” tiba-tiba Melia bertanya.

      “ Kenapa?” Soal Cikgu Zizan. Namun bila melihat muka Melia yang serius, dia mengalah. Cikgu Zizan mendahului yang lain berjalan ke arah tapak perkemahan.

      Sebaik sampai ke situ, Melia meluru ke perdu pokok sebesar dua pemeluk. Dia meneliti keadaan sekeliling dan akhirnya bergerak menuju ke arah longgokan batu-batu kecil di antara dua bongkah batu yang lebih besar. Dia mula memindahkan batu-batu kecil itu ke tepi. Melia akhirnya menemui gumpalan baju T di bahagian bawah sekali.

      Kamera Canon kesayangan Melia tersimpan kemas di dalam gumpalan baju seperti yang diberitahu oleh entiti Nur Syafinaz awal pagi tadi. Masih elok tanpa sebarang calar.

      “ Dia cakap, dia akan jaga kamera aku, macam nyawanya sendiri. Semua ini terjadi dengan izin Allah kerana sebuah janji dari seorang yang jujur mahu menunaikannya…” ucap Melia dengan perlahan.

      Melia tidak dapat menahan kesedihannya. Dia memeluk gumpalan baju bersama kamera tersebut dan terus menangis. Tiada apa yang dapat dibuat oleh Cikgu Zizan dan Ustaz Fitri, mereka sekadar memandang dengan pandangan yang sayu. Hanya Adam yang cuba mententeramkan Melia dengan mengosok bahunya dengan perlahan.

TAMAT

--------------------------------------------------------------------------------------
Tak tahu samada, cerpen ini boleh dikategorikan sebagai Paranormal atau tidak. Saya sekadar mahu memeriahkan pertandingan.

Cerita ini berdasar pengalaman saya dan cerita dari mulut kawan. Insiden menumpang kereta itu adalah pengalaman saya. Suatu hari, sewaktu balik dari kerja sekitar pukul 10 malam. Kakak saya tiba-tiba bertanya, adakah anak saudara saya menumpang kereta saya? Sedangkan waktu itu, saya hanya memandu sendiri. Kata kakak, dia nampak kelibat seseorang di tempat duduk belakang kereta saya.

Insiden entiti yang datang menunaikan janjinya itu, saya dengar dari cerita seorang kawan. Saya cuma mengolah sesedap rasa dan membuat kesinambungan watak-watak dalam cerpen saya 'MELAKAR WARNA PELANGI' di dalam buku TENTANG CINTA.

Semoga terhibur.  :) 

2 comments:

Wild Cherry said...

Best...

HanaLaili said...

best tapi sedih jugak.huwaaa~

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU