Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Wednesday, January 19, 2011

BAB 28

Kimi yang sedang berdiri di ruang hadapan bilik mesyuarat, memerhati kesemua anggota bawahannya selepas selesai melekatkan beberapa keping gambar gadis2 cantik di white board. Dah sejam duduk berbincang tentang perkembangan kes, membuat post-mortem dan mencari ruang2 atau sisi2 penting yang tidak diambil kira sebelum ini. Dah nak menginjak bulan ke lima tanpa hasil yang memberangsangkan, dan Tuan Rasyid sudah mula menekan mereka supaya bekerja lebih kuat.

Gambar2 yang menghiasi white board itu kelihatan seperti barisan ratu cantik berambut panjang. Kalau zaman tujuh puluhan dulu bolehlah disamakan seperti Nancy Foo atau Noor Kumalasari, kesemuanya berambut panjang sampai ke punggung. Sekarang ni, nak mencari perempuan yang menyimpan rambut sepanjang itu...memang payah nak ditemui. Kalau diperhatikan, kesemua mereka memang termasuk di dalam kategori cantik, berkulit putih serta wajah berulas.

Inspektor Ganesan, Sarjan Adli serta beberapa orang detektif, sedang kusyuk memerhatikan gambar2 yang dilekatkan ke white board . Tuan Rasyid yang duduk di hujung meja berbentuk bujur itu, sesekali mencuri pandang ke arah orang bawahannya.

Tuan Rasyid tersenyum sinis kepada Kimi, kepalanya digelengkan sambil memuncungkan sedikit bibirnya ke arah anggota bawahannya. Kimi sekadar mengangguk, dan faham apa yang ingin disampaikan oleh ketuanya itu. Dia turut memerhatikan mereka2 yang sedang memusatkan pandangan ke arah white board, kebanyakannya lebih kelihatan seperti juri pertandingan kecantikan...terpegun! Antara mereka, ada yang bercakap sesama sendiri, ada yang menompang dagu sambil ternganga dan tak kurang pula ada yang sedang menelan air liur...seperti terlupa sebentar kehadiran Big Boss bersama-sama mereka.

" Sarjan! Boleh tutup mulut tak...nanti ada lalat yang terbang masuk." Sergah Tuan Rasyid, tersenyum sinis melihat ke arah Sarjan Adli.

" Saya Tuan! Orang rumah tak cantik macam ni Tuan, tu yang asyik saya dok tenung tu." Jawab Sarjan Adli, cuba bergurau untuk menyembunyikan rasa malu.

Kimi dan Inspektor Ganesan hanya tersenyum segaris memandang Sarjan Adli yang masih terkulat-kulat disergah. Anggota yang lain masing2 buat muka sepuluh sen, walaupun nama Sarjan Adli yang naik, rasanya masing2 sedar...mereka juga turut disindir.

" Dua persamaan ketara...berambut panjang dan berkulit cerah,"ulas Kimi, setelah semua orang kembali serius meberikan perhatian terhadap kes yang dibincangkan.

" Mangsa pertama, Azliza Zainol, dari Kelantan...hilang enam tahun lalu. Menurut nota yang dibuat Edelene, mangsa memang ada berhubungan dengan seseorang melalui internet." Kimi berhenti sebentar, membetulkan salah satu gambar yang sedikit senget kerana butang bermagnet telah terjatuh, kemudiannya dia kembali menyambung....

" Yang ini pulak...Emelda Nirgina, ini Rossa Salsabilla, ini Aina Insyirah, Nurjannah dan Metrisya. Semuanya hilang selepas datang ke Penang dan mempunyai kenalan maya, rasanya nota ni...Edelene ambil dari fail kes. Mangsa2 ni hilang tanpa dapat dikesan hingga ke hari ini. Namun, kita tak pastilah samada kes ini berkait dengan kes yang sedang disiasat atau tidak." Kimi menyambung lagi.

" Maksud kamu, ke enam2 gadis ni...kesemuanya mempunyai persamaan kes dengan yang disiasat sekarang kah? Kalau macam tu, saya rasa...kita tak boleh tolak kemungkinan kes ini melibatkan serial killer." Sampuk Tuan Rasyid, matanya merayap menatapi muka ke semua anggota bawahannya.

Inspektor Ganesan mengambil peluang untuk menerangkan kedudukan siasatan yang telah dibuat, iaitu...sesudah menerima gambar2 dan maklumat yang disediakan Edelene. Kimi hanya mendengar, teori itu telah dibincangkan bersama Inspektor Ganesan beberapa hari lepas. Memang kesemua 'orang hilang' itu berasal dari luar Pulau Pinang. Dan, ada antara kes2 yang nama kenalan maya itu dicatatkan, namun ada juga yang tak diketahui. Yang pasti, kenalan maya itu mempunyai nama yang berbagai...belum dapat nak dipastikan samada mereka adalah individu yang sama atau tidak.

" Hmm...saya nampak banyak co-incident kat sini, siapapun yang handle kes ni sebelum ni, mungkin tak sedar tentang persamaannya. Saya nak kamu siasat balik kes melibatkan kesemua mangsa, kalau perlu...jumpa balik keluarga dan sahabat mereka...pastikan samada kesemua berkait atau tidak..." Tuan Rasyid memberikan arahan.

" Tuan, dalam kes kita, siasatan dah dibuat ke atas komputer riba mangsa, semua chatting dengan mangsa dibuat dari cyber cafe...nampaknya masa untuk chatting sudah ditetapkan terlebih dulu. Owner kedai tak boleh ingat rupanya dan nama yang didaftar juga berubah-ubah. Pembunuh ni memang bijak mengelakkan diri dari dikesan. Jadi saya rasa...kalau dia merupakan orang yang sama sebelum ni, he's been doing it for quite sometimes, and a very well planned, and organised crime." Kimi mencelah. Tuan Rasyid sesekali mengangguk.

" OK, Kimi! Awak tugaskan seorang anggota untuk follow balik setiap kes ni ke negeri asal mangsa2 ini. Sesiapa yang terlibat, dapatkan pertolongan dari IPK negeri yang terbabit...kita kena kerja lebih kuat. Saya takut, kalaulah ini adalah kes yang sama... nanti ada lagi mangsa terbaru. Tak pasal2 kita dituduh tak buat kerja."

"Baik, Tuan!"

" Lagi satu...masih belum dapat pelayan restoran sushi tu?"

" Belum, Tuan! Kami sedang usahakan." Kimi menjawab lagi.

" Hmm...Penang ni bukan besar mana pun, anggota bawahan kamu ramai...tak kan tak boleh kesan..." Tuan Rasyid berhenti sebentar, memandang setiap orang bawahannya dengan muka seperti Harimau kelaparan. " Gandakan usaha...saya tak suka dengar jawapan 'sedang berusaha'...saya nak hasilnya. Faham!"

Semua orang hanya memandang Big Boss yang sedang berasap kepalanya dengan pandangan telus ke dinding. Kimi dan Inspektor Ganesan saling berpandangan, melihatkan semua orang tidak memberi respon, Tuan Rasyid bangun dan terus keluar dari bilik mesyuarat.

" Phewwww..." Sarjan Adli bersuara, tangan di bawa ke dahi pura2 menyeka peluh, dan membuang sisa peluh ke tepi. Beberapa orang detektif tersenyum kelat.

" Harimau terlepas dari kandang..." Sarjan Adli menyambung lagi. Kimi menggelengkan kepala, Sarjan Adli ni...dalam keadaan macam ni pun masih sempat nak berlawak. Masa disergah Tuan Rasyid tadi, senyap macam tikus.

Kimi kemudiannya membahagikan tugas kepada anggota bawahannya, segala tugasan yang diarahkan oleh Tuan Rasyid cuba diselesaikan secepat mungkin, jika tidak, dia yang akan terpaksa menjadi perisai barisan hadapan untuk menerima ledakan kemarahan Tuan Rasyid.

Sudah lama bekerja di bawah Tuan Rasyid membuatkan Kimi faham benar dengan perangai Big Bossnya itu. Kalau tengah baik, boleh dapat anugerah ' Bos paling sporting seantero Malaya', tapi kalau marah...macam 'singa jantan mati bini'.

Kimi mengeluh sambil kepalanya digelengkan beberapa kali, Inspektor Ganesan yang berdiri di belakangnya mula menepuk bahu Kimi perlahan-lahan. Kimi berpaling dan mereka berbalas senyum, masing2 faham tentang betapa beratnya tugas yang perlu digalas.

*****


" Kau tak kerja hari ni?" Soal Mail, rakan serumah Daniel yang baru bangun tidur. Mail yang masih berselubung dengan kain pelekat duduk bertenggek di tepi kusyen. Air liur basi masih terlekat di tepi bibir.

" Aku kerja petang. Kau tu...tak kerja ka? Matahari dah tinggi macam ni, baru bangun." Tiada jawapan. Bila menghantar pandang ke arah Mail, rupanya dia sudah menyambung tidur dengan kepala terlentuk di atas kusyen.

Daniel geleng kepala, macam manalah nak tumpang belajar jadi baik...kawan serumah semuanya macam setan. Si Mail ni contohnya, semalam balik lewat...entah ke kelab mana dia menghabiskan duit gajinya yang tak seberapa tu.

Sudah lama Daniel tanamkan hasrat nak berubah, tapi tak tahu nak mulakan macam mana. Selama berkawan dengan orang Melayu, kebanyakan yang dia jumpa semuanya sekadar Melayu...Islamnya kurang. Dia sendiri, separuh Melayu, separuh Cina...dan dibesarkan lebih mengikut budaya Cina. Alhamdulillah! Dia masih Islam dan tak pernah terfikir untuk mengubah status agama yang tertera di sijil kelahirannya.

Menurut mama Daniel, ayahnya lelaki Melayu tulen. Mama yang tertarik dengan keindahan Islam kebetulan bertemu ayahnya yang ketika itu menjanjikan ayat2 cinta bulan bintang, kononnya bersedia untuk membimbing mama Daniel mendalami Islam...rupanya, itu hanya janji kosong. Setelah berkahwin barulah mamanya tersedar yang dia sebenarnya isteri kedua dan ayahnya sendiri, tidak pernah bersujud pada Allah. Islam itu hanya sekadar pada nama.

Penceraian terjadi kerana hidup mama tak pernah aman bila berkongsi kasih, waktu itu umur Daniel baru menginjak 2 tahun. Dan mama, pulang bernaung di bawah satu bumbung dengan Poh Poh yang beragama Buddha. Untungnya...Poh Poh tidak pernah memaksa mama menukar agamanya semula dan Poh Poh sendiri, dengan rela hati berhenti menjamah 'kerbau pendek' yang diharamkan oleh Islam.

Daniel tersenyum bila teringatkan Poh Poh, yang selalu merujuk kepada 'binatang itu' sebagai ' kerbau pendek'. Poh Poh memang tersangat baik dan penyayang serta sentiasa menghormati agama yang mereka anuti. Cumanya, mereka hidup sekadar begitu sahaja hinggalah mamanya pulang mengadap Allah. Ayahnya pula...entahlah, Daniel tidak pernah mahu tahu samada dia masih hidup atau sudah mati...ayahnya hanya jadi bahan sejarah yang tak pernah ada keinginan untuk dibukukan menjadi kenangan di khutub khanah hatinya.

Daniel masih ingat pesan mama sewaktu menghadapi saat2 terakhir kematiannya. Kata mama, Daniel harus hidup mengikut landasan Islam yang sebenar, mama mahu Daniel belajar tentang Islam dan jangan sekali-kali menukar agamanya. Kerana itu dia akur, kata2 terakhir mama sentiasa bergema didalam mindanya setiap kali dia cuba berbuat perkara yang tidak baik. Dia ingin menunaikan pesanan terakhir mama, tapi tak tahu bagaimana. Dan, Daniel jadi cuak bila menemui penganut Islam yang sepatutnya terdidik dengan didikan Islam sejak kecil, berperangai lebih hantu dari dirinya. Daniel mengeluh....

Mungkin kerana membawa pesan mama di dalam hati dan mindanya juga lah membuatkan hatinya tidak pernah tenang sejak kebelakangan ini. Daniel asyik teringatkan perempuan yang bersama lelaki Rolex tempohari. Kalau ada apa2 yang buruk terjadi kepada perempuan itu...sudah tentu dia tidak dapat memaafkan dirinya. Mama tidak pernah mengajar dia menjadi manusia yang tidak bertanggung jawab seperti sekarang.

Daniel menarik nafas dalam2, dicapainya surat khabar Metro dan mula menyelak helaiannya. Dia mencari2 berita yang mungkin ada kaitan dengan pembunuhan. Kalau bab mensensasikan berita macam ni, Metro memang nombor satu. Setelah menyelak ke belakang dan ke depan semula beberapa kali, dia tidak menemui apa2...dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia boleh berpegang kepada rasa lega yang sementara itu. Entah bala apa lah yang menyebabkan dia terperangkap dengan rasa bersalah begini, hinggakan beberapa malam kebelakangan ini...tidurnya tak pernah lena dengan tenang.

Dompet duit yang berada di atas meja itu dicapainya. Dia mencari sesuatu, menyelak disebalik ruangan lipatan kad2 perniagaan yang disimpan di situ. Senyuman terukir sebaik sahaja menemui apa yang dicarinya. Kad berwarna putih itu ditenungnya lama, diketuk2 kad itu di atas permukaan meja berulang kali. Mengingatkan kata2 Erik sewaktu menghulurkan kad nama itu beberapa minggu lepas membuatkan dia nekad, rasa hatinya kuat menyuruhnya menemui tuan punya nama yang tertera di atasnya.

Daniel mengangkat kedua-dua tangan separas dada, ada rasa sebak bertamu di hati. Dia ingin meminta kepada Tuhan yang dia belum kenal dalam ertikata sebenar-benarnya. Namun jauh di sudut hati, dia yakin Allah itulah Tuhan yang selayaknya disembah. Mukanya diangkat menengadah siling, mahu berdoa...tapi terhenti, kerana airmata lelakinya tiba2 jatuh. Tiada ayat yang mampu diungkap di dalam hati, kerana hati itu sendiri telah disentuh olehNya pada sudut yang paling dalam.

*****



" Awak pasti kah itu yang Hakim cakap?"

" Pasti! Kenapa? Kimi ingat telinga saya ni dah tak boleh pakai kah?"

" Bukan macam tu, cuma...macam susah nak percaya semua tu terjadi macam yang awak cerita. Lagipun Hakim tu kan...baru nak masuk empat tahun."

"Hmm...so, awak ingat saya reka2 cerita sendiri? Macam tu?"

Kimi menggaru kepalanya yang tak gatal, talipon yang masih terlekat di telinga, dijauhkan sedikit...kuat betul suara Deena bila marah. Sensitif pulak lah Si Deena ni, dia salah faham. Kimi bukan tak percayakan Deena, tetapi cerita Deena itu macam cerita dalam siri2 drama seram yang banyak disiarkan dalam TV kebelakangan ini.

" Bukan macam tu...saya percaya awak tak tipu. Maksud saya...nature kejadian tu aja yang macam sukar diterima. Tapi kalau dengan izin Allah...semuanya tak mustahil." Kimi menjawab, kemudian menunggu reaksi Deena di talian sebelah sana...tapi senyap aja.

" Marah ka?" Soal Kimi lagi.

" Tak! Cuma tiba2...rasa malas nak cakap dengan awak." Suara Deena macam orang merajuk. Ada senyum tergaris di bibir Kimi, entah kenapa...dia jadi suka dengan rajuk Deena.

" Merajuk? Saya tak pandai nak pujuk tau." Kimi tersengih lagi. Entah cacing mana yang masuk ke dalam hatinya hari ini, tiba2 jadi gatal nak mengayat perempuan. Mungkin sekadar nak melepaskan rasa terbuku akibat bebanan kerja yang makin menyesakkan minda...lebih2 lagi selepas menerima ledakan 'peluru berpandu' dari Tuan Rasyid pagi tadi.

" Ok lah Kimi. Saya ada banyak kerja nak siapkan...lain kali lah kita sembang." Talian dimatikan sebaik Deena habis bercakap. Kimi yang sedang membuka mulut mahu mengucapkan sesuatu...jadi terkedu.

Kimi menggelengkan kepala sambil tersenyum. Hmm...baru nak uji kemahiran mengayat yang dah semakin lupus, tiba2 kantoi lah pulak. Dah hampir sepuluh tahun, dia tak berminat nak mengusik perempuan, tiba2 menjadi sedikit gatal hari ini. Kimi...kimi...dia menggeleng kepala sambil tersenyum. Ish! Deena ni pun...tak bagi peluang langsung untuk dia bergurau sedikit pun.

Minda Kimi mula memikirkan cerita Deena tentang kata2 Hakim yang dibisikkan ke telinga Deena beberapa hari lepas. Kata Hakim, 'Kak Nina bagi kunci untuk buka buku merah.' Itu aja, tapi menurut Deena, kata2 yang pendek itu sudah cukup untuk buat Jantung Deena berlari pecut sampai nak semput. Kerana Hakim tak pernah tahu kewujudan Nina, apatah lagi diari merah jambu Nina...maka, bagaimana nama itu boleh terbit dari mulut Hakim yang comel itu.

Nina...Nina...entah bila misteri tentang Nina ini akan terjawab, semoga semua ini ilham dari Allah untuk mempermudahkan hidup Kimi. Juga jawaban kepada solat2 hajat dan doa2 yang Kimi panjatkan setiap ada kesempatan terluang. Betul kata emak, 'mintalah pertolongan Allah, kerana Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui...dan Allah suka hambaNya meminta-minta dengan sesungguh hati '. Dan kerana Kimi telah meminta dengan sesungguh hati, jawapan itu sedang datang kepada Kimi satu persatu.

Ring...ring....ring...Talipon di atas meja berbunyi, mengejutkan Kimi. Dia mencapai gagang dan melekapkan ke telinga.

" Ya...di mana? Oh!...baiklah, saya turun sekarang."

Sebaik meletakkan semula gagang talipon ditempatnya, Kimi bangun dan bergerak untuk turun ke bawah. Kata Detektif Rozaidi, ada seorang perempuan sedang menangis di bawah dan meminta untuk bertemu dengan Kimi. Hairan! Mustahil Deena pulak, Deena kan baru saja menalipon dari Shah alam.

Sebaik sampai ke tingkat bawah, Kimi mendapatkan Detektif Rozaidi yang kebetulan sedang berbual dengan beberapa orang anggota lain. Detektif Rozaidi menunjukkan ibu jarinya ke arah seorang perempuan muda yang sedang menangis di kerusi tidak jauh dari situ. Menyedari kehadiran Kimi, perempuan tadi mula menapak ke situ, dia mula menangis lagi...tersedu-sedu hingga tak mampu berkata-kata. Kimi hanya memandang dan membiarkan perempuan itu meredakan kesedihan terlebih dahulu.

Sambil itu minda Kimi giat berfikir, perempuan cantik awal dua puluhan yang bermata besar dan beralis lentik ini memang tak pernah dikenalinya. Hairan! Kenapa pula menangis begini bila melihatkan Kimi.

Perempuan itu akhirnya berjaya mengawal kesedihan, dia mengesat airmatanya dan memandang ke arah Kimi. Matanya nampak bengkak, mungkin sudah menangis beberapa jam.

" ASP Hakimi kan!" Dia bertanya. Kimi mengangguk.

" Ada apa yang boleh saya bantu?"

" Memang Tuan kena bantu saya. Saya Sakinah, rakan serumah Edelene. Tolong saya...saya rasa Edelene hilang..." Dan Sakinah menangis lagi.

Dada Kimi mula berdebar, baru tersedar yang dia tidak melihat Edelene sejak pagi tadi. Hari ini hari Isnin, tadi sewaktu Edelene tidak hadir ke bilik mesyuarat, dia tidak teringat untuk bertanya. Kimi mengeluarkan handset dari dalam kocek seluar, mencari nombor Inspektor Ganesan dan terus menekan butang memanggil. Bercakap sebentar dan kemudiannya mematikan panggilan.

" Saya takut dia ditimpa masalah. Hari sabtu lepas dia keluar dengan kawan internetnya. Dia tak balik2, saya ingatkan dia balik ke rumah orang tuanya di Parit Buntar. Pagi tadi dapat call dari sini tanyakan Edelene tak datang kerja, saya talipon rumahnya...kata ibu Edelene, dia tak balik kampung pun. Tolong Tuan...saya takut..."

Inspektor Ganesan dan Sarjan Adli meluru mendapatkan Kimi, muka mereka nampak resah. Kata Inspektor Ganesan, dia yang menalipon rumah Edelene pagi tadi selepas menyedari Edelene tidak muncul di tempat kerja. Kimi memicit dahi, kepalanya tiba-tiba rasa berdenyut sakit. Belum selesai satu masalah...timbul masalah yang lain.

Sakinah pula makin tinggi tangisnya. Kimi, Inspektor Ganesan dan Sarjan Adli berpandangan, nampaknya apa yang mereka takuti...sudah terjadi. Umpan yang diberi sudah dimakan ikan...namun, pembunuh itu sudah selangkah mendahului mereka.

*****



Hahaha.....hahaha....ketawa menakutkan itu bergema dari rumah teres dua tingkat di hujung jalan. Encik Mushi2 sedang merenung mangsanya yang terbaru. Setelah sekian lama bersabar, akhirnya perempuan itu masuk ke dalam perangkapnya.

Seorang perempuan kelihatan terbaring di sudut bilik, terdapat tompokan darah di sana sini. Encik Mushi2 puas...setiap kali menyiksa mangsanya, dia mendapat kepuasan yang tidak mampu ditafsirkan. Dia sudah melakukan apa yang selalu dilakukan terhadap mangsa sebelumnya...iaitu menyeksa dan merogol mangsa. Cuma...dia belum melakukan apa yang sepatutnya dilakukan seterusnya... iaitu membunuh dan menyembunyikan mayat mangsanya seperti selalu. Dia akan lebih berhati-hati kali ini, tidak mahu tersilap perhitungan seperti sebelum ini.

Encik Mushi2 memandang sekali lagi ke arah perempuan yang masih terbaring tidak sedarkan diri itu. Padan Muka!...perempuan semuanya sama. Dia berpaling untuk turun ke tingkat bawah dan ketawa lagi. Mukanya mula berubah menjadi bengis bila terkenang kisah lalu...teringatkan perempuan yang sudah merosakkan hidupnya. Dan...Encik Mushi2 tidak menyedari yang perempuan tadi sebenarnya pura2 pengsan, sedangkan tangannya yang terikat ke belakang sedang cuba melonggarkan ikatan.

Sampai ditingkat bawah, Encik Mushi2 terus mendapatkan beg tangan yang terletak di atas meja. Dia menumpahkan segala isi beg ke atas permukaan meja. Segalanya bertaburan di situ, dari talipon bimbit, bedak kompek, pewarna bibir, dompet duit, beberapa buku bank...dan banyak lagi. Dia mula membelek satu persatu...terlalu asyik memilih untuk mengambil apa yang perlu sahaja. Sekeping kad kartu nama menarik perhatiannya, ditariknya dari celahan dompet duit. Dadanya berdebar, tertera lambang PDRM di situ, dia membaca nama yang tercatat di situ;

Inspektor Edelene Binti Emir Hamzah


Rona wajah Encik Mushi2 mula bertukar merah membengis. Setan! Dia menyumpah di dalam hati, rupa rupanya Edlin yang dikenali di laman sembang adalah seorang anggota polis. Dengan pantas dia melangkah ke tingkat atas. Sebaik pintu bilik dibuka, dia terperanjat besar...bilik itu kosong. Encik Mushi2 berlari ke bilik air, memeriksa di situ...namun kelibat Edelene sudah tiada.

Dia meraung dan menjerit dengan kuat, memarahi diri kerana kesilapan sendiri. Dengan cepat dia mencapai kunci di dalam laci, dia perlu mengejar Edelene. Edelene perlu dibunuh sebelum rahsianya terbongkar.

6 comments:

Anonymous said...

baru bc citer ni best gak la citer polis yg suspen ... teruskan...

Anor said...

cerita yg makin lama makin
menarik. sambung lagi,

Nadd said...

super!

Packy Sidique said...

Hai anonymous...baru dok belajaq tulis. Thanks atas semangat...will try to finish it.

Packy Sidique said...

Anor,
Thanks n alhamdulillah kalau u fikir camtu. Akan cuba sambung lagi...cuma masa dan kurang idea nak menulis tu yang membataskannya...

Packy Sidique said...

Nadd,
Thanks. Malu arr kalau Nadd kata super. Akak ni baru belajaq, masih banyak nak kena improve..

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU