Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Sunday, September 19, 2010

BAB 14

Lelaki itu berdengus kasar, pintu depan dihempas kuat sebaik memasuki rumahnya. Langkah segera diatur ke ruang bawah, melalui satu lorong yang dibina khas menuju ke sebuah bilik yang sedikit tersembunyi. Bilik yang hanya dia boleh memasukinya.

Pintu bilik dikuak, tangannya pantas mencari suis lampu. Bila lampu menyala, terserlah ruang terbuka tanpa tingkap, dimana keseluruhan dindingnya dilitupi cermin. Di sebahagian cermin kelihatan gambar2 dilekatkan tidak teratur di sana sini. Gambar seorang gadis dengan berbagai aksi, kebanyakannya seperti diambil secara sembunyi tanpa disedari oleh gadis tersebut.

Muka lelaki itu berkerut, kelihatan otot dengan urat yang berselirat bergerak2 akibat menahan marah. Dia mencapai sebiji bola golf yang kebetulan berada di atas almari di tepi pintu. Suara teriakan yang kuat mengiringi tindakan kasarnya membuat lontaran semberono.

" Arggggghhhhhhhh!"

Prang! Bunyi kaca pecah berderai kedengaran sebaik sahaja bola yang dibaling itu mengenai cermin.

" Celaka kau Kimi."

" Hah! Kenapa kau mesti ada juga kat situ....itu rumah Nina, dan Nina hanya untuk aku...untuk aku!...arggggghhhhhhh!"

Lelaki itu berdengus lagi, mula mundar mandir macam orang gila. Langkahnya terhenti di bahagian cermin yang menempatkan gambar2 yang terlekat di situ.

Dia mendekati salah satu gambar tersebut, pantas ditariknya pita pelekat, hingga gambar tersebut tertanggal dari dinding bercermin. Gambar yang memfokuskan seorang gadis sedang ketawa dengan kawan2nya di hadapan pagar sebuah sekolah. Manis sunggh senyumannya dihiasi barisan gigi yang putih tersusun cantik.

Lelaki itu kemudiannya tersenyum. Segalanya masih segar di ingatannya, itulah gambar pertama yang berjaya dirakamnya secara tidak sengaja...dan dia terus jatuh hati pada yang empunya diri. Gambar2 lain menyusul kemudian, ke mana saja, di mana saja, bila berkesempatan, lensa kameranya pasti berkerja dengan baik.

Dia terus membawa gambar tersebut ke dadanya, di tekan seolah-olah ingin kepingan kertas itu tertanam di hatinya. Dia mula memejamkan mata...ada linangan airmata terjun dari tubir mata, dibiarkannya sahaja.

" Nina...Nina...Nina..." Dia mendesah.

Nama itu diulang-ulang sambil kepalanya digeleng ke kiri dan ke kanan, perbuatan yang juga diulang-ulang. Gambar itu kemudiannya diletakkan ke tepi.

Lelaki itu tiba2 bangun, hatinya sarat dengan rasa benci ketika itu. Pertemuan dengan Kimi sebentar tadi menyesakkan mindanya. Kimi yang menjadi penghalang perasaannya pada Nina. Kimi yang dulunya tak ubah seperti bayang2 Nina, di mana ada Nina, di situ ada Kimi. Dia benci, terlalu benci dengan Kimi.

Dia cuma berjaya mendekati Nina bila Kimi ke Universiti. Perlahan-lahan Nina mula membuka ruang persahabatan, itupun setelah dia dengan jayanya melakonkan watak seperti seorang abang pada Nina, cuba mengambil peranan Kimi secara perlahan-lahan. Detik2 bila berada di sebelah Nina, berbual dengan Nina, melihat Nina ketawa memang amat membahagiakan, hinggalah terjadinya apa yang telah terjadi.

Nina telah tersalah tafsir, Dia tak berniat untuk mencederakan atau menyakitkan hati Nina. Semua itu Dia lakukan dengan harapan dapat memiliki Nina, mengikat Nina padanya. Tapi, hati Nina rupanya, tetap untuk Kimi...hanya untuk Kimi seorang.

Dia masih ingat peristiwa itu, dan bagaimana penerimaan Nina. Nina menangis teresak-esak. Dia cuba menyentuh bahu Nina, tapi Nina mengelak.

" Jangan pegang aku, Setan!"

Terkejut! Mukanya berubah tiba-tiba. Dia tak pernah mengharapkan kata-kata seperti itu yang akan terbit dari bibir Nina. Yang didambakan adalah kata2 cinta, kasih dan sayang.

" Nina, jangan macam tu...abang sayangkan Nina. Abang ingin memperisterikan Nina."

" Abang tolong...jangan buat Nina macam ni." Nina cuba menjauhkan diri.

" Selama ni Nina baik jer dengan abang, Nina kan panggil abang, ABANG. Nina tak pernah panggil Kimi dengan panggilan Abang."

" Aku anggap kau macam abang aku...kenapa buat aku macam ni. Aku hanya cinta dan sayangkan Kimi seorang saja. Itu tak akan berubah. Faham!"

Lagi lagi Kimi. Apa sahaja kebaikan yang dia lakukan tak pernah dapat menandingi Kimi. Nafasnya mula turun naik, selama ini segala kebaikan yang dia taburkan tak memberi makna apa2.

" Kau keluar dari sini...keluarrrrrr!!" Nina mula melontarkan segala objek yang tercapai dek tangan, dia hanya mengelakkan badan.

" Aku akan keluar, tapi awas! Kalau kau berani bersuara tentang semua ni, kau akan menyesal." Dia mula melangkah keluar, dan itu hari terakhir dia bercakap dengan Nina. Nina tak pernah memberikannya peluang lagi selepas itu, selalu sahaja mengelak bertemu dan membisu seribu bahasa selepas peristiwa itu.

Kerana Nina tidak memberikannya peluang, dia terpaksa mencari peluang itu kemudiannya, walaupun secara paksaan. Dia tiada pilihan.

Dadanya berombak dengan gerakan pernafasan yang mula tak sekata. Kedua-dua tangannya digenggam keras tanda menahan marah. Rahang yang digerakkan dengan melagakan gigi atas dengan gigi bawah jelas menggambarkan perasaan marah yang ada di hati dan mindanya.

" Arrrgggghhhhhhhh....."

Sekali lagi perasaan marah itu diluahkan dengan cara sebegitu.

Dia berdengus lagi, kemudian berjalan menghampiri freezer dan membukanya. Dia mula mengisi gelas dengan ketulan ais, diikuti dengan Coca Cola. Dihirupnya perlahan. Lama dia berdiri begitu. Seolah-olah cuba menyejukkan amarah yang bersarang di hati.

Pintu peti ais ditutup, dia mula melangkah menghampiri sofa yang diletakkan di tengah ruang. Gelas air diletakkan di atas meja kopi. Dia terus membaringkan badannya, sambil belakang tapak tangan di bawa ke dahi seperti yang sering dilakukan sesiapa sahaja bila minda mula bekerja.

Terkejut! Sungguh dia terkejut memandang wajah gadis yang seiras Nina sewaktu berdiri di belakang Kimi tadi. Mahu saja dia bergerak menghampiri gadis itu, tapi dia masih waras, amat mustahil Nina masih boleh berdiri di situ. Hingga kini, hanya dia yang tahu di mana Nina...itu rahsianya yang tak mungkin akan diketahui sesiapa.

Hatinya semakin sakit bila tumpuan pandangan gadis tadi tepat mengarah kepada Kimi.

" Kenapa mesti Kimi lagi? "

" Kau tak akan menang kali ini Kimi, aku akan pastikan itu."

Lelaki itu mula tersenyum, nampaknya pencariannya selama ini akan berakhir, dia akhirnya menemui 'Nina' di dalam rumah Nina sendiri. Dia sudah penat berkenalan dengan berbagai perempuan, yang akhirnya tidak langsung menepati ciri2 seperti Nina. Semuanya menyebabkan dia gagal mengawal dirinya.

Dia mula menggeleng-gelengkan kepalanya lagi, dan kemudiannya meraup muka sambil bangun dari pembaringan. Tangan kanannya mula menggaru-garu kepala, lama kelamaan kedua-dua tangan dibawa memegang rambut dan merentapnya dengan kasar. Ada sesuatu yang ingin dipadamkan dari ingatan, dan dia mengeluh lagi.

" Ini pasti yang terakhir...kau akhirnya kembali, Nina." Lelaki itu mula ketawa,

Sememangnya gadis itu saling tak tumpah seperti Nina, dia sudah pastikannya tadi dan sudahpun tahu yang Si gadis bernama Deena.

Satu kebetulan yang terlalu sempurna, rupa yang seiras, menghuni di rumah yang sama, dan mempunyai nama yang hampir serupa sebutannya. Dan kebetulan yang paling tidak dia sukai, Kimi sentiasa muncul di antara mereka.

Lelaki itu sudah memasang tekad, 'Nina' atau Si Deena itu akan pasti jadi miliknya...dan Kimi tak akan menang kali ini.



*****

Lelaki itu memberhentikan kereta, selepas memasuki kawasan lapang yang sedikit tersembunyi dari bahu jalan, kira2 lima ratus meter jauhnya dari rumah Nina. Jam di dashbord menunjukkan pukul tiga pagi. Dia membuka pintu dan keluar, berdiri memandang ke arah rumah tersebut. Lama dia berdiri seolah-olah mempertimbangkan tindakan yang akan dilakukan.


Perlahan-lahan dia menapak ke arah rumah banglo dua tingkat itu. Sengaja dia kembali ke sini dinihari yang gelap pekat yang hanya diiringi bunyi cengkerik dan burung hantu bertingkah seperti irama latar.

Ketika sampai di hadapan pintu pagar, dia tiba2 berhenti di bawah sepohon pokok ceri yang merimbun. Sengaja dicari rimbunan yang dapat menyembunyikan dia dari kecerahan lampu jalan. Kelihatan bilik hadapan sudah gelap, bilik yang dahulunya milik Nina, kini mungkin sudah menjadi kamar inapan Deena.

Dia kemudiannya mengalih tumpuan ke arah pokok bonzai Borgenvilla yang menghiasi kiri dan kanan pintu pagar. Bonzai yang mengimbau memori, bonzai yang diilhamkan Nina suatu petang ketika Nina dan Kimi berbual di depan laman rumah Nina. Dia yang kebetulan sedang menyiapkan kerjanya mencuri dengar perbualan mereka.

" Pagar depan rumah Nina ni nampak kosong la...tak mau tanam pokok ka?" Dia terdengar Kimi bertanya soalan tersebut.

Sekilas dia mencuri pandang wajah Nina. Dia melihat Nina tersenyum ke arah Kimi. manis sungguh! Tak mengapalah, suatu hari nanti...senyuman itu pasti jadi miliknya.

" Kimi ni, macam boleh baca apa Nina pikir la...Nina memang nak cakap tentang pagar dan pokok dengan Kimi. Macamana Kimi tau?" Nina mencubit pipi Kimi, dia melihat Kimi cuba mengelak. Hmm..terpaksa mata dan telinganya menonton adegan yang menyakitkan hatinya.

" Entah..Kimi cuma terfikir pasai pagar ni baru2 ni...nampak macam terlampau kosong, teringat nak tanya Nina hari ni."

" Hmm....'' Nina kiamkan tangan kirinya, tangan kanan dibengkokkan sambil jari telunjuk sebelah kanan itu diletakkan di tepi bibir, seolah-olah berfikir. " Nina dah lama berangan, sejak di rumah lama dulu, kalau dah pindah, Nina nak suruh ayah tanam Borgenvilla dalam pasu besar di kiri dan kanan pagar. Bila besar pokok tu, boleh la bentukkan jadi pintu gerbang...mesti cantik, kan!" Sambil menceritakan ideanya pada Kimi, tangan Nina bergerak-gerak menggayakan seperti pintu gerbang.

" Ek eh...macamana Nina boleh pikir sama cam Kimi ha...Kimi pun nak bagi idea yang sama." Kimi buat muka terkejut. Hmm...berbulu dia, bila melihatkan perangai Kimi, konon2 nak tunjukkan sehati sejiwa dengan Nina lah tu.

" Eleh...ya la tu. Kononnya la Kimi pikir camtu juga." Nina ketawa kecil, kemudian menyambung bicara. " Kimi tau kan Nina suka bunga melor, Nina nak suruh ayah tanam pokok melor kat hujung sudut sana." Tangan Nina diarahkan ke sudut kiri pagar. Kimi dilihatnya menganggukkan kepala tanda setuju.

Dia sudah tak larat untuk menonton adegan Nina dan Kimi lepas tu. Sakit hati menguasai diri membuatkan dia perlahan-lahan beredar dari situ. Dan...seminggu lepas tu, selepas Ayah Nina memberitahu kehendak Nina, dia menawarkan diri mendapatkan pokok bunga melur dan menyediakan Borgenvilla di dalam pasu sebesar dua pemeluk orang dewasa untuk ditempatkan di pintu pagar utama.

Hari ini Borgenvilla yang dibentuk menjadi pintu gerbang itu sudah tumbuh subur menghiasi laluan utama ke dalam kawasan rumah tersebut...hasil dari idea Nina hari itu. Pandangannya dialihkan ke sudut kiri pagar, pokok melor pun sudah besar dan berbunga, harum baunya kadang2 dibawa angin menusuk hidung.

Dia tiba2 dikejutkan satu suara jeritan, tercangak-cangak dia mencari arah suara tersebut. Lampu bilik hadapan tiba2 bernyala terang, dengan cepat dia menyelinap ke bawah pokok, menjauhi kecerahan lampu...bimbang jika ada yang perasan kehadirannya.


*****



Deena menjerit nyaring di dalam kegelapan malam, bangun dalam keadaan masih keliru di atas katilnya. Dia menangis dan menggigil ketakutan, masih tak dapat mencerna di mana sebenarnya dia berada. Lampu biliknya tiba2 menyala terang. Mak orang yang pertama menerpa ke arah Deena, dipeluknya Deena erat2.

" Deena, mimpi lagi ni, rasanya lah." Puan Nora berkata, sambil memandang ke arah suaminya.

" Deena, Deena Okay ker?" Encik Hisyam menggoncangkan bahu Deena.

Deena mengangguk lemah, mengesat airmatanya dengan selimut yang menutupi tubuhnya. Perlahan-lahan tangannya meraup muka.

" Mimpi hari tu, perempuan tu datang lagi." Deena memandang emaknya.

" Mainan tidur lagi agaknya, jangan fikir sangat." Puan Nora menggosok belakang Deena, cuba mententeramkan perasaannya.

" Tak...perempuan tu datang lagi. Cek takut, tak tau apa dia nak dari Cek."

Puan Nora membuka mulut untuk memperkatakan sesuatu, tapi dihalang dengan isyarat tangan oleh Encik Hisyam.

" Deena mimpi apa sebenarnya?" Encik Hisyam mula menyoal.

" Cek mimpi berjalan ke tepi pagar, ada pokok bunga melor kat situ." Deena mula bercerita sambil memandang ayahnya.

Amar yang berdiri di muka pintu sedari tadi, mula mendekat, dia mengambil tempat di birai katil.

" Masa nak kutip bunga tu, tiba2 Cek nampak ada sorang perempuan pakai semua putih dok berdiri kat situ. Nampak belakang dia ja. Cek tanya dia, dia kutip bunga jugak ka."

Amar menggosok-gosokkan lengannya, seolah-olah dia mula merasa seram sejuk mendengar cerita Deena.

" Habis...dia jawab apa, Along ? Amar mula berminat.

" Dia palingkan badan, sambil suakan tangan dia yang penuh bunga melor. Bila Along pandang muka dia...baru Along perasan, muka kami sama. Tapi lepas tu, muka dia pelan2 jadi kosong. Along pun terus menjerit dan sedaq dari mimpi." Deena menghabiskan ceritanya. Sekali sekala tangannya mengurut pangkal leher.

Encik Hisyam menganggukkan kepalanya, kemudiannya memandang Puan Nora.

" Kalau macam ni berterusan, kita pindah sajalah Abang, Nor rasa tak sedap hati la."


Encik Hisyam menggelengkan kepalanya. " Nanti dulu, masih terlalu awal sampai nak pindah2, buat apa...sabarlah dulu." Matanya merenung tepat ke arah isterinya.

" Macam ni lah, Deena tidur dulu. Esok, kita fikir tentang mimpi Deena tu. Lagipun semua orang penat lepas kenduri tadi." Encik Hisyam menepuk bahu Deena.

Walaupun merasai yang ayat yang keluar dari mulut ayahnya hanyalah sekadar untuk menyedapkan hati, Deena mengiyakan saja kata2 ayahnya. Memang! Dia sendiri kepenatan dan sakit2 seluruh badan. Tapi, betul juga kata ayah, untuk berpindah, rasanya masih terlalu awal untuk difikirkan. Dan...kalaulah mimpi2 tu satu alamat perungkai misteri, keinginan untuk mengetahuinya dirasakan semakin kuat.


" Deena boleh tidur sendiri ke?" Puan Nora kelihatan risaukan keadaan anaknya itu.

" Boleh, Insyallah! Tak kan ada apa2 kut." Deena tersenyum.

" Nak Mak tutupkan lampu, atau nak biarkan? "

" Biarkan dulu...Cek nak pi bilik air."

Deena memandang saja Mak dan Ayahnya keluar dari bilik diikuti oleh Amar. Sebelum keluar, Amar sempat berpaling dan mengangkat kedua-dua tangannya seperti isyarat hantu. Deena terus mencapai sebiji bantal dan melontarnya. Bantal itu tepat mendarat di muka Amar, namun Amar hanya ketawa kecil, mungkin takut dimarahi ayahnya, kalau tahu apa yang dilakukannya tadi.

Selimut yang menutupi badan diselak untuk bangun, sebaik kaki digerakkan, dia dapat, merasakan ada butiran2 kecil yang kesat menyentuh betis dan tapak kaki. Hati Deena mula berdebar, perlahan ditariknya keseluruhan selimut, dan apa yang dilihatnya cukup untuk membuatkan mulutnya terlopong dan hampir menjerit, namun berjaya mengawal diri.

Di atas tilam, di seluruh kawasan betis ke bawah kaki, bunga melor bertaburan, bau harumannya menusuk hidung.

No comments:

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU