Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Wednesday, November 5, 2014

NOMBOR 23 - BAB 8


IPK, Shah Alam
PETANG-PETANG begini, bukanlah waktu untuk bergerak pulang seperti orang bekerja makan gaji yang lain. Terutamanya jika ada kes-kes yang perlu diselesaikan segera. Tak ada lagi istilah ‘ office hour’ kerana dia akan terpaksa bekerja lebih dari masa yang ditetapkan. Apa nak buat, itukan pilihan sendiri! Maka kerana itu, dia masih di pejabat kecilnya sambil meneliti barang bukti kes.
Dia masih bingung dengan fenomena yang telah menimpa dirinya. Tak salah lagi, segala imbasan yang dia nampak ternyata berkait dengan pembunuhan yang sedang disiasatnya. Cuma imbasan itu tidak menjawab persoalan tentang bagaimana pembunuhan itu terjadi dan siapa yang melakukannya.
Adakah itu boleh dianggap kebolehan psikik? Kebolehan psikik yang hanya terdapat dalam cerita dari Barat sahaja. Tak pernah dengar dan tak pernah terjumpa yang sewaktu dengannya di Malaysia. Dia geleng kepala.
Pada firasat Akmal, Datuk Khairel kenal siapa mangsa bunuh terbabit. Cuma Akmal tidak pasti samada Datuk Khairel tahu kenapa mangsa ditembak. Yang peliknya, Datuk kelihatan resah. Dia tiba-tiba bimbangkan keselamatan anak gadisnya… sehingga terfikir untuk menggajikan orang Indonesia sebagai bodyguard? Sudah tidak percayakah dia pada orang tempatan?
Telefon di atas meja berdering tiba-tiba hingga membuatkan dia tersentak. Segera dia mengangkat gagang. Suara telefonis kedengaran di hujung talian. Ada panggilan dari luar katanya…
“ Baiklah! Sambungkan.”
“ Assalamu’alaikum! ASP Akmal?” Suara garau seorang lelaki kedengaran di sebelah sana.
“ Ya! Saya Akmal. Dengan siapa saya bercakap?”
“ Hamba ALLAH. Aku ada maklumat untuk kau…”
“ Maklumat tentang apa?”
“ Tentang pembunuhan yang berlaku di hadapan rumah Datuk Khairel.” Mendengar kata-kata itu membuatkan jantung Akmal berdegup laju. Sesuatu yang dia tunggu untuk memecahkan kebuntuan siasatan mereka.
 “ Kamu saksi kejadian? Boleh kita jumpa di mana-mana? Jangan bimbang, kami akan lindungi kamu jika kamu beri kerjasama.”
“ Aku tidak berminat untuk ke depan. Aku cuma nak beritahu kau, apa yang kau nampak di lokasi, tidak menggambarkan kejadian sebenar. Ada orang sedang mempermainkan pihak polis dengan bukti palsu. Mungkin… orang yang patut mati, tidak mati. Dan orang yang tak bersalah… menjadi mangsa…” komen Lelaki itu.
“ Apa kamu merepek ni? Macam mana aku nak percaya dengan maklumat kau ni?” Kerana orang itu menggunakan gantinama ‘aku’ dan ‘kau’, dia turut berbuat begitu.
“ Kau polis kan? Terserah kau untuk menyiasat. Tutt…tut… tut… ” dan talian dimatikan serta merta sebelum sempat Akmal bertanya lebih lanjut.
Akmal menghempas telefon. Dia kecewa kerana gagal berkompromi dengan lelaki tadi. Siapakah dia? Adakah dia saksi kejadian atau dia sendiri yang melepaskan tembakan? Akmal menggaru kepala.
Dia bangun, keluar ke tingkat bawah menuju ke mesin minuman ringan. Rasa panas di dalam perlu disejukkan dengan minuman.



AKMAL tersenyum seorang. Entah kenapa, dia tiba-tiba teringatkan pertemuannya dengan April. Sejak hari itu, dia masih belum menelefon April. Mat Top pun, belum sempat dijengah. Kata Ah Kong, teruk juga cederanya. Namun dia masih belum buat keputusan samada mahu maklumkan pada April atau tidak.
Tentu April masih marahkan dia. Erk! Teruk sangat ke bahasa dia tempohari?
 Memang tak insuran agaknya mulut dia hari itu. Sampai muka April tu, masam mengalah cuka epal. Mulanya dia memang geram sebab dia yakin pengsan April itu satu lakonan. Rasa geram itu bertambah apabila April itu seperti mahu menunjuk yang dia banyak duit. Tahulah yang waktu tu, April pandu Honda City. Walaupun April tidak tahu, tetapi Akmal sedar diri… dia hanya ada kereta Waja aje.
Dia menyeluk kocek seluar dan mengeluarkam dompet duitnya. Mencari kad yang April berikan minggu lepas. Dia hampir terlupa di mana dia letakkan kad itu, mujur terjumpa di dalam kocek seluar yang dipakainya pada hari kejadian. Kad itu sudah sedikit kabur, agaknya terendam dan sudah berputar di dalam mesin basuh. Main masuk aje dalam dompet sejak terjumpa semula semalam.
Dia membaca informasi yang tertulis di situ. Hmm… pemilik butik. Patutlah yang seorang putih mulus dan yang seorang lagi berwarna warni pakaiannya. Kata mereka, ini pertama kali datang Selangor, tetapi yang peliknya… sudah ada butik dekat Subang Jaya? Kena tipukah dia? Sama seperti adegan pengsan tiba-tiba itu? Tiba-tiba rasa menyesal sebab tak marah April betul-betul hari itu. Sepatutnya, dia perlu buat repot polis.  Tetapi dia jatuh kesian apabila beriya benar Si Natrah itu meminta simpati supaya jangan dipanjangkan kes. Lagipun, dia pun, salah juga. Dia menggeleng kepala. Kalau mereka tu tidak mahu bayar kos baik-pulih Mat Top tu, sendiri tanggonglah jawabnya.
Nama yang tercatat di atas kad tu… menarik perhatiannya,

                  April Nur Karmila Abdul Rahman.

Hmm… Nur Karmila lagi? Kenapalah sejak kebelakangan ini, nama Karmila macam menghantui dia sahaja? Siasat kes yang ada hubung kait dengan Teratak Nur Karmila. Terjumpa pula dengan perempuan yang namanya Nur Karmila juga? Macam ada jodoh yang telah tersurat antara mereka. Kononnya!
Akmal tersenyum lagi. Dah gaya macam orang angau pula. Seumur hidup, inilah pertama kali dia bertemu perempuan cantik yang membuat matanya terkebil-kebil dan jantungnya berdegup kencang. Cuma permulaannya agak tidak berapa menjanjikan sesuatu yang bagus. Mahu berjodoh macam mana?
Tapi, siapa tahu, kan! Entah-entah… itu jodoh yang dia nanti selama ini.

Dia tersengih sendiri.

1 comment:

Anonymous said...

Best2. Sambung pkease

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU