Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Monday, November 3, 2014

NOMBOR 23 - BAB 7 ( Babak2 &3)


Perjalanan dari IPK ke Teratak Nur Karmila.
ADA perubahan rancangan. Kata Tuan Bakarin, Datuk Khairel sudah pulang ke rumah dan soal siasat akan diadakan di rumah Datuk Khairel. Sejak malam kejadian, ini kali kedua dia bakal menjejakkan kaki ke rumah agam itu. Bila ingat rumah agam tu, risau pula takut sakit kepalanya menyerang lagi. Entah kenapa, terasa macam ada hubung-kait pula antara sakit kepala dengan rumah tu.
Entah teori apalah yang Akmal pakai? Hubung kait konon! 
Kebiasaanya, kalau petang-petang begini, cuaca akan panas terik. Mujur cuaca petang ini sedikit mendung. Matahari malu-malu bersembunyi di sebalik awan yang sudah mula hitam. Namun begitu, belum nampak tanda-tanda hujan akan turun. Mujur, jika cuaca panas, selalunya akan membuat sakit kepalanya bertambah teruk.
Akmal membelok keluar dari Jalan Tengku Badlishah memasuki Pesiaran Kayangan dan mengarah ke Seksyen 8. Tuan Bakarin yang duduk di sebelahnya kelihatan sedang menekan punat kekunci di telefon bimbitnya. Sesekali dia tersenyum macam orang bercinta.
“ SMS makwe ke, tuan?” Usik Akmal tersengih.
Hanya senyum simpul yang dia dapat sebagai jawapan. Namun dia sedia maklum apa maksudnya. Lelaki Idaman Malaya macam Tuan Bakarin memang senang dapat buah hati. Ada sahaja wanita yang sudi menjadi kekasihnya. Mengikut cerita dari kawan-kawannya, ketuanya ini pun, boleh tahan juga romeonya. Hingga ada yang menggelarkannya ‘Hero Bunga’. Tapi walaupun hero bunga, kerjanya sentiasa ‘tip top’. Itu kata mereka, bukan kata dia. Bagi orang yang baru berpindah, dia hanya layak menadah telinga sahaja. Hmm… tiba-tiba terasa kesian pula dengan isteri Tuan Bakarin yang lemah lembut dan cantik manis tu. Entah-entah sudah dimadukan pun… dia tak tahu!
“ Awak ada buah hati?” Soal Tuan Bakarin.
“ Mana ada orang yang nak kan saya… saya bukan handsome dan berpangkat macam tuan. Duduk flat kecil ihsan bapak saudara pulak tu.” Akmal tergelak kecil. Anehnya, soalan itu sekali lagi menyebabkan wajah cantik pemilik nama April, gentayangan di layar mindanya.
Tuan Bakarin buat aksi tidak percaya dengan mengecilkan matanya sambil merenung Akmal. “ Apa tak handsomenya… muka separa bujur, mata redup, kumis macho… tu, kening awak yang lebat tu, kira daya penariklah tu. Sekali tengok… macam panglima Melayu zaman dulu-dulu. Macam iras-iras M. Nasir pun ada. Dua kali tengok, macam Pekin Ibrahim tu. Tapi bila lama-lama tengok … awak macam awak sendirilah. Tersendiri versi Lelaki Melayu Terakhir.” Dia berhenti ketawa. Akmal ikut ketawa sambil menggeleng kepala. Nak kata dia tengah kena bodek macam tak logiklah pula.
“ Cuma… tak berapa compatible dengan isu kentut tadi” Tuan Bakarin tergelak. “ Bukan awak kan?” Soalan DSP Bakarin macam orang mahu serkap jarang aje. Lepas dia puji Akmal, dia main kutuk pula.
“ Isy! Mana ada saya yang kentut. Orang lain tu.”
“ Saja jer. Mana tahu… kut-kut mengena. Boleh jugak makan nasi mamak sedap-sedap, kan!”
Hek eleh, pandai pulak mahu bergurau. Akmal tersengih herot.
“Sumpah! Bukan saya.” Dia buat gaya orang angkat sumpah. “Saya sangat terharu dengan pujian tuan tadi tu. Macam M. Nasir? Pekin Ibrahim? Isy! Masalahnya, tak ada pulak perempuan yang kata saya lagu tu. Depa mesti mata kere.”
“ Perkataan ‘lagu’ saya tahulah. Tapi kere tu apa pulak maksudnya?”
Isy! Tuan Bakarin ni, kere pun tak tahu! Akmal tersengih.“ Kere tu… macam kelabulah. Tak nampak dengan terang, dalam bahasa Penang.”
Tuan Bakarin terangguk-angguk, tanda faham.
“ Awak ni sebenarnya, ada kriteria memikat perempuan. Saja nak merendah diri depan saya pulak.  Kalau nak, saya boleh rekomenkan… pilih saja nak yang mana,” usik Tuan Bakarin.
“Tuan kata apa tadi? Saya macam M. Nasir? Isy! Saya dengan M. Nasir tu, macam langit dengan Bumi. Dengan Pekin tu, rasanya saya handsome lagi kut.” Akmal ketawa kecil. “Tapi, tak payahlah tuan nak tolong rekomen pulak. Sebab, kalau datang sakit kepala saya nanti… saya takut, makwe pun boleh lari.”
“ Teruk sangat ke sakit kepala kamu tu?’
“ Teruklah juga. Kata emak saya… sejak sekolah rendah lagi. Dah masuk keluar hospital. Tapi doktor kata tak ada apa-apa. Bila dah dewasa sikit, depa kata migrain. Migrain la agaknya. Yang herannya, serangan tu semakin kerap sejak saya pindah ke sini. Bila kena serangan, kadang-kadang saya cepat naik angin. Nak marah orang saja la.”
Tuan Bakarin geleng kepala. “ Takkanlah sebab sakit kepala… awak tak berminat dengan perempuan?”
Akmal ketawa kecil. Tak tahu mahu respon macam mana.
Hmm… memang Akmal tak pernah ada buah hati pun. Tapi itu bukan bererti dia tak berminat dengan perempuan. Entahlah! Dia belum pernah rasa tertarik dengan mana-mana perempuan. Bukan tak ada yang cuba-cuba nak tawar diri. Cuma… dia belum terbuka hati. Belum ada perempuan yang boleh buatkan dunia sekelilingnya berhenti berputar. Dan, belum ada perempuan yang berjaya membuatkan jantungnya berlari pantas setiap kali memandang mereka. Memikirkan itu, sekali lagi dia teringatkan April. Hisy… Berhantu betullah minah seorang ni!
“ Apa awak tahu tentang Datuk Khairel?” Soal Tuan Bakarin yang tiba-tiba itu membuatkan dia tersedak air liur. Tidak terlintas pula untuk menyiasat tentang latar belakang Datuk Khairel sehinggalah perbincangan pagi tadi.
“ Setahu saya, dia hartawan terkenal. Kata kawan-kawan, dia tu baik orangnya. Selalu beri sumbangan dan adakan keraian. Tak sombong pulak dengan orang. Tu ajalah yang saya tahu. Berjumpa pun belum pernah. Cuma sesekali, naiklah nama dan gambarnya dalam paper atau tv. Selalunya kalau melibatkan aktiviti kemasyarakatan atau isu keamanan macam isu Palestin tu. Macam mustahil pulak kalau tembakan tu ditujukan untuk dia.”
Tuan Bakarin mengangguk. Dia tidak memberi sebarang komen.
Tidak sampai 15 minit, mereka sudah sampai di hadapan pintu pagar utama. Entah kenapa, Akmal mengelakkan diri dari memandang huruf-huruf yang tertulis pada tembok berhampiran pagar. Walaupun tahu itu hanya sekadar blok tulisan, dia bimbang jika sakit kepalanya bakal menyerang seperti malam sebelumnya. Hmm… hingga hari ini, dia masih keliru impak mimpi, lokasi kejadian dengan serangan sakit kepala yang dia alami. Maka, dia hanya mahu ambil langkah berhati-hati.
Mereka memperkenalkan diri di pos keselamatan bersebelahan dengan pintu utama, lalu dibenarkan masuk tanpa banyak karenah. Memarkir kereta di ruangan yang dikhaskan pada tetamu… sedikit jauh dari bangunan utama.
Terpegun Akmal melihatkan rekabentuk rumah agam yang hampir 80 peratus bercirikan tradisional. Binaan itu terdiri dari bangunan utama bersama sayap kiri dan sayap kanan. Huh! Besarnya! Waktu datang pertama kali di malam hari, tidaklah nampak sehebat di siang hari. Kebanyakan binaannya diperbuat daripada kayu. Ada bahagian-bahagian yang sarat dihiasi ukiran-ukiran seperti motif yang menghiasi istana lama. Memang cantik sungguh! Sambil melangkah matanya memerhati sekeliling, terpesona dengan lanskap yang dihiasi pokok-pokok renek berdaun hijau melatari lorong yang sengaja dibentuk berliku. Di beberapa tempat,  pemandangan hijau itu diselang-seli dengan pokok berbunga seperti ros, bunga orkid, jenjarum dan bermacam lagi. Sejuk sungguh pandangan mata.
Terlalu ralit memandang sekeliling, tahu-tahu mereka sudah sampai di hadapan pintu utama. Bahunya dicuit Tuan Bakarin dari belakang. Akmal berkalih, terus angkat dagu.
“ Pandai kamu teka arah pintu utama. Macam dah biasa masuk ke sini aja.”
Akmal garu kepala. Ya tak ya jugak. Pandang kiri, pandang kanan, tahu tahu kaki sudah ada di sini.
“ Entahlah! Kaki saya yang bawa…” jawabnya tersengih.




Teratak Nur Karmila
DATUK KHAIREL sudah sedia menanti di atas katil di dalam bilik yang terletak berhampiran ruang tamu. Bilik itu sudah diubahsuai dan kelihatan seperti wad di dalam hospital. Paha kirinya masih berbalut. Dia sedang berkata sesuatu kepada seorang lelaki yang lebih kurang sebaya Akmal. Mungkin itu pekerjanya.
Sebaik menyedari kehadiran mereka berdua, Datuk Khairel segera membetulkan sandarnya, kelihatan sedikit payah untuk dilakukannya.
“ Assalamu’alaikum, Datuk!
 “Wa’alaikum Salam!” Balas Datuk Khairel sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia mengerutkan dahi tanda menahan sakit. “ Marzuki, awak boleh tinggalkan kami.” Katanya kepada pembantunya, orang yang sama yang menyambut mereka di pintu hadapan dan membawa mereka ke sini.
Marzuki mengangguk lalu keluar dari situ.
 “Tak payah bergerak, Datuk. Pergerakan yang banyak tak bagus untuk keadaan Datuk. Kami cuma perlukan masa Datuk sebentar saja,” ucap Tuan Bakarin berbahasa setelah melihat Datuk Khairel sedang membetulkan kedudukannya..
Datuk Khairel mengangguk.
“ Oh! Lupa nak kenalkan diri. Saya DSP Bakarin. Ini ASP Akmal Firdaus. Maaf mengganggu Datuk.”
Datuk Khairel tersengih. “ Tak ada apa. Hal kecil saja. Sayapun nak tahu jugak apa yang terjadi malam tu…” sehabis bercakap dengan Tuan Bakarin, Datuk Khairel menghulurkan tangan ke arah Akmal. Lama dia merenung Akmal sambil tangan masih tergenggam. Ada rasa tidak selesa di dalam hati Akmal bila ditenung begitu..
“ Akmal Firdaus.” Ucap Akmal memperkenalkan diri.
 “ Hai! Asal orang mana?”
Aiseh! Misteri nusantara betul. Ada ke baru jumpa aje, dah tanya dia dari mana. “ Saya baru ditukarkan dari Pulau Pinang, Datuk! Belum sampai sebulan pun.”
“ Oh! Patut tak pernah nampak.” Datuk Khairel tersengih.
 “ Oh! Ya, kenalkan… ini Karno Wagiman. Saya sedang jalankan temuduga hari ini. Lepas apa yang jadi pada saya… risau pulak akan keselamatan anak perempuan saya. Rancangnya, nak assigned bodyguard untuk menjaga keselamatan dia.”
Orang yang diperkenalkan sebagai Karno itu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Tuan Bakarin. Wajahnya, sedap mata memandang, namun renungannya, tajam menikam. Ketinggiannya sederhana. Badannya sedikit berisi. Mempunyai kening yang lebat. Ada kumis sederhana tebal melindungi bahagian atas bibir. Rambutnya panjang melepasi bahu dan diikat satu stail ponytail. Dia memakai topi besbol warna merah dengan lambang ‘Manchaster United’. Saat dia berkalih menggenggam tangan Akmal, matanya merenung tajam ke muka Akmal.
Tindakannya membuat Akmal rasa kurang selesa. Pelik betul!
“ Orang Indonesia?” Soal Akmal bersahaja.
“ Saya, bapak! Udah dua tahun di Malaysia.” Jawabnya dalam pelat Indonesia.
“ Jangan risau. Saya akan pastikan dia ada KETEPE. Ada permit. Lepas tu… barulah boleh ambil bekerja.” Gurau Datuk Khairel. Dan, mereka semuanya ketawa.
“ Duduklah! DSP Bakarin, ASP Akmal.” Ujar Datuk Khairel sebelum berkalih memandang Karno. “ Karno! Saya sudah siap dengan kamu. Kalau jadi, saya akan hubungi kamu.”
Tanpa banyak bicara, Karno mengangguk dan bergerak ke luar. Sempat juga dia mengerling  ke arah Akmal sebelum melangkah ke luar.
“ Apa yang boleh saya bantu? Rasanya saya sudah ceritakan segalanya,” ucap Datuk Khairel sambil memandang ASP Bakarin. Mukanya berkerut menahan sakit. “ Saya sebenarnya, tak boleh banyak bergerak. Tapi, selagi saya tak tahu apa-apa tentang kejadian malam tu, saya pun rasa tak selesa. Harap-harap, tembakan itu bukan ditujukan untuk saya. Rasa saya… saya tak ada musuh. Tak tahulah kalau ada yang dengki atau iri hati,” ulasnya dengan perlahan.
“ Kami sedang usahakan siasatan. Buat masa ini, kami belum ada suspek ataupun motif tembakan. Sebab itu rasanya, kami kena soal Datuk semula. Mungkin boleh pick balik apa-apa yang tertinggal.” Ucap Tuan Bakarin sebelum menceritakan sedikit sebanyak maklumat yang pihak polis ada.
Sesekali Datuk Khairel mengangguk perlahan.
“ Boleh Datuk ceritakan semula kejadian malam tu?” Soal Tuan Bakarin.
Datuk Khairel mengangguk lagi. Kemudian terdiam seketika.
 Dia memejamkan matanya beberapa saat sebelum mula bercakap. “ Semuanya jadi terlalu cepat. Bila saya sampai di depan pintu pagar, lelaki tu dahpun menanti di situ. Dia beritahu pemandu saya, nak jumpa saya. Dia kata dia kenal saya. Yang hairannya, saya tak kenalpun dia…” dia mula bercerita tentang peristiwa itu semula.
Hmm… boleh saya tahu, semasa dia ditembak, berapa jarak antara Datuk dan dia?” Celah Akmal pula.
“ Saya tak pasti. Rasanya tak jauh sangat. Saya terkejut dan cuba untuk selamatkan diri. Masa tulah, paha saya kena peluru. Kelam kabut sungguh! Saya tak berapa ingat sangat. Maaf, hanya itu yang saya ingat. Saya tak dapat nak tolong lagi.” Datuk Khairel mengerutkan mukanya sambil mengurut pangkal pahanya yang masih berbalut.
 “ Takkanlah dalam tiga orang yang ada di tempat kejadian, seorangpun tak boleh ingat betul-betul?” Spontan Akmal menyoal.
Tuan Bakarin berdehem. Dia memandang tajam ke arah Akmal. Begitu juga dengan Datuk Khairel. Ada riak tidak senang dengan ayat tadi.
Hmm…” Tuan Bakarin mahu berkata sesuatu. Namun dipintas oleh Datuk Khairel.
“ Kita berhenti di sini saja. Saya perlu berbaring. Dah makin berdenyut kaki saya yang sakit ni.” Serentak dengan itu juga, Akmal menerima renungan tajam dari Tuan Bakarin. Mungkinkah dia sudah merosakkan mood Datuk Khairel?

Setuju atau tidak, Akmal dan Tuan Bakarin terpaksa mengangguk. Mereka akur dengan permintaan Datuk Khairel. 

1 comment:

Anonymous said...

Best2.sambung please

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU