Imbas kembali, hari yang sama
Kawasan Perkuburan, Taman Murni.
“ ACIK dah agak, pasti adik akan
ke sini. Puas Acik cari keliling rumah. Tanya Ti’ah tadi, diapun tak tahu…”
Suara Acik tiba-tiba bergema dari belakang April.
April menoleh sekilas. Diam.
Surah Yasin yang sudah habis
dibaca tadi dimasukkan ke dalam beg tangannya. Dia menyapu baki airmata yang
membasahi pipi. Bangun dan memaksa dirinya untuk tersenyum sekilas pada Acik.
Sebaik habis sesi pembacaan
wasiat tadi, dia bergegas meninggalkan rumah. Tak tahu mahu menuju ke mana? Tak
pasti kepada siapa mahu dicurah segala resah? Dia akhirnya membelok ke arah
kawasan perkuburan dan menangis di kuburan mama. Sedih sungguh! Namun dia
sedang belajar untuk redha.
“ Dah berapa lama Acik sampai?”
Tanya dia lemah.
“ Sempatlah habiskan Al-Fatihah
dan Al-Ikhlas. Sempat juga tengok adik menangis sambil baca Yasin tadi.”
“ Adik sedih… tak tahu nak cakap
macam mana.” Mata April berlaga dengan mata Acik.
“ Acik faham,” balas Acik. Tangannya menyentuh bahu April
lembut.
Diam.
“ Apapun status adik, adik tetap
adik kesayangan Acik. Jom! Acik belanja makan dekat Pantai Irama. Banyak yang
Acik nak ceritakan pada adik. Lagipun, ada amanat papa yang perlu Acik tunaikan
untuk Adik.”
April kemutkan hidung. “ Amanat
apa lagi?”
“ Adalah… itu rahsia yang Acik
dengan papa aje yang tahu. Tak melibatkan orang lain dan tidak termasuk dalam
wasiat.”
April buat muka hairan lalu
menggeleng kepala.“ Tak payah pergi jauh-jauhlah. Kita berbual dekat bawah
pokok kat luar pagar tu ajalah. Kat tepi kereta adik tu. Adik tak ada mood nak
pergi jauh-jauh.”
Acik angkat bahu dengan keadaan
kedua-dua tangannya masih di dalam kocek baju Melayu. Dia mengangguk.
April senyum segaris sebelum
melangkah diikuti Acik yang beriringan di sebelahnya.
“ Kenapa semua orang rahsiakan
dari adik? Hampir dua puluh tahun… macam tak percaya semua orang boleh simpan
rahsia sekuat tu.” April memulakan pertanyaan. Sejak tadi, itu yang
berlegar-legar di kepalanya. Tak ada satupun aksi dan perlakuan yang
menunjukkan dia anak angkat. Cuma dia perasan, sejak dulu, Along dan Angah tidak
berapa sukakan dia. Mereka tidak semesra Acik dalam melayannya.
“ Itu arahan papa dan mama. Siapa
berani buka rahsia… papa ugut dengan balasan setimpal. Tapi dia tak pernah
cakap nak buat apa, atau bagaimana dendanya. Yang Acik ingat, adik… anak Kak
Siti yang menumpang di rumah. Dia meninggal sewaktu melahirkan adik. Ingat
kubur Mak Iti yang mama selalu bawa adik ziarah di Pasir Mas tu?” Soal Acik.
April mengangguk perlahan.
Sebaik sampai di kawasan parkir
kereta, dia mengambil tempat duduk berhampiran pangkal pokok cemara tua. Acik
menurut saja.
April menghela nafas. Manakan
boleh lupa aktiviti yang sudah menjadi rutin setiap tahun untuk mereka. Memang
selama hayat mama, setiap kali Hari Raya, mereka pasti ke Pasir Mas melawat
pusara Mak Iti. Mama selalu ajar April berdoa untuk kesejahteraan Mak Iti. Tak
sangka… Mak Iti itulah ibu kandungnya.
“Masa Adik lahir, Acik darjah satu. Angah dan
Along, duduk di asrama. Sebab tu mereka tak rapat dengan adik. Lepas tingkatan
lima, dua-dua orang ke oversea. Jadi
antara dia orang dengan adik macam ada gap.”
April mengangguk. Dia semakin
faham.
“ Sebab tulah, Angah dengan Along
macam tak sukakan adik?”
Acik menggeleng. “ Bukan tak
suka. Mereka cuma tak banyak masa bersama Adik. Tak macam Acik yang asyik
berkepit dengan adik sejak dulu…” dia tersengih. “ Lagipun, Along dengan Angah
tu, tersilap pilih isteri.”
“ Patutlah…”
“ Patutlah apa?” Soal Acik
kehairanan.
“ Patutlah papa selalu suruh adik
jaga aurat depan abang-abang. Bila adik cakap, kita mahram… papa geleng kepala.
Papa cuma cakap, mahram pun lelaki juga, lebih manis jika adik jaga yang mana
patut.”
Acik mengangguk. “ Adik dah boleh
terima semua ni?”
April angguk. Sebelum diam yang
agak lama.
Matanya merenung rumput di kaki.
Sekumpulan semut, sedang mengangkat bangkai rama-rama tidak jauh dari situ. “
Adik sedang belajar menerima. Sedih kat dalam hati adik, hanya adik dan ALLAH
yang tahu. Tapi adik ambil nasihat Tuan Haji tadi, adik kena berbalik kepada
takdir dan ketentuan ALLAH. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Lagipun, Adik tahu
papa sayangkan adik. Dibesarkan dengan kasih sayang papa dan mama pun… dah
cukup untuk Adik. Dapat rumah sebiji tu pun… dah cukup syukur. Maka adik kena
tunjukkan rasa terima kasih adik dengan cara meredai segala tindakan papa
selama ni.”
“ Sebenarnya, ada yang lain
lagi.”
“ Maksud Acik?”
“ Papa ada mulakan bisnes butik
untuk Adik. Tapi tak sempat tukar nama. Sementara ni, semua di bawah nama Acik.
Tapi papa dah pesan supaya Acik berikan pada Adik walaupun semua tu termasuk
dalam faraid bahagian Acik…”
April membulatkan mata. “ Butik?”
Dia teruja. Namun mukanya kembali redup kemudiannya. “ Tapi tak payahlah.
Itukan Acik punya…”
“ Acik tak kisahpun. Adik
terimalah. Nanti Adik mulakan hidup baru kat sana. Rumah dengan butik tu
dekat-dekat saja. Papa sudah plan semuanya untuk adik supaya adik dapat tinggal,
bekerja dan diwaktu yang sama… tunaikan amanat ibu adik tu.”
“ Amanat ibu?”
Acik mengangguk. “ Itu yang papa
cakap. Nanti adik akan tahu melalui catatan papa agaknya. Acik cuma
menyampaikan amanat.”
“ Adik tak tahu nak cakap apa.
Sejak bila papa plan? Kenapa Adik tak pernah tahu apa-apa?”
“ Hmm… dah 2 tahun tau! Itu idea dari mama sebelum dia meninggal.
Papa dan Acik laksanakan masa adik mula-mula daftar dekat kolej fesyen tu. Sebab
tu papa mahu adik ke oversea buat fesyen di sana, tapi adik tak mahu tinggalkan
rumah. Butik tu, Acik yang uruskan kebanyakan proses permulaan tu. Cantik!
Mesti adik suka.”
“ Acik yang manage butik tu?”
“ Oh! Buat sementara… papa employ pekerja kat situ. Kami cuma letak
baju ready made. So far… okey. Especially,
during festive season. Lepas ni, terserah Adik mahu bawa bisnes tu ke mana…
jangan jual baju Bollywood sudahlah!” Acik tersengih, cuba menceriakan April.
April senyum segaris. Cuma untuk
sebentar.
“ Adik okay ke?”
April angguk lagi. Kemudian
termenung… hatinya sudah kebas tanpa rasa. Tidak tahu yang mana perlu rasa
sedih dan yang mana perlu gembira.
“Acik…”
“ Hmm…”
“ Ibu Adik tu, macam mana
orangnya?”
“ Acik ingat-ingat lupa. Tapi…
dia baik. Cantik, putih dan lembut macam adik. Sebenarnya, rupa Adik memang
seiras dengan rupa arwah ibu adik tu. Copy
and paste version. Kalau tak silap, kata papa, ibu adik tu pun… suka
kemutkan hidung sebijik macam yang Adik selalu buat tu.”
April kemutkan hidung. Acik
ketawa.
“ Bapa Adik?”
Acik angkat bahu. Dia mengerutkan
mukanya.
“ Entah! Banyak perkara yang Acik tak tahu
tentang asal usul adik. Baik papa atau mama, tak pernah berbincang atau
bercerita dengan kami. Mungkin rahsianya ada dalam buku catatan papa? Acik
rasa, papa ada sebab kuat untuk merahsiakannya dan mahu ia kekal menjadi rahsia
walaupun selepas dia tiada.”
April menghela nafas dalam-dalam,
kemudian melepaskannya.
Dia mendongak merenung jaringan
dedahan pohon cemara yang merendang di atas kepala. Sehelai daun jatuh melayang
dan berayun-ayun ditiup angin petang.
“ Adik hairan…”
“ Apa yang dihairankan?” Soal
Acik, dia turut mendongak ke atas.
“ Kenapa Subang Jaya? Bisnes di
Subang Jaya, rumah jugak di Subang Jaya? Kenapa tak di Kelantan saja?”
Acik hanya mengangkat bahu lalu
berkalih. “ Mungkin di situlah sejarah adik bermula?” Balas Acik merenung tepat
ke wajahnya.
April melepaskan nafas berat.
Menggeleng kepala. “ Jom! Kita
balik saja.”
Dia bangun dan berjalan menghala
ke kereta. Tiba-tiba jiwanya rasa kosong. Fikiran juga kosong.
Zaman kanak-kanak sehingga
menginjak dewasa yang dilalui seperti terpadam tiba-tiba.
Dia kini perlu mencari kembali asal-usulnya.
Sekarang, USJ 4…
Gambar
itu diturunkan. Dia memandang wajahnya di cermin.
Lama dia berbuat begitu. Kenapalah dia tidak
pernah terfikir, yang dia tidak serupa langsung dengan mama? Matanya tiba-tiba
terasa panas dek air yang sudah mula bergenang. Dia menggeleng kepala, berkalih lalu kembali melabuhkan punggong di
atas katil.
Sampul surat warna coklat tua
terdampar di tengah-tengah muka surat pertama buku catatan papa. Ianya
dikepilkan bersama gambar tadi. Setelah sehari semalam, dia menguatkan hati
untuk membukanya dengan tangan yang terketar-ketar.
Tulisan tangan yang halus teratur
menyambut pandangan matanya…
25 Mac 1994
Assalamu’alaikum anakanda Nur Karmila,
Sekiranya anakanda membaca surat ini, bererti bonda sudah tiada lagi di
dunia ini. Namun bonda yakin, bonda tinggalkan anakanda di bawah jagaan orang
yang tepat.
Sudah tentu anakanda tertanya-tanya, siapa anakanda sebenarnya?
Sesungguhnya, amat payah untuk bonda menerangkan segalanya… namun bonda akan
cuba sebaik mungkin untuk memahamkan anakanda. Bonda cuma mahu anakanda tahu
dan sentiasa ingat, bonda tidak pernah menyesal mengandungkan anakanda dan
menggendong perut ini selama 9 bulan 10 hari. Oleh itu, anakanda juga
sepatutnya tidak menangisi nasib diri dan menyesali ketentuan ALLAH untuk kita.
Jangan tanya bonda siapa bapa anakanda, kerana bonda sendiri tidak
tahu. Pelik bukan? Tapi itulah yang sebenarnya terjadi. Anakanda adalah benih
yang bonda dapati akibat dirogol ketika sedang tidur di rumah majikan bonda, di
Teratak Nur Karmila. Bonda tidak nampak dan tidak jelas siapa pelakunya.
Walaupun jauh di sudut hati bonda dan di minda bonda tertera satu nama, namun
bonda tidak ingin menyatakannya kerana bimbang ketidakjelasan itu akan
mengundang fitnah yang berpanjangan.
Sampai ke ayat itu, April
berhenti. Dia cuba menahan tangis. Kesannya bahunya mula tersentap-sentap.
Airmata yang cuba ditahan, mengalir laju menuruni pipi.
Dia anak luar nikah! Dia anak perogol!
Dia anak yang tidak sah taraf! Hinanya dia. Kotornya dia. Terasa seperti mahu
lari ke hujung dunia. Dan dia akhirnya merintih dan meraung…
Bunyi pintu diketuk kedengaran dari
luar…
“ April! Kau okay ke?” Suara
Ti’ah bertanya dengan nada risau.
Diam.
“ April! Kau okay ke?” Soal Ti’ah
lagi. Jelas sekali dia risaukan April.
“ Aku okay… Biarkan aku sendiri!”
“ Okay! Kalau perlukan aku, kau
tahu mana nak cari…”
April menyeka airmata. Dalam
sedu, dia kembali meneliti surat tadi, lalu menyambung pembacaan…
Terlalu banyak perkara yang terjadi yang tak dapat bonda nyatakan di
sini kerana bonda tiada bukti. Namun yang pasti, ada tangan-tangan ghaib yang
telah menggoncang ketenangan Teratak Nur Karmila sehingga bonda dan beberapa
orang yang lain terpaksa meninggalkan Teratak Nur Karmila kerana bimbangkan
keselamatan anak-anak yang masih kecil.
Seutas rantai dan sebentuk cincin
diberikan sebagai bekal perbelanjaan jika kami terpisah. Ianya masih ada dalam
simpanan bonda. Tolong pulangkan kepada yang hak. Iaitu kepada Puan Nur Amelia.
Tolong rahsiakan identiti anakanda jika
terpaksa kembali ke Teratak Nur Karmila sehingga anakanda yakin ianya selamat. Berhati-hatilah
... semoga ALLAH melindungi anakanda.
Salam kasih sayang dan peluk cium dari bonda untuk anakanda. Ingat
pesan bonda! Jangan sesali takdir kita, kerana ALLAH tidak pernah akan
menzalimi hambanya. Jadilah anak yang
baik kepada Encik Abdul Rahman dan Puan Rohani kerana merekalah yang
menyelamatkan bonda…
Ikhlas,
Bondamu. Siti Nur Saleha.
Surat itu dihiasi oleh tompokan
dakwat kembang di beberapa tempat. Mungkin ibu menulis surat itu dalam keadaan
sedang menangis. Kasihan ibu! Suratan nasib kehidupan ibu, penuh dugaan.
Berbanding dia, walaupun status dirinya begitu, dia hidup dibelenggu kemewahan
dan dilimpahi kasih sayang papa dan mama. Maka selayaknyalah dia bersyukur dan
tidak menyesali takdir hidup.
Dia membuka buku catatan papa. Menyelak
halamannya satu persatu. Di dalamnya terdapat keratan akhbar dengan tarikh
lebih awal. Ia dilekatkan pada mukasurat berselang-seli dengan catatan papa.
Dia menahan sebak, memegang dadanya sebelum kembali menyelak helaian pertama. Tidak
seperti membaca surat dai ibunya, melihat tulisan papa sahaja, membuat dadanya sarat
dengan rindu terhadap papa.
Assalamu’alaikum
anakanda Nur Karmila…
Buah hati, pengarang jantung dan Intan Payung papa. Jangan menangis
jika membaca catatan papa kerana itu tandanya papa sudah kembali dijemput Yang
Esa. Jangan sangsikan kasih sayang kami, kerana anakanda adalah anugerah
terindah yang tidak ternilai harganya. Berlapang dadalah, kerana sesungguhnya
perancangan ALLAH adalah yang terbaik untuk kita.Semestinya ia mengandungi
hikmah yang tersendiri.
Semestinya saat membaca catatan ini, anakanda sudah mengetahui dan
mengerti mengapa dan kenapa semua ini terjadi…
Papa akan cuba menulis sekadar apa yang papa tahu untuk rujukan
anakanda di sini. Semoga ia akan memberikan sedikit pencerahan siapa diri
anakanda dan apa sebenarnya sejarah yang membawa kepada lahirnya April Nur
Karmila.
Maafkan papa dan mama atas segala kekurangan selama membesarkan
anakanda, hanya inilah yang terbaik yang mampu papa buat untuk anakanda.
Sayang selamanya,
Papa.
Dia mengesat airmata. Terasa
seperti papa sedang bercakap dengannya. Terbayang senyuman papa, wajah papa
yang sentiasa tenang dan usikan papa yang sentiasa menyerikan hidupnya. Dia
tidak pernah sangsikan kasih sayang papa dan mama. Tak pernah!
Setelah membelek beberapa tajuk pada keratan akhbar,
dia menutupnya kembali. Biarlah dulu. Dia perlu fasa bertenang untuk menyerap
setiap kejutan yang bakal mendatang. Apa yang dia tahu sebentar tadi, sudah
cukup untuk membuatkan jantungnya belum mahu berhenti berdetak dan hati menjadi
tidak keruan.
Ya! Hatinya sedang walang
sebenarnya.
1 comment:
sedihnya.. sbug lg
Post a Comment