Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Friday, October 24, 2014

NOMBOR 23 - BAB 6 ( babak 1 dan 2)


Utara Subang Jaya 4

APRIL menarik nafas dalam-dalam. Dengan perlahan dia bergerak menghampiri cermin meja solek. Gambar yang baru dikeluarkan dari lipatan surat tadi masih melekat di tangan. Dia meletakkan gambar itu pada cermin, meneliti lalu kemudiannya mendekatkan mukanya supaya dia benar-benar hampir.
Dia mengemutkan hidung dan memandang imej wajahnya dicermin.
Jari jemarinya bergerak perlahan. Meneliti dahinya yang sederhana luas. Keningnya yang  hitam lebat… tersusun seperti dilukis. Kata kawan-kawan, itu kening versi Bollywood. Agaknya… dia ada darah Bollywood di sebelah ibunya. Matanya bundar, nampak galak dengan alis yang lentik dan bersambung dengan hidung yang mancung terletak. Matanya tidak memerlukan khidmat bulu mata palsu untuk nampak lebih menawan… dia ada yang original. Sama saja bentuknya dengan yang ada di wajah ibunya. Tulang pipinya sedikit ketara. Manakala bibir berulas yang mudah tersenyum itu juga amat serupa bentuknya.
Betul kata Acik, dia memang ‘salin dan tampal’ wajah arwah ibu. Semuanya tentang mereka, memang serupa. Serta merta, kenangan beberapa minggu lepas kembali menjengok di minda…



Imbas kembali…
Sepuluh hari yang lalu, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Kediaman Datuk Abdul Rahman.

SUASANA di ruang tamu, di rumah Datuk Abdul Rahman menjadi sunyi tiba-tiba. Semua mata kini, tertumpu ke arah April. Dan yang lebih sunyi ketika itu, tentulah hati April sendiri. Semua nama sudah disebut. Semua orang sudah mendapat bahagian masing-masing. Hanya nama dia sahaja belum disebut langsung di dalam wasiat papa seperti yang dibaca oleh peguam keluarga, Tuan Haji Muhammad Iqbal.
April tertunduk memandang lantai. Lama dia terdiam begitu.
Dia malu mahu memandang wajah saudara-saudaranya yang lain. Along dan Kak Risha, pastinya tersenyum puas. Angah dan Kak Laila pula tentunya ketawa besar di belakangnya. Cuma Acik yang nampak simpati. Tak dapat dinafikan, ada rasa sedih yang teramat sangat sedang merajai hatinya ketika ini. Sedih kehilangan papa secara tiba-tiba pun masing belum dapat ditangani oleh hati. Kini… dia perlu melalui situasi yang begini pula. Bukanlah dia hadap sangat akan harta papa. Namun sebagai anak, sudah pasti dia tertanya-tanya… tidak sayangkah papa padanya selama ini? Apa salah dia apabila dinafikan hak sebagai anak? Di mana tempat dia di hati papa selama ini? Berlakonkah papa selama ini?
“ Kenapa nama Adik tak disebut langsung?” Acik tiba-tiba bersuara memecah kesunyian.
Tuan Haji Muhammad Iqbal berdehem.
“ Kau sendiri tahu sebabnya bukan?” Along mencelah.
“ Betul tu…” sampuk Angah.
April mengangkat muka. Dia memandang Along dan Angah. Ada tanda soal yang besar sedang bermain dalam kepalanya. Kata-kata yang Along tuturkan seperti ada rahsia tersirat yang dia sendiri tidak pernah tahu selama ini.
“ Apa yang semua orang sedang cakap ni, Adik tak faham? Along! Angah! Apa semuanya ni?” Airmata sudah gagal ditahan lagi.
Along pandang Angah, kemudian pandang Acik pula. Ketiga-tiga mereka berkalih serentak ke arah Tuan Haji Muhammad Iqbal.
 Tuan Haji Muhammad Iqbal tertunduk merenung lantai.
April pula semakin resah melihat semua ini. “ Kenapa Tuan Haji?”
Tuan Haji Muhammad Iqbal menggeleng kepala beberapa kali sebelum berdeham membetulkan suaranya. Mungkin juga sedang mententeramkan hatinya yang sedang bersimpati dengan keadaan April.
Uncle minta April bertenang, boleh?”
April angguk kepala. Degup jantungnya terasa semakin tidak teratur.
“ Baiklah! Apa yang akan uncle katakan nanti, mungkin sesuatu yang April tidak pernah sangka dan tak sanggup untuk mendengarnya. Namun Uncle mahu April kembali kepada ALLAH, menginsafi kekuasaan dan perancangan-Nya dan bersyukur dengan apa yang terjadi kepada April selama ini. Uncle mahu April tahu yang tak sesaat pun dalam hidup arwah papa dan mama April, berlalu tanpa menyayangi April. Dengan itu, April jangan pernah meragui kasih sayang papa dan mama. April faham?”
Tuan Muhammad Iqbal memandang tepat ke muka April.
April hanya mengangguk lemah. Dia jadi makin keliru sebenarnya. Memandang Tuan Haji Muhammad Iqbal yang sedang bersedia untuk menyambung tugasnya.
“ Segala pembahagian yang dibuat adalah mengikut hukum Faraid. Maka ianya tidak perlu diragui. Sebagai anak angkat… April tidak mempunyai hak dan tidak layak menerima harta papa April.”
April bangun tiba-tiba. Air mata yang dia cuba tahan, terjun lagi dengan laju.
 “ Uncle tipu! April anak mama, anak papa! Nama April, April Nur Karmila binti Abdul Rahman. Tak cukupkah itu membuktikan segalanya? April tak kisah kalau tak dapat harta papa, tapi jangan sampai ada yang pandai-pandai cakap April anak angkat. April tak boleh terima!” Dia mahu melangkah meninggalkan ruang itu. Namun tangan Acik dengan cepat menyambar pergelangan tangannya.
April berkalih. Matanya dan mata Acik, bertentang.
“ April! Dengar cakap Acik. Sepahit manapun kebenaran… belajarlah untuk menelannya. Demi ALLAH! Apa yang Tuan Haji cakap itu betul. Acik bukan bercakap sebab Acik mahukan bahagian yang banyak. Acik bercakap sebab ia hukum ALLAH. Ia juga amanah arwah papa yang ketiga-tiga kami sudah maklum mengenainya. Cuma Acik tak faham kenapa papa tak tinggalkan apa-apa untuk April.”
Kata-kata Acik buat April berhenti. Acik adalah abang yang sentiasa disanjungnya. Antara ketiga-tiga abang, Acik yang paling rapat dan sentiasa melindunginya. Maka apa yang keluar dari mulut Acik, memang tidak pernah disangsikannya.
April kembali menghenyakkan badannya di sofa. Menutup mukanya sambil menangis teresak-esak. Betulkah dia anak angkat?
Uncle belum habis cakap. Anak angkat hanya layak menerima hibah. Dan kerana sayangkan April, arwah papa sudah bersiap sedia sejak awal lagi.” Tuan Haji Muhammad Iqbal merenung April yang terpunduk di atas sofa. Apabila gagal mendapat respon dari April, dia melepaskan nafas berat… lalu kembali menyambung…
“ Okaylah! Uncle sambung bacaan wasiat ini… Dengan ini saya juga menyerahkan secara hibah, kepada anak angkat saya April Nur Karmila binti Abdul Rahman, sebuah rumah teres dua tingkat beralamat di No 14, USJ 4/2, Subang Jaya yang sudah saya namakan atas nama beliau. Selain dari itu, beliau juga bakal memiliki segala barang kemas milik arwah Datin Rohani bersama sejumlah wang yang sudah dikreditkan ke akaun atas nama beliau. Kereta yang dipandunya akan kekal menjadi miliknya.”
Tuan Haji Muhammad Iqbal berhenti sebentar, menjeling ke arah April. Tiada reaksi dari April.
“ Segala pemberian adalah muktamat dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Bersama peti simpanan deposit itu juga, saya sertakan catatan berupa diari dan surat dari ibu kandung kepada April Nur Karmila. Semoga segala persoalan akan terjawab selepas anakanda Nur Karmila membacanya. Dan saya juga memohon supaya rahsia status April Nur Karmila hanya akan diketahui di kalangan ahli keluarga sahaja tanpa dibocorkan kepada pihak luar. Anakanda April akan faham kenapa, selepas membaca catatan itu nanti.”
Tuan Haji Muhammad Iqbal berhenti di situ. Suasana menjadi sunyi semula. Yang kedengaran hanya esak tangis dari April.

Tangis yang sayu bunyinya.


2 comments:

eija said...

cian april.. sbug lg ye.. tq utk n3

Packy Sidique said...

Eija,
Terima kasih... minggu depan kita sambung bab 6 (3&4).

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU