Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Thursday, October 3, 2013

CERPEN - GANJARAN CINTA


TENGKU FARHAN menghempas punggung di kerusi empuk pejabatnya. Henyakan itu membuatkan tangannya yang masih terpasang anduh, sakit berdenyut. Kedengaran bunyi mengaduh keluar perlahan dari bibirnya. Mukanya berkerut. Kesakitan itu membuatkan keinginannya semakin kuat untuk mencari gadis yang telah menyelamatkan nyawanya dua minggu lepas.

Dia masih ingat gadis itu. Walaupun kecil molek, khudrat dan semangat gadis itu mengheret dia keluar dari kereta yang sedang terbakar, sangat mengkagumkan. Mereka hanya berselisih maut apabila berjaya keluar dan bergerak menjauh. Sekelip mata, satu letupan kuat kedengaran dari belakang yang mencampakkan mereka ke dalam longkang dan sekaligus menamatkan riwayat BMW kesayangannya.

Tompokan darah mengotori bajunya. Itu yang dia nampak sebaik mengagahkan diri bangun dari dalam longkang besar dengan kedudukan badannya menghempap badan gadis itu. Mujur longkang itu kering. Sangkanya itu luka yang dia alami sebelum tersedar yang lengan gadis itulah yang terluka dalam garisan yang memanjang seperti disiat pisau.

“ Tangan kamu… luka teruk.” 

“Mungkin terkena bingkai cermin tadi …” balas gadis itu.

Dan dia masih ingat wajah itu, mata itu dan lesung pipit yang dalam terbenam ketika gadis itu memaksa dirinya untuk tersenyum.

Hanya itu. Tanpa nama dan tanpa apa-apa yang membolehkan dia mencari gadis itu untuk menyatakan rasa terima kasihnya yang tak terhingga. Sedar-sedar, kelibat gadis itu hilang disaat ramainya manusia yang mengerumuni tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.

Bunyi pintu diketuk dari luar mematikan lamunannya.

“ Masuk!” Jerit Tengku Farhan. Selajur itu,, pembantu peribadinya, Ahmad Naufal melangkah masuk.

“ Dah jumpa apa-apa?” Soalnya

Ahmad Naufal menggeleng kepala. “ Kita sudah gunakan semua alat yang boleh, surat khabar, tv dan juga internet pages. Yang ada… cuma yang palsu seperti yang Tengku sedia maklum.”

“ Luka di lengannya perlukan jahitan. Itu aku pasti.”

      “ Kita juga sudah gunakan pengaruh orang kuat  Persatuan Perubatan Malaysia, meminta kerjasama ahli-ahlinya melapurkan kes yang seperti itu. Dan maaf lagi sekali. Setakat ini… tak ada maklum-balas, Tengku.”

Tengku Farhan melepaskan nafas berat. Kenapa gadis itu tidak mahu ke depan. Ganjaran sudah diumumkan. Bukan calang-calang angka yang bakal diberikan. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjanjikan ganjaran untuk sesiapa sahaja yang boleh memberikan maklumat. Namun hingga kini dia tetap hampa.

*****

“ DARLING! Pandanglah muka I,” rengek Tunku Putri Nur Zara.

Tengku Farhan berkalih, memandang wajah Zara dengan hati dibalut seribu rasa jelak. Perempuan ini sememangnya tidak mahu faham kedudukan mereka. Sudah berbuih mulutnya mengingatkan Zara apa yang sudah terjadi di antara mereka.

“ You tahu kan, I risaukan you. Tak payahlah you cari perempuan tu. Tak ada faedahnyapun.”

“ You lupa? Berapa kali I nak ingatkan you? Kita dah putus sebulan yang lalu. Sebelum I kemalangan lagi. Kenapa you tak mahu faham?” Jelak dengan Zara, dia mengambil ‘remote control’ lalu menghidupkan televisyen. Dia rimas apabila Zara hampir setiap hari menganggu dia di pejabat.

“ I masih sayangkan you.”

“ Selepas I terserempak dengan you bercium dengan Mat Salih kat dalam kereta? Dan you nak I tutup mata macam tu aje? No! It’s over Zara. O.V.E.R” Tengku Farhan mengeja perkataan ‘over’ itu dengan kuat.

“ I dengan dia tak ada apa-apa… Please!”

“ Tak ada apa-apa sampai boleh bercium mulut? Kalau ada apa-apa, mungkin you bawa dia sampai ke katil agaknya. Sudahlah! My decision is final. Terima ajerlah!”

“ I tak akan mengalah senang-senang tau! I akan pastikan kita kahwin jugak nanti.”

“ Terserah! You nampak tak pintu ofis I tu? Tolong keluar sekarang!”

Tunku Zara menghentak kaki sebelum berlalu menuju ke pintu.

Tengku Farhan menarik nafas lega selepas kelibat Zara hilang di sebalik pintu. Hilang segala keserabutan minda. Dan dia tiba-tiba sahaja terbayangkan wajah gadis manis berlesung pipit yang ditemuinya di lebuhraya.

Di manakah gadis itu sebenarnya?


*****

TENGKU FARHAN memandang wanita separuh abad yang sedang resah di hadapannya. Wanita itu menundukkan kepala setiap kali dia cuba merenung ke dalam matanya. Dia tidak suka orang yang takut untuk beradu pandangan. Bagi dia… aksi begitu menunjukkan yang orang itu selalunya tidak boleh dipercayai.

“ Kamu pasti?”

“ Saya, Tengku. Saya nampak parut pada lengannya.”

“ Dia beritahu kamu bagaimana dia dapat parut tu?”

“ Tak! Saya tak tanya dia, saya tanya rakan sekerjanya. Dari situlah saya tahu, dia  kemalangan sekitar waktu yang sama dengan Tengku.”

“ Bagaimana rupa orangnya? Boleh kamu gambarkan?”

Wanita itu menelan air liur. “ Boleh Tengku. Ehm… orangnya kecil. Pakai tudung, mukanya bujur sireh, bermata bundar dengan alis lentik. Ada lesung pipit dalam terbenam di kedua-dua belah pipi. Dia..”

Stop! Di mana kamu jumpa dia. Boleh berikan alamatnya?”

*****

“ INI SEMUA gambar-gambar Azzahra yang berjaya kami rakam. Ini pula KafĂ© Buku, perniagaan yang dia kongsi dengan rakan baiknya.” Ahmad Naufal menunjukkan imej yang berjaya dirakam dan sudah dimuatnaik di dalam komputer.

Tengku Farhan mengangguk. Akhirnya pencariannya berakhir juga. Dia merenung sekeping gambar wajah Azzahra dari jarak dekat. Tidak salah lagi. Itulah orang dicarinya selama beberapa bulan ini.

“ Dia sudah berkahwin?”

“ Masih bujang. Berumur 30 tahun.”

“ Hairan! Apa yang menghalang dia dari datang ke depan dan menerima ganjaran.”

“ Saya juga hairan. Untuk pengetahuan Tengku, dia nyaris diisytihar muflis sebelum berjaya menjual perniagaan butik miliknya. Berderet-deret hutang bank yang ditanggungnya. Sewaktu Tengku mengumumkan ganjaran… dia sedang bergelut dengan bebanan hutang. Rasanya, dia boleh sahaja muncul dan mengambil kesempatan.”

“ Hmm… pelik. Ada juga orang yang tak mahukan duit?”

“ Ya, ada. Namanya Azzahra Azimuddin.”

“ Kalau begitu, saya mahu jumpa dia personally.”

*****

RALIT TENGKU FARHAN memerhatikan Azzahra yang hanya menundukkan muka di hadapannya. Tidak salah lagi, inilah orang yang dia cari selama ini. Masih jelas betapa terkejutnya Azzahra sewaktu menerima kunjungan darinya tadi. Ternyata selama ini, Azzahra memang tahu dan sedar yang dia sedang dijejaki.

“ Puas saya cari awak. Kenapa awak sembunyikan diri?”

Azzahra tersenyum. Jelas sekali lesung pipit itu. “ Saya tak pernah sembunyikan diri. Saya sekadar tak mahukan ganjaran yang Tengku janjikan.”

“ Saya hanya mahu membalas budi awak… kalau tidak kerana awak…”

“ Bukan! Bukan kerana saya. Kerana ALLAH. Dia yang menyelamatkan Tengku dengan membuatkan saya berada di tempat yang betul, di masa yang tepat dan melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Jadi rasanya, tak adalah besar sangat budi saya pada Tengku, kan?”

Tengku Farhan sebenarnya terkejut dengan tindakan Azzahra memintas percakapannya. Tidak ada orang yang berani melakukan begitu selama ini. Dia kagum. Orang sekecil itu, punya keberanian yang sangat besar.

“ Hmm… interesting! Ya, saya harus akui, apa yang kamu katakan itu benar. Namun saya masih merasakan yang kamu patut diberi ganjaran. Kamu menggadai keselamatan kamu untuk menyelamatkan nyawa saya. Bagi saya, ia sangat besar dan tidak boleh dipandang remeh.” Dia berhenti menghela nafas.

“ Kamu ada masalah kewangan kan?”

Azzahra terpempan. Dia menelan air liur. “Maaf, itu masalah saya. Tengku tak berhak untuk tahu.”

 “Ini ada sekeping cek kosong, tulislah berapa kamu suka.”

Selepas meletakkan cek kosong di atas meja, dia bangun lalu keluar dari Kafe Buku milik Azzahra. Hairan, dengan perniagaan kecil dan daif begini, Azzahra masih sombong mahu menerima pemberiannya. Dia mahu tunggu dan lihat, berapa nilai yang Azzahra akan isikan di slot yang kosong pada cek tersebut. Itu tidak merisaukan dia kerana dia yakin, Azzahra yang selama ini mengelak  untuk diberi ganjaran sudah tentu bukan seorang yang suka mengambil kesempatan.

“ Tengku!” Panggil Azzahra.

“ Ya,” balasnya, berkalih sambil mengangkat kening sebelah.

“ Bagaimana kalau saya isikan sejuta?”

“ As you wish!”

Dan dia terus berlalu meninggalkan Azzahra tanpa mahu melihat riak di wajahnya.

*****

“ KENAPA BELUM tunaikan cek itu?” Soal Tengku Farhan memandang Azzahra yang seperti selalu, akan sentiasa menjaga pandangannya dengan menundukkan kepala. Jarang sekali dia mahu bertentang mata. Kecuali jika dia dalam keadaan sedang marah. Azzahra masih diam. Air Apple Asam Boi di hadapannya ditenguk perlahan.

Ya. Sudah hampir sebulan dan cek kosong yang dia berikan, belum lagi ditunaikan.

“ Saya sudah cakap… saya tak perlukan duit tu.”

“ Saya tak kisah, tulislah kalau kamu mahu sejuta pun! Kamu ingat saya tak ada duit?”

“ Saya tahu Tengku orang kaya. Tapi saya tak mahu. Tengku tak faham ke? Saya rimas bila Tengku asyik datang ke sini dan tanyakan soalan yang sama. Cukuplah sekadar ucapan terima kasih. Saya lebih rasa berbaloi dengan apa yang saya buat.”

Tengku Farhan menggeleng. Kalau Azzahra tegas, dia juga mahu bertegas. Dia mula sukakan kedegilan dan ketegasan Azzahra. Sesungguhnya, dalam jangkamasa sebulan berulang-alik kemari, dia sudah mula sukakan segala-galanya tentang Azzahra.

“ Selagi kamu tidak mahu menerima apa-apa ganjaran berbentuk wang atau sumbangan, selagi itu saya akan datang mengganggu kamu. Pilihan di tangan kamu.”

Azzahra mengeluh. Dia menjatuhkan bahu sambil menjulingkan mata merenung siling. Tengku Farhan sukakan aksi itu. Azzahra nampak comel sungguh.

“ Baiklah. Saya mengalah. Saya sudah banyak berfikir kebelakangan ini. Kita melihat situasi ini dengan pandangan yang berbeza. Saya akur. Saya tahu, Tengku tahu keadaan saya yang dibebani hutang. Sebab itulah Tengku bersungguh mahu saya menerima wang dari Tengku. Saya boleh saya minta itu ini, minta rumah, minta kereta, atau tulis saja nilai satu juta dalam cek kosong tu. Tapi saya tak mahu lari dari prinsip hidup saya dan jadi orang lain.” Dia berhenti sebentar, menghela nafas.

“ Where do all these lead us to?”

“  Tunggu… I’m getting there. Saya ada satu permintaan, dan saya mahu Tengku berjanji, kalau saya minta yang ini, kita kira kita seri. Tengku tak ada hutang apa-apa dengan saya. Apa yang saya akan minta nanti nilainya lebih dari segala hutang piutang, rumah kereta atau apa sahaja yang ada di dunia ini. Dan kalau Tengku bersetuju untuk tunaikan permintaan saya yang ini, sayalah orang yang paling bahagia.”

Tengku Farhan mengangkat kening. Terkejut kerana akhirnya, Azzahra mengalah. Kalau apa yang dia mahu melebihi segala… adakah ia melebihi nilai sejuta? Takkanlah dia mahu minta sebanyak itu?

“ Baiklah! Saya setuju.”

“ Okay. Janji lepas ni, kita seri?”

“ Ya! Kita seri. So, apa kamu mahu sebenarnya?”

Azzahra tersenyum. Matanya bercahaya. Tidak pernah Tengku Farhan melihat mata Azzahra bersinar cantik seperti itu. Sudah pastilah apa yang bakal dimintanya sangat-sangat bermakna untuk dirinya.

“ Saya mahu ke Mekah. Mahu melaksanakan umrah.” Azzahra berhenti tiba-tiba. Suaranya sebak. Matanya berair.  

Tengku Farhan membeliakkan matanya. Tersilap dengarkah dia? Nak pergi umrah? Berapa ribulah sangat? Dia tahu dia tidak boleh mempertikaikan pilihan Azzahra. Maka dia akan pastikan Azzahra mendapat pakej yang mewah dan terbaik.

“ Kalau macam tu, saya akan aturkan pakej yang terbaik untuk kamu.”

“ Tak perlu. Saya cuma perlukan pakej sederhana yang bersesuaian dengan kesederhanaan hidup saya.”
 
Azzahra bangun, melangkah ke kaunter berdekatan. Apabila dia kembali, dia mengeluarkan beberapa helai kertas dari sampul surat.“ Sebenarnya, saya sudahpun membuat pengesahan dengan Medina Travels. Saya sudahpun membuat bayaran dan mendapat tarikh yang sesuai. Maka kerana Tengku berkeras mahu saya menerima ucapan terima kasih Tengku dengan cara menerima ganjaran dari Tengku, sudilah kiranya Tengku menaja pemergian saya dengan bayaran sebanyak RM 7000.00.”

“ Itu saja?”

“ Ya. Itu sahaja. Remember? Kita seri?”

Tengku Farhan tiada pilihan. Sekadar mengangguk perlahan.

*****

“ DIA BIJAK!” Ucap Tengku Farhan ketika Ahmad Naufal melangkah masuk ke dalam kereta lalu mengambil tempat duduk di sebelahnya.

Ahmad Naufal mengangguk.

“ Dia bijak, cantik, educated, sederhana dan…” Tengku Farhan berhenti tiba-tiba.

Ahmad Naufal angkat kening, isyarat bertanya.

“ Dia sudah mencuri hati saya…”

Ahmad Naufal ketawa kecil. “ Wanita begitu sukar ditemui. Kalau saya, saya tak akan lepaskan dia macam itu aje.”

Tengku Farhan melepaskan nafas berat. “ Dia wanita yang sukar didekati dan difahami. Dia memilih ganjaran yang kecil berbanding ganjaran besar yang saya mahu beri. And of all the places, dia pilih ke Mekah?”

“ Mekah itu impian setiap umat Islam. Mungkin sekarang Tengku terpaksa menerima pilihan dia, tetapi di masa hadapan… mungkin Tengku boleh memberikan ganjaran yang lebih besar setelah Tengku mengenali dia dan memahami kenapa dia memilih apa yang dia pilih hari ini. Ganjaran yang sudah tentu lebih besar maknanya.”

“ Maksud kamu?” Tengku Farhan mengerutkan muka.

“ Ganjaran cinta.” Ahmad Naufal ketawa.

Mata Tengku Farhan bersinar mendengar cadangan Ahmad Naufal.


“ Brilliant!” Ungkapnya sambil ketawa gembira.

4 comments:

Anonymous said...

NICE.....N I LIKE

Unknown said...

Brilliant!

Tengkubutang said...

Haiii.. cakkk...
Done follow sini no. 88,
Jom follow me back.. salam kenal.. heee..

http://tengkubutang.blogspot.com/

n my 2nd blog
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

Unknown said...

X de smbungan ke

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU