Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Thursday, August 1, 2013

NADIA

Cerpen sempena raya. Sekadar hiburan. Mohon maaf andai ada kesilapan di pihak saya sepanjang bersiaran.Selamat Hari Raya, Maaf, Zahir dan Batin.




DUAN MENGELUH. Matanya dibawa memerhati deretan kaunter menjual tiket bas di Puduraya. Rasa mahu marah dengan diri sendiri, mahu aje hantukkan kepala ke salah satu tiang yang ada di situ. Tapi nak buat macam mana, benda sudah jadi. Dia buat muka sepuluh sen memandang Fendi yang sedang menggaru kepala.

Entah kenapa, dalam banyak-banyak perkara penting yang Duan perlu ingat menjelang raya, dia terlupa tentang yang satu ini. Lagi lima hari! Mana nak cari ni? Duan garu kepala lalu duduk berteleku di kerusi menunggu yang hampir tercabut sandarnya.

“ Itulah kau! Sebelum aku pergi kursus haritu, kan aku dah ingatkan kau!” Fendi yang berdiri di sebelahnya tiba-tiba memulangkan ‘paku buah keras’.

“ Ya lah, aku mengaku, aku silap. Aku terlupa. Asyik frust sebab Endon yang aku minat, sudah kena kebas dengan si Zubir budak Pahang tu, buat aku lupa semua benda. Macam mana aku nak balik kampong ni?”

“ Ulat tiket tak ada spare ke?”

“ Aku tak berani. Karang bukan saja tak sampai, bas langsung tak ada. Free ajer aku sedekahkan kat dia orang. Baik aku bagi anak yatim.”

“ Pulak!”


KAU BELI banyak-banyak macam ni? Macam mana nak bawa balik?” Soal Awe teman serumah yang asalnya dari Kelantan. Belum sempat Duan menjawab, awe tiba-tiba ketawa menekan perut.

Duan hanya menahan geram. Kalau tak kenangkan yang Awe sudah setuju mahu pinjamkan motor untuk dia balik ke kampung, tentu dia sudah debik buang dua tiga das. Boleh gelakkan orang, sampai terguling-guling di atas lantai. Fendi yang sedang merokok di sebelahnya, hanya tersengih melihat gelagat Awe.

 “ Kau ingat baju raya mak dan adik-adik kau. Kau ingat nak beli kueh raya segala… yang kau tak ingat nak beli tiket tu, apa kes sebenarnya?” Soal Awe sambil ketawa lagi.

Duan julingkan mata. Terpaksalah dia menahan telinga.

“ Mana tak lupa, Endon yang dia angaukan tu, dah sah jadi makwe si Zubir budak ofis dia tu. Haa… melayan hati lara, sampai lupa beli tiket bas.” Fendi menyampuk. Sukarela aje mahu jadi wartawan tak berbayar.

“ Kisahnya… tu lah! Lain kali kalau sukakan seseorang, make a move! Jangan dok angau dari jauh jer. Endon tu, bukannya dia tahupun kau sukakan dia!” Awe sudah keluarkan petua cinta yang sememangnya penuh di dadanya.

“ Aku tahu. Salah aku. Tapi, kau serius ke nak pinjamkan aku motor kau tu?”

“ Ambillah. Aku balik dengan abang aku. Tapi janji dengan aku, kau jaga dia baik-baik tau. Satu calar, aku cas lima puluh ringgit. Tau!”

“ Mak ai! Mahalnya. Kopak aku nanti.”

“ Kau nak ke tak?”

“ Mestilah nak. Jangan risau! Aku bawa pelan-pelan. Sampai jer kat kampong tu, terus aku selimutkan dia bawah rumah. Aku lebih rela beraya pakai kaki daripada menambah calar kat motor kau ni.”

“ Haa… tau takper!” Awe tersengih panjang sebelum dia tiba-tiba buat muka hairan.

“ Bab balik kampong dah settle. Tapi, takkan kau nak usung barang-barang ni naik motor aku tu?”

“ Yang itupun dah settle. Aku tolong dia. Kami kan, selalu balik raya bersama. Tahun ni aje dia tak dapat cuti awal. Aku balik awal dua hari dari dia… jadi aku tolong deliver kat rumah dia. Ada la peluang aku bertentang mata dengan adik dia yang macam Wawa Zainal tu. Aku ni rela berkorban demi abang ipar aku ni.” Fendi yang asyik tersengih dari tadi, mencelah.

Amboi! Ada hati mahu jadi adik ipar dia pula. Buah hati yang Fendi selalu usung naik kereta tu, mahu letak di mana? Duan tunjuk penumbuk sebiji, membuatkan Fendi dan Awe gelak besar macam orang lupa dunia.



MALAM INI MALAM RAYA. Lebuhraya Utara Selatan sudah tidak sesibuk hari-hari  sebelum raya, Duan menyusur bahagian tepi lebuhraya dengan kelajuan yang sederhana. Menunggang motosikal pinjam-pinjaman begini, kenalah lebih berhati-hati. Hujan yang sejak tadi sekadar rintik-rintik halus, kini sudah beransur lebat. Segera dia membelok ke arah hentian kecil untuk penunggang motosikal yang dibina di sisi lebuhraya. Kebetulan sungguh, Ia seperti wujud tepat sahaja pada waktunya. Dia memberhentikan motosikalnya lalu berlari mencari perlindungan di bawah binaan berbumbung. Hairan! Kenapalah motosikal yang lain hanya meneruskan perjalanan. Kalis air agaknya badan mereka itu.

 Duan melabuhkan punggong. Mengeluh. Sepatutnya, dia sudah berada di rumah dan menolong emak membuat persiapan hari raya. Dia abang yang sulung dan satu-satunya lelaki di dalam keluarga sejak ayah pergi meninggalkan mereka. Selalunya kerja-kerja berat dan yang perlu panjat-memanjat, dialah yang akan lakukan. Entah macam manalah emak dengan Angah lakukan tanpa dia. Sebak pula rasa di hati.

Sedih itu, memanglah tidak dapat dinafikan, tetapi dia bersyukur sangat-sangat kerana masih dapat pulang ke kampong walaupun di saat-saat akhir. Itulah gunanya kawan-kawan dan dia memang sangat bertuah mempunyai sahabat merangkap rakan serumah yang sedia menghulurkan pertolongan seperti Fendi dan Awe.

Cahaya lampu dari sebuah motosikal membelok masuk ke arahnya membuat dia merasa lega. Sekurang-kurangnya, ada juga teman mahu di bawa berbual sementara menunggu hujan berhenti.

Sebaik menghampirinya, penunggang itu menanggalkan topi keledar berpenutup penuh. Hampir tersentak Duan apabila rambut panjang mengurai, jatuh melepasi bahu pemakainya. Saat topi keledar di tarik ke kiri, uraian rambut turut jatuh berayun ke kanan. Saling tak tumpah seperti iklan syampo yang selalu dia tonton di televisyen.

Perempuan rupanya. Dan, perempuan itu menghadiahkan senyuman yang sangat manis untuk dia.

Cantik! Duan terkesima. Wajahnya bujur sirih dan putih bersih. Setiap kali dia tersenyum, terserlah lesung pipit terbenam di pipi kanannya.

“ Boleh tumpang berteduh?”

Gulp! Duan menelan air liur. Merdunya suara!

“ Bo.. boleh. Ini harta kerajaan. Bukan harta saya.”

“ Terima kasih.” Perempuan itu menyapu seluarnya yang basah separuh. “ Dah lama berhenti?”

“ Baru aje. Beraninya awak balik kampong naik motor malam-malam macam ni. Tak takut ke?”

“ Takut juga. Tapi saya terpaksa. Tiket bas dah habis.”

“ Senasiblah dengan saya.” Duan ketawa kecil. Matanya menangkap imej seurat gelang emas di tangan kanan perempuan itu. Beraninya! Sudahlah pulang beraya naik motosikal bersaorangan, siap tayang gelang emas besar pula di tangan. Memang mengundang bahaya betullah. Sudahlah tuan badan pun cantik yang amat!

“ Gelang tu, kenapa tak simpan aje dalam beg. Bahaya.”

“ Oh! Ini gelang untuk mak saya. Nak simpan takut ada orang curi beg saya. Sudahnya, saya pakai di tangan. Tak apa, saya lindung dengan sweater.”

Duan geleng kepala. “ Masih bahaya. Kalau saya, saya simpan dalam beg atau kocek.”

Perempuan itu hanya tersenyum. “Terima kasih, saya ikut nasihat awak,” balasnya sambil mengeluarkan gelang dari tangan lalu memasukkannya ke dalam bekas khas yang dia keluarkan dari dalam beg.

“ Puas hati?” Soalnya sebaik semua selesai. Duan mengangguk sambil ketawa.

Mereka mula berbual tentang banyak perkara. Perempuan itu memperkenalkan dirinya sebagai Nadia. Cantik namanya… secantik orangnya. Rupanya dia staf di UITM Shah Alam. Orang Kepala Batas.

“ Saya orang Sungai Petani. Selalu juga pi Kepala Batas tu. Rumah kawan saya dekat Taman Bertam Permai.

“ Eh! Ye ke? Rumah saya dekat aje dengan Bertam Permai. Kalau awak selalu ke sana, awak perasan tak rumah kampong berbumbung biru sebelah surau baru buat tu? Dekat dengan Char Koew Teow Terowong tu?”

Duan mengangguk. Manakan  tidak perasan. Dia selalu lepak dengan Pizi dekat gerai char koew teow itulah.

“ Tu lah rumah saya. Lain kali, kalau awak lalu situ, singgah tau! Ceh! Macamlah saya ada kalau awak singgah pun, kan!” Nadia tersengih. Lesung pipitnya ketara lagi.

Duan tersengih. Entah kenapa, dia terasa seperti jatuh cinta berkali-kali hanya untuk malam itu saja. Nama Endon tiba-tiba hilang dari ingatan. Sejak pertama kali memandang Nadia tadi, entah berapa kali hatinya cedera dipanah kilat asmara. Segala yang ada tentang Nadia semuanya menarik hatinya. Bagus juga kalau pertemuan ini boleh dipanjangkan menjadi persahabatan. Untung-untung, boleh pula berkongsi hidup suatu hari nanti.

“ Berangan sampai ke mana?” Duan terkejut dengan soalan Nadia yang tiba-tiba.

“ Oh! Maaf. Saya tengah fikir. Apa salahnya, kalau senang-senang, saya singgah rumah awak. Kalau awak tak ada, saya kenalkanlah diri dengan mak awak. Mungkin boleh kenalkan diri sebagai kawan lelaki awak?” Duan kenyit mata, Perkataan lelaki itu, dia iringi dengan membuat koma dengan jari. Kali ini, dia tidak mahu simpan perasaan lagi. Ilmu yang Awe perturunkan, dia mahu gunakan tanpa was-was.

“ Nadia tersenyum malu. Muka berubah sedih tiba-tiba. “ Kalaulah saya berjumpa awak lebih awal…”

“ Awak dah ada yang punya ke? Maaflah! Saya terlebih bergurau.”

“ Tak apa. Saya ngantuk la. Hujan pun, macam tak ada tanda mahu berhenti. Saya nak lelapkan mata sekejap.” Sehabis ayat itu, Nadia sandarkan kepala di tiang dan terus lelapkan mata. Soalan Duan yang terakhir itu, dibiarkan tidak berjawab.

Melihat Nadia mula melelapkan mata, Duan turut melakukan perkara yang sama. Entah bila dia betul-betul terlelap dia sendiri tidak pasti.

Apabila dia tersedar. Hujan sudah berhenti. Kelibat Nadia sudah tiada. Segera dia kemaskan barang-barangnya dan bergerak menghampiri motosikal Awe. Dia tiba-tiba tersepak sesuatu lalu tunduk melihat.

Bekas gelang kepunyaan Nadia. Dia membukanya. Sah! Gelang emas berkerawang yang Nadia pakai tadi masih ada di dalamnya. Dia tersenyum. Mengetuk-ngetuk bekas itu di tangan. Nampaknya, pertemuan dengan Nadia tidak sampai di situ sahaja. Kini dia ada sebab kuat untuk bertamu ke rumah Nadia di hari raya nanti.



“ KAU PASTI KE RUMAH INI?” Soal Pizi dengan muka takut-takut.

“ Pasti! Dia cakap, rumah bumbung biru, tepi surau.”

“ Hisy! Aku seganlah. Rumah ni, kalau hari raya, sentiasa ramai orang. Kereta besar-besar. Kata kawan aku yang memang asal orang sini. Anak tuan rumah ni, kerjanya besar-besar.”

“ Nadia tu, staf kat UITM jer.”

“ Kau taknak fikir dua kali ke. Nak pergi gadai ke gelang tu…” usik Pizi sambil tersengih macam kerang busuk.

“ Banyaklah kau punya gadai. Mak aku yang minta aku hantar jugak-jugak hari ni. Barang orang, tak baik simpan lama-lama katanya.”

“ Ye lah! Berilah salam!” Pizi tolak Duan ke depan.

Duan beranikan diri memberi salam. Selepas dua kali, seorang gadis muncul. Ada mirip Nadia, tetapi nampak lebih muda. Mungkin adik Nadia barangkali.

“ Wa’alaikum salam. Jemputlah masuk! Nak cari siapa ya?”

“ Nak jumpa Nadia. Kami kawan Nadia.”

Ayat itu, buat muka gadis tu berubah. “ Erk! Duduklah dulu. Saya panggilkan mak sekejap.” Gadis itu menghilang di sebalik tirai berwarna merah hati.

“ Aku nak jumpa Nadia, bukan emak Nadia. Kau dengar tak? Dia kata nak panggilkan emak?” Duan kemut-kemutkan hidung.

“ Alah tak apa. Anggap aje kau tu nak jumpa bakal mak mertua. Masa kau bercerita tentang Nadia semalam, sampai perancangan nak pinang dia kalau dia masih solo. Ni kira peluanglah ni. Kau sendiri cakap yang kau tak mahu simpan rasa macam dulu, senang cerita… kau bagi tahu mak dia terus yang kau serius dengan anak dia. Kau…” ayat panjang lebar Pizi itu, terhenti apabila seorang perempuan tua muncul.

Duan dan Pizi bangun berdiri. Menundukkan badan sedikit, tanda hormat. Ibu Nadia melabuhkan punggung di sofa bertentangan. Gadis yang mirip Nadia masih berdiri di sisi sofa tersebut.

“ Katanya, anak ni… kawan Nadia?” Tanya Ibu Nadia kepada Pizi.

Pizi geleng kepala. “ Bukan saya makcik. Kawan saya ni… dia yang kenal Nadia.”

“ Dah berapa lama kenal Nadia?”

“ Dua hari lepas saja makcik. Maaflah… macam tak ada adat saya ni. Baru kenal, dah berkunjung ke rumah orang. Tapi, saya cuma nak pulangkan barang dia yang tertinggal semasa kami sama-sama berhenti di lebuhraya malam raya baru ni.” Duan keluarkan bekas gelang dari dalam beg sandangnya lalu menghulurkan kepada Ibu Nadia.

Terketar-ketar tangan Ibu Nadia menyambutnya. Dia tiba-tiba menangis. Dia serahkan bekas itu kepada adik Nadia yang kini sudah duduk di sofa bersebelahan. Kotak itu dibuka perlahan… lalu dia mengangguk perlahan apabila melihat isinya.

“ Sama… sama macam gambar yang kakak BBM pada adik.” Airmata turun dari matanya macam air terjun.

“ Ambilkan fail kat dalam bilik mak,”

Adik Nadia bangun lalu menghilang di sebalik tirai warna merah hati lagi sekali.

“ Semasa berjumpa Nadia, boleh terangkan dia macam mana?”

Soalan itu kedengaran pelik. Namun Duan tetap menjawab sambil tersenyum. Segala pemerhatiannya tentang Nadia dan apa yang mereka bualkan, semuanya diceritakan kepada ibu Nadia.

Ibu Nadia melepaskan nafas berat. Fail yang dibawa keluar seperti yang diarahkan, kini berada di tangan ibu Nadia.

“ Ridzuan. Makcik mahu Ridzuan baca apa yang ada di dalam fail ni. Sebelum tu, makcik nak minta Ridzuan istighfar banyak-banyak. Makcik percaya, segala yang terjadi, adalah dengan keizinan dari Yang Maha Esa.”

Fail bertukar tangan. Dengan lafaz biamillah, Duan membuka fail itu dengan tangan terketar-ketar. Pizi mengendeng di sebelahnya. Keratan akhbar bertarikh tiga tahun lepas menyambut pandangannya. Tajuk yang tertera di atasnya membuatkan dadanya berdebar laju;

'Tragedi raya. Kontena hilang kawalan. Gadis sedang berteduh maut dilanggar'

Duan terus membaca walaupun dia sebenar sudah dapat mengagak apa isi berita seterusnya. Nama Nadia disebut beberapa kali di situ. Dia menyelak beberapa helaian seterusnya lalu membaca berita yang hampir sama. Sesekali dia dan Pizi berpandangan.

Dia akhirnya melepaskan nafas berat sebelum mengangkat muka. Matanya bertentang dengan ibu Nadia.

“ Susah saya nak percaya. Segalanya masih jelas. Kami berbual…” Duan gagal menghabiskan ayat. Terus menggeleng kepala.

“ Dia meninggal serta-merta di tempat kejadian. Gelang tu… dia belikan untuk mak. Dia ada BBM saya imejnya. Itu janji dia untuk hadiah hari lahir mak. Kami cuba juga mencari di sekitar tempat kemalangan. Tapi tak berjumpa. Kami anggap bukan rezeki. Tak sangka… ia akhirnya kembali kepada yang hak.” Adik Nadia mengulas. Dia mengenggam tangan ibunya.

“ Terima kasih atas sifat amanah Ridzuan. Makcik yakin Ridzuan lelaki yang baik. Bertuahlah sesiapa sahaja yang bertemu jodoh dengan Ridzuan.” Kata-kata Ibu Nadia, membuatkan Duan menggaru kepala.

“ Dia sebenarnya, sudah jatuh cinta dengan anak makcik malam tu…” Pizi tiba-tiba mencelah.

Gulp! Duan telan air liur. Dia jegilkan mata ke arah Pizi yang sedang pura-pura memandang siling rumah.

“ Nadia anak yang baik. Anak yang cantik. Ramai yang sudah jatuh hati padanya. Cuma umurnya sahaja yang tak panjang. Makcik bertuah! Walau Nadia sudah tiada, makcik masih ada Natasya. Dia juga anak yang baik. Anak yang cantik macam kakaknya.” Ucap ibu Nadia penuh yakin.

Duan beranikan diri memandang ke arah Natasya. Pandangan mereka bertemu. Duan tersenyum segaris. Natasya membalas dengan senyuman berhias lesung pipit di pipi kanannya. Terasa seperti Nadia sedang tersenyum kepadanya.



Cantiknya hantu yang kau jumpa tu!” Itu komen Awe sebaik sahaja Duan habis bercerita.

“ Kenapa? Kau nak jumpa juga ke?” Duan menduga.

“ Hisy! Tak mahulah aku. Lagipun aku tak balik jalan tu. Kau kasi kat Fendi ajelah. Itu jalan korang berdua,”

Fendi ketawa mendengar jawapan Awe.

“ Nak tahu? Hentian motosikal tu sebenarnya, tak pernah dibina semula selepas kejadian tu. Yang aku nampak malam tu, sekadar permainan makhluk halus.” Duan menyambung ceritanya. Tersengih sebentar melihat Awe dengan aksi merindingnya.

“ Seram pulak aku dengar.”

“ Dan lagi satu, bila aku google, sebenarnya… dah ramai yang kena macam aku ni. Cumanya… kebanyakannya cuba mengambil kesempatan. Ada yang cuba mencuri gelang tu ketika Nadia tidur. Ada yang cuba buat tak senonoh padanya. Kesudahan yang itu, mereka memang kena usik kaw-kaw punya. Mujur aku ni lelaki budiman,” gurau Duan tersengih memandang kedua sahabatnya.

“ Kau memberi dan menerima sebenarnya,” celah Fendi.

“ Kenapa kau kata macam tu?”

“ Kau tolong Nadia pulangkan gelang mak dia. Dia pulak bawa kau berjumpa adik dia. Tak gitu? Wallahhua'lam.”

“ Shasha? Masih terlalu awallah.”

“ Awal konon! Kalau terlepas karang… aku takut tahun depan, kau terlupa beli tiket lagi. Tak tahulah masa tu kau nak jumpa siapa,” komen Fendi.

Duan ketawa. Gurau Fendi itu, ada benarnya.



1 comment:

MizaEija said...

Heee...saya agak mesti ade misteri lagi seram.. betul rupanya.. =)

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU