Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Wednesday, September 26, 2012

CCPC - BAB 1

KEK CAWAN, FARMASI CHINTA



GADIS MANIS DENGAN RAMBUT BEROMBAK MELEPASI BAHU dan diwarnakan mengikut trend terkini itu sedang asyik memandang ke arah kedai di seberang jalan. Dia  menghirup perlahan air Nescafe panas kurang manis hingga ke dasarnya. Pinggan berisi roti canai bersama kuah kari ikan di hadapannya sudah kosong. Semuanya sudah selamat mendarat di dalam perutnya sebentar tadi sewaktu bersarapan bersama sahabat baiknya Mawar. Mawar kini, sudahpun menyeberang jalan ke premis bertentangan. Premis dengan papan iklan bertulis, ‘FARMASI CHINTA’, bersebelahan dengan premis ‘ QASEH CUPCAKES AND DELI’.
Chinta!”
Dia terperanjat lalu berkalih. Seorang lelaki warga Bangladesh sedang tersenyum memandangnya sambil kepalanya digerakkan ke kiri dan kanan, ke atas dan ke bawah. Perkerja kedai Mamak Maideen ini memang gemar mengusiknya… malah hampir setiap pagi jika dia bersarapan di situ.
Mau apa!” Soalnya. Tiada jawapan yang diterima, hanya isyarat jari yang dilakar bagi menunjukkan bentuk cinta. Dia menggelengkan kepalanya. Matanya dijegilkan. Mulutnya separuh terbuka seperti selalu dibuat…
“ Mamak Maideeeeennnnn!” Dia menjerit. Jeritan itu membuatkan lelaki tadi susup sasap berlari ke belakang.
Mamak Maideen sudah siap tercegat di hadapannya sebaik dia habis menjerit. Ketawa kecil dari beberapa orang pekerja dan pelanggan di situ kedengaran di sana-sini. Mereka sudah biasa dengan olahnya yang begitu bila diusik.
Mamak! Ittu Anne, sekali lagi usik saya… saya mogok makan sini!” Dia bangun, jari telunjuk diangkat lalu kepalanya digerakkan sama seperti yang sedang dilakukan Mamak Maideen ketika itu. Lucu betul gayanya.
Eceh! Tangkici, apapasal taroh itu nama ‘Chinta’? Semua orang mau usik. Mamak tara salah…” jawab Mamak Maideen. Kernyihnya sudah sampai ke telinga. Aura gatal mahu mengusik membuatkan dia mengenyit matanya pada Chinta.
Mamakkkkk… Gerammmnyerrrr!!!”
Chinta melepaskan nafas berat. Bahunya dijatuhkan lalu berkalih dan terus menyeberang jalan tanpa memandang ke kiri dan kanan. Mujur waktu itu, tiada kereta yang lalu lalang.
Geram betul! Bukan salah dia kalau namanya Chinta. Bukan juga dia tidak biasa dengan usikan yang mengiringi tahun-tahun yang mematangkan dia. Sudah lali sebenarnya. Namun tidak dapat dinafikan, jika selalu begitu... adakalanya akan naik muak juga.
Nama Nur Chinta Aliya itu sudah terpahat di atas sijil kelahirannya sejak 29 tahun yang lalu. Nak buat macam mana! Nama yang terlahir sebagai tanda kukuhnya ikatan cinta antara mamanya, Nur’ain dan babahnya Ali Nawari. Bukan hanya nama dia yang begitu, nama kakak sulungnya juga bunyinya serupa, Nur Qaseh Aliya. Begitu juga nama adik lelakinya yang bongsu, Muhammad Nur Habibi Ali. Cuma nama abang sulungnya aja yang lain sedikit bunyinya iaitu Muhammad Nur Nawari. Semuanya menjadi ‘mercu tanda’ betapa kuatnya kasih dan cinta Nur pada Ali. Dia tahu dan sedar, dia sepatutnya berbangga menjadi ‘mercu tanda’ itu. Cuma kadang-kadang sahaja dia menjadi tidak tahan dengan usikan yang keterlaluan seperti yang dialaminya tadi.
Sebaik sampai ke seberang, dia mendongak melihat papan iklan premis berwarna merah muda dengan tulisan kuning di hadapannya. Farmasi Chinta ini milikinya bersama Mawar. Itu hasil kerja keras mereka berdua memohon pembiayaan dari PUNB sebaik dia tamat housemanship dan compulsory service di hospital. Dia selaku kongsi utama dan memiliki 70 peratus syer. Mawar pula memegang 30 peratus berdasarkan profit sharing sejak 3 tahun beroperasi. Mawar sahabat baik yang sudah dianggap keluarga. Juga merangkap rakan kongsi dan pekerjanya juga. Perniagaan itu seperi pengikat kepada persahabatan yang usianya sudah melewati 25 tahun, sejak mereka sama-sama di pra-sekolah lagi.
Kesian Mawar! Tidak seperti dia yang mampu melanjutkan pengajiannya dalam bidang Sains Farmasi di USM, Mawar terkandas sewaktu di tingkatan 5. Semuanya kerana peristiwa malang yang meragut nyawa kedua ibubapanya ketika usianya 17 tahun. Dia yang tinggal sebatang kara turut mengalami kemurungan akibat peristiwa itu. Mama dan babah yang sememangnya menyayangi Mawar terus sahaja mengambilnya sebagai anak angkat. Sementelah pula, mereka memang tinggal berjiran sejak sekian lama.
“ Hai! Menung apa lagi kat luar tu?”
Suara Mawar yang terjengol di sebalik pintu kaca itu, menyedarkan Chinta dari mengimbau masa lalu. Dia tersengih tanpa berkata apa-apa. Memandang Mawar yang sentiasa manis dengan tudung yang dililit dengan gaya terkini.
“ Ada sales rep nak jumpa!” Ungkap Mawar dari sebalik pintu.
Dia mengangguk lalu masuk ke dalam.
 *****
 CHINTA BERDIRI MENGADAP CERMIN. Cermin panjang yang diletakkan di ruang tengah premis kepunyaannya itu sebenarnya mempunyai tujuan tersendiri. Pada awalnya, ia sekadar untuk menampakkan keluasan ruang. Di samping itu, boleh juga dibuat alat serampang dua mata. Kalau ada pelanggan yang mempunyai masalah berat badan dan secara tidak sengaja melihat imej diri mereka, mungkin akan lakulah barang sebotol dua produk pelangsingan badan yang di jual di dalam premisnya. Itu idea Mawar, bukan idea dia.
Namun kebelakangan ini, cermin itu seperti ‘senjata makan tuan’.  Malah dia seboleh mungkin cuba mengelakkan dari melalui kawasan itu. Alat memancing pelanggan itu kini, seperti mentertawakan dan mengejeknya.
Ah! Lantaklah! Namun sekuat mana hati cuba menafikannya, sekuat itu jugalah dia diam-diam merasakan yang fizikalnya sudah banyak berubah. Namun dia masih buat tidak kisah… selagi Si Beto itu tidak pernah kompelin tentang penampilannya.
“ Chinta ada?” Itu suara Abang Nan, buah hati kak Qaseh dari kedai sebelah.
“ Ada! Kat sini… Kenapa Abang Nan?” Dia menjengah dari sebalik gondolar. Mawar tersengih di belakang kaunter.
“ Qaseh cakap, yang ditunggu bakal tiba… Special punya tau!” Jawab Abang Nan. Dia kernyeh di hujung ayat. Macam kerang busuk. “ Jangan tengok cermin tu lama-lama, nanti tension!” Kata-kata Abang Nan disambut ketawa kuat oleh Mawar. Cepat saja Abang Nan melangkah keluar selepas itu. Takutlah tu! Takut kena ‘kuntau mulut’ dengan Chinta.
Hmm… asal ada peluang, semua orang nak kenakan dia. Geram betul! Adakalanya isu nama. Kekadang terbit pula isu berat badannya yang semakin bagai dipam-pam layaknya. Itu belum masuk isu hubungannya dengan Beto.
“ Chinta! Sudah-sudahlah kau layan nafsu kau tu. Tadi pagi dah pekena roti canai 2 biji. Nak makan benda alah tu lagi? Cuba kau renung imej kau dalam cermin tu lama-lama… Aku takut lama-lama nanti, Beto bukan Kushairy kau tu, lari,” bebel Mawar dari belakang kaunter.

Hmm... masuk kali ini sudah lebih sepuluh kali Mawar keluarkan ‘ayat lapar pelempang’ itu. Tak sayang mulut betullah! Yang hairannya, dia selalu tunjuk muka bersalah setiap kali mengungkapkan ayat tersebut. Namun bila ditanya sebabnya, dia lebih suka mengangkat bahunya.
“ Barang-barang yang sampai tadi dah habis tag?” Chinta membulatkan matanya sambil tangan bercekak pinggang. Leha dan Nurul yang sedang mengemas barangan di atas rak tergelak kecil. Mawar melepaskan nafas berat lalu membetulkan tudungnya yang sedikit senget. Namun dia tiba-tiba menjerit bila Chinta mencubit pinggangnya. “ Lagi sekali kau sebut ayat tu, aku cekik kau!”
Sudah biasa bergurau begitu, Chinta yakin Mawar tahu dia tidak bermaksud apa-apa. Mawar ketawa kecil sambil mengenyitkan mata.
“ Termasuk engkau, dah dua orang kenyit mata dengan aku pagi ni.”
“ Siapa yang lagi sorang tu?”
“ Hmm… Mamak Maideen tadi. Entah termakan seafood dan dapat allergik apa tah, dia boleh kenyit mata pada aku tadi. Ingat nak hantar Piriton buang sekeping dua. Buat ubat gatal badannya tu…”
Cerita itu disambut ketawa kuat dari Mawar. Leha dan Nurul, turut tersenyum sama. Mawar menggeleng kepala.
Sambil masih tersenyum, Chinta bergerak masuk ke dalam pejabatnya. Melabuhkan punggong di kerusi empuk sambil menarik keluar fail akaun dari atas rak. Dia mula membuat senarai pembayaran yang perlu dikeluarkan menjelang hujung bulan. Huh! Banyaknya figura yang terpamer sebaik dia selesai menjumlahkan semuanya. Nampaknya bulan ini, terpaksalah dia membuat pembelian berhemah. Mawar juga perlu diingatkan tentang itu.
Tiba-tiba, dia berhenti bekerja. Hidungnya dikemut-kemutkan tanda dia terbau sesuatu. Dia menghirup bau enak itu dalam-dalam lalu bangun dari kerusi dan keluar ke kaunter.
“ Kau orang bau tak?”
“ Mulalah tu… pantang bau tu datang, mulalah duduk tak senang!” Komen Mawar yang sedang menyusun invois dan mengepitnya dengan pengepit kertas.
“ Tadikan Abang Nan cakap dah on the way…” Leha, pekerja yang tinggi lampai turut menyampuk.
“ Aku ke sebelah kejap. Kau orang semua… kerja rajin-rajin tau!” Dengan tersengih-sengih, Chinta melangkah ke premis sebelah. Dia pasti, tentu Qaseh ada sesuatu yang istimewa untuknya. Dia tidak sedar akan pandangan sayu Mawar yang sedang mengiringi langkahnya. Yang pasti ada sesuatu yang Mawar cuba sembunyikan dari Chinta.
 ***** 
QASEH MENGALIHKAN KEK CAWAN yang baru dikeluarkan dari oven lalu meletakkannya di atas rak wayar berjaring. Pantas sungguh dia melakukan semua itu dengan menggunakan pengepit besi. Selepas siap semuanya, dia berkalih ke arah dulang yang menempatkan kek cawan yang sudah sejuk. Ini resepi kek cawan Red Velvet yang dijanjikan untuk Chinta. Kek ini antara  kegemaran Chinta selain kek Hazelnut Coklat.
Dia mencapai mangkuk pengadun Kenwood yang mengandungi Krim keju  yang sudah siap diadun sebentar tadi. Warna dan kelembutan krim keju itu memang menggamit selera. Sebab itulah agaknya, Chinta tidak mampu melawan kehendak nafsu makannya.
“ Itu untuk Chinta lagi?” Soal Mak Teh, ibu saudara juga merangkap rakan kongsi dalam bisnes kek cawannya. Qaseh mengangguk. Mak Teh, ibu saudara sebelah mama itu merupakan adik mama. Dia tua sepuluh tahun dari Qaseh namun masih belum bertemu jodoh. Kalau ikut terma sekarang… orang gelar perempuan macam dia, Andalusia.
Kedengaran Mak Teh menghembus nafasnya. Dia menggeleng kepalanya perlahan. “ Masih tak dapat nak hentikan ketagihannya pada cup cakes? Qaseh pun satu… asal dia minta aje, Qaseh buatkan.”
Qaseh sayang adik. Tak sampai hati bila dia merengek. Ini pun Qaseh buat upon request jer. Kalau Qaseh jual kat kedai… mau hari-hari Chinta makan cup cake ni. Dia ajelah yang jadi pelanggan,” jawab Qaseh sambil melurut-lurut bekas ising supaya krim mampat ke bawah. Dia memulas bahagian atas bekas ising itu sambil menalakan nozel ke muka untuk melihat krim yang keluar di hujung acuan berukuran 2cm. Jika krim keluar, bererti krim sudah padat ke bawah dan sedia untuk digunakan. Setelah puas, dia mula mengepam krim lalu membuat beberapa putaran mengelilingi bahagian atas kek cawan. Tak sampai seminit, kek sudah terhias dengan krim keju berlengkar menunjuk ke siling.
“ Sayang tu… semua orang, sayang! Tapi mesti kena pada tempatnya. Mak Teh tengok, badan Chinta tu dah macam dipam-pam sejak kita buka kedai kat sini. Dia tu, bukannya tinggi sangat…” kata-kata Mak Teh itu terhenti bila pintu ruang dapur ditolak.
Wajah ceria Chinta menjengah di sebalik pintu. Mak Teh menelan air liur.
Kak Qaseh! Mak Teh! Wahhh!!! pesanan Chinta dah siap ek?” Ceria sahaja suaranya bertanya walaupun semuanya sudah jelas di depan mata. Dalam duduk bersembang dengan Mak Teh, sudah siap sepuluh biji kek berhias krim putar di atas dulang. Qaseh memang cekap membuat kerja dapur.
Bulat mata Chinta melihat kek cawan yang sudah berhias itu. Dia menelan air liur. Qaseh memandang Mak Teh. Mereka sama-sama menggeleng kepala.
Panjang sungguh umur Chinta. Baru aja menyebut namanya. Dia sudah muncul di depan mata. Qaseh suka melihat keceriaan Chinta. Rasa puas hati setiap kali memenuhi keinginan Chinta. Namun memenuhi permintaan Chinta yang satu ini, sering mengundang rasa bersalah dalam dirinya. Ya lah! Seperti kata Mak Teh, badan Chinta memang naik mendadak sejak mereka beroperasi di sebelah kedai Chinta. Chinta jadi ketagih makan kek cawan hampir setiap hari. Sudah puas dinasihati, namun acara makan kek cawan itu seperti tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Nama saja ahli farmasi, dia sendiri sepatutnya lebih tahu akan kesan buruknya. Namun degilnya tak boleh ditegur. Inginnya tak boleh dibantah. Tanpa sedar, Qaseh mengeluh perlahan.
Kenapa mengeluh! Teruk sangat ke nak buat tempahan untuk Chinta?” Sambil menyoal, tangan Chinta pantas mencapai sebiji kek cawan di hadapannya dan terus menggigit separuh. Sebaik mengunyah, dia memejamkan matanya. Menggayakan aksi penuh nikmat seperti yang dilakukannya setiap kali menjamah kek cawan kegemarannya. Qaseh geleng kepala lagi, memandang Mak Teh… memohon pengertian.
“ Bukan teruk, Kak Qaseh cuma rasa bersalah. Akibat asyik makan kek cawan Kak Qaseh, badan Chinta dah jadi bulat macam bola. Mak Teh pun rasa bersalah juga,” ulas Mak Teh. Dia memicit-micit lengan Chinta yang berisi tu, “ tengok, dah pejal isi kat sini, tak cantik kalau pakai baju, lengan jadi besar. Beto tak kisah ke, kamu gemuk macam ni?”
“ A’ah! Beto tak kisah ke? Jangan nanti dia cari yang lain pulak, menangis tak berlagu kau nanti. Dah berapa kali kau orang berdua tangguh nikah?” Celah Qaseh. Entah kenapa, dia sangsikan kejujuran Beto. Sudah masuk tiga kali Beto tangguhkan nikah. Dari Chinta kecil molek, sampailah Chinta sudah jadi gempal begini. Dari Qaseh single tak ada kekasih sampailah dia bertemu jodoh dengan Abang Nan.
“ Beto kata, makin Chinta berisi… makin cute,” jawab Chinta tersengih selepas menghabiskan baki kek tadi. “ Tentang kawin tu, dia bukan sengaja nak tangguh. Dia nak kukuhkan kedudukan kewangannya dulu. Chinta okay aja.”
Qaseh sudah biasa mendengar ayat tu, namun dia malas mahu mengulas. Dia terus terus saja menekan beg ising dan menghias baki kek. Kalau Chinta tak kisah, dia mengikut aja. Namun kalau Beto berani memungkiri janjinya pada Chinta, siaplah Beto nanti! Mahu menguatkan kedudukan kewangan konon. Yang Qaseh tahu, sudah beberapa tahun Beto asyik bertukar-tukar kerja. Pantang ditegur sedikit oleh majikan, terus dia hantar surat berhenti. Memanglah mak bapak Beto tu orang kaya, tetapi takkanlah nak bela Chinta dengan ihsan harta mak bapak dia. Itu bukan ciri-ciri lelaki baik dan bertanggung jawab. Namun dia hairan kenapa Chinta jadi terlalu buta.
“ Suka hati kaulah Chinta. Jangan nanti, kamu kata kami tak mengingatkan kamu, menegur kau. We’ve done our part, the rest is yours to decide!” Ujar Mak Teh yang terkenal dengan sikap terus terangnya.
‘Ting!’
Bunyi itu kedengaran dari oven sebelah kanan. Itu tanda puding roti yang Mak Teh bakar sudah siap masak. Mak Teh bangun untuk meneruskan kerjanya.
“ Chinta faham, Mak Teh dengan Kak Qaseh ambil berat hal Chinta. Tapi Chinta kenal Beto. Chinta tahu dia serius sayangkan Chinta.”
“ Kalau Chinta dah yakin, okaylah tu.” Qaseh mengiyakan kata-kata Chinta. Buat habiskan air liur aja kalau bercakap hal Beto.
“ Kak Qaseh masukkan 10 biji dalam box, Chinta kena balik ni. Nak ke bank pulak petang nanti.” Pinta Chinta sebelum berkalih ke arah Mak Teh. “ Mak Teh, mintalah puding roti tu barang sebekas, boleh?” Chinta buat muka kesian. Dia nampak terliur merenung barisan bekas aluminium berukuran 5 x 3 cm  siap berisi pudding roti yang memang sudah terbukti keenakannya.
“ Kirim salam aku nak bagi! Dengan Qaseh, bolehlah kau buat lembik tengkok. Aku tak akan termakan dengan muka kesian kau tu. Aku tak mahu tambah kilo pada badan kau yang dah terlebih kilo tu… Tolonglah sedar dan jaga pemakanan kau tu. Kau tu, jual ubat. Kau kena tunjuk tauladan dan appearance yang sihat…” leteran Mak Teh terhenti bila melihat Chinta menutup telinga dengan jari telunjuknya.
Qaseh ketawa kecil. Sejak dulu, antara mereka berlima beradik… hanya Chinta yang tak pernah takut dengan leteran Mak Teh. Malas mahu melayan mereka, dia bangun mendapatkan kotak seperti yang diminta Chinta.
“ Asal aku berleter, itulah yang kamu buat. Suatu hari… kamu akan tahu yang aku berleter nipun, sebab sayangkan kamu.” Komen Mak Teh dengan nada merajuk.
Qaseh yang sedang memasukkan kek cawan valvet ke dalam bekas, menyembunyikan senyumnya. Pandai merajuk juga orang tua yang seorang ni. Dia mengerling ke arah Chinta. Chinta mengenyit mata. Hmm… adalah yang sedang terbit dalam otak tak betulnya itu. Beg berisi kek cawan Red Velvet itu dihulurkan kepada Chinta.
Beg sudah bertukar tangan. Chinta bergerak ke arah Mak Teh dan mencium pipi kanan Mak Teh tanpa sebarang amaran. Mak Teh menjerit kecil. Dia kemudian memeluk pinggang Mak Teh dari belakang lalu mencium pipi sebelah kiri pula.
“ Saaayaaaannnggg, Mak Teh!” Ucap Chinta sebelum berlari ke pintu.
Bertuah punya budak! Dapur ni, bukan tempat bergurau senda. Ada benda panas dan mudah pecah!” Jerit Mak Teh berkalih sambil memegang sudip kayu. Namun Chinta sudah bergerak dengan pantas menuju ke pintu. Dia tersengih di situ.
Qaseh ketawa mengekek. Mak Teh pula menggeleng kepala.
Chinta berhenti di depan pintu. “ By the way Mak Teh, thanks untuk ini….”katanya sambil mengeluarkan sebekas pudding roti yang entah waktu bila, berjaya di’culik’ dari pengawasan Mak Teh. Tanpa menunggu tindak balas dari Mak Teh, Chinta ketawa sambil mengenyit matanya pada Qaseh lalu terus hilang di sebalik pintu.
Mak Teh memandang Qaseh yang sedang cuba mengawal gelak, tangannya sedang menutup mulut. Mulut Mak Teh pula ternganga. Rahang jatuh separuh. Tangan menggaru kepala kehairanan. Mak Teh mahu berkata sesuatu namun akhirnya terduduk di kerusi. Hanya matanya yang memandang Qaseh tanpa sebarang kata.
“ Kan Qaseh dah kata… payah untuk tidak memenuhi kehendak dia…” ulas Qaseh lalu bangun menatang dulang kek untuk diletakkan di ruang depan.

1 comment:

kak cik said...

lama tak jengah sini..ada cerita baru rupanyer..kupu2 malam tu dah siap ker?

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU