Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Monday, July 30, 2012

MERENUNG BULAN


SEPERTI HARI-HARI BIASA JIKA SAMPAI AWAL, Ayu akan duduk berayun kaki di atas bangku taman yang bertentangan dengan kawasan parkir. Itu tempat kegemarannya. Lagipun kawasan itu dilindungi oleh dua pohon buluh madu yang rimbun daunnya. Mahu masuk ke pejabat, pintu masih berkunci. Dia perlu menunggu Abang Faizal dan Kak Tina datang dahulu. Walaupun perlu menunggu, Ayu tak kisah sangat. Penantian itu memberi peluang untuknya memerhatikan kelibat ‘buah hati’nya yang sudah pasti akan melalui kawasan itu nanti. Dia mengerling jam di tangan. Tersenyum mengulum kemudiannya, kerana dia tahu, buah hatinya itu akan tiba bila-bila masa sahaja…

Dari jauh, kelihatan kereta Honda Accord kelabu menjalar memasuki kawasan parkir. Ayu  menggelisah. Dadanya berdetak kuat tiba-tiba. Rasa yang selalu muncul apabila terasa kehadiran lelaki itu. Terus sahaja dia beristigfar di dalam hati. Dia tidak suka perasaan begini, ia seperti rasa sakit bercampur rasa lazat yang sukar mahu diungkap.

Sebaik lelaki itu mula membuka pintu kereta, dia segera tunduk menatap buku yang sudah siap terbuka di tangan. Memang begitulah selalu. Dia akan pura-pura membaca buku dan hanya akan mengangkat mukanya sebaik lelaki itu berlalu. Walaupun tidak memandang, dia sebenarnya memantau pergerakan lelaki itu melalui ekor matanya.

Entah kenapa hari ini, dia tidak nampak kelibat Si Dia melepasi tempat duduknya. Dan ketika itu juga, telinganya menangkap bunyi orang berdehem. Dia mengangkat muka lalu nafas menjadi seperti mahu semput tiba-tiba. Mata mereka bertentang. Inilah kali pertama dia benar-benar memandang tepat ke muka lelaki itu. Dia terkesima dan dunia sekeliling terasa sunyi tiba-tiba. Seperti yang ada kini, hanya mereka berdua.

Lelaki itu tersenyum. “ Buku yang awak baca tu… terbalik,” tegurnya. Tersenyum nipis dan terus berlalu.

Ayu yang masih terpana dek renjatan cinta itu tiba-tiba tersedar. Seperti orang bodoh, dia tunduk memandang buku yang terbuka di hadapannya. Huruf-huruf terbalik nampak jelas di hadapan matanya. Aduh! Dia menepuk kepala. Tak tahu di mana mahu disorokkan mukanya. Yang mampu dilakukan ketika itu hanyalah tunduk menekap muka ke buku. Maka hari itu menjadi hari terakhir dia duduk menunggu di atas bangku. Dia melepaskan nafas berat. Mana mungkin dia mampu berdepan dengan lelaki itu lagi.

*****

“RENUNG APA?” Tegur Diana setelah menepuk bahu kiri Ayu. Matanya turut menyorot ke arah sudut yang dipandang Ayu.

“ Tak ada apalah.” Ayu menggeleng. Kembali merenung nasi di pinggan.

“ Kau pandang mamat kat seberang jalan tu ke? Kau suka dia ek?”

“ Mana ada, kebetulan… dia lalu masa aku pandang ke situ. Kau pandai-pandai buat serkap jarang.” Ayu mencubit paha Diana. Diana sahabatnya yang ‘kepoh’ itu bekerja di butik yang terletak di tingkat bawah pejabatnya.

“ Usah kau bersembunyi di sebalik tabir yang jarang. Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan betinanya.” Diana ketawa mengekek sebaik menghabiskan ayat. Pinggan nasi yang baru diletak tadi, ditarik mendekat. Dia mengangkat tangan berdoa, kemudian menyuap nasi ke mulut.

Ayu hanya memerhati gelagat Diana. Tak tahu bagaimana mahu meningkah telahan Diana. Dia sedar, itu bukan pertama kali Diana terserempak dia sedang memerhatikan lelaki itu.

Nama dia Eesa. Masih solo dan sedang mencari…” dia tersengih lagi.

Pandailah kau. Kau yang ada hati dengan dia kut. Siap tahu namanya sekali!” Walaupun pura-pura marah, dia gembira kerana mengetahui nama lelaki itu setelah hanya menjadi pemerhati sekian lama.

Diana menggeleng. Seperti terlekat makanan, dia segera menghirup air, memejamkan mata sebelum meneguk sekali lagi.

“ Taklah, aku dah ada buah hati. Lelaki yang kau minat tu bekerja di bank Islam kat hujung blok sana. Tentang nama dia tu, adalah cara aku tahu tu, tak kan nak bagi tau kau.” Dia berhenti sebentar, menyuap makanan dan mengunyah beberapa kali sebelum mula bercakap semula. “ Aku tahu kau suka dia. Dah banyak kali aku nampak kau tenung dia. Yang konon-konon baca buku dekat bangku depan parking tu pun aku tahu. Kau tak payah nak sembunyi dari aku.”  Diana kalau sudah mula bercakap, memang payah mahu berenti. Dan, kata-katanya kali ini membuat Ayu membeliakkan matanya. Tak sangka ada orang perasan agenda ‘serampang dua matanya’ selama ini. Ya Allah! Malunya!

“ Tak payah nak malu dengan aku!” Kata Diana lagi. Dia seperti dapat membaca suara hati Ayu.

“ Tak ada apalah. Aku saja suka tengok gaya dia. Aku ni macam pungguk. Dan dia pula macam bulan. Aku hanya sesuai melihat dia dari jauh.” Sayu bunyi ayat yang keluar dari mulut Ayu. “ Aku ni, nama saja Ayu, tapi perawakan aku tak adalah ayu sangat pun. Kadang-kadang, segan juga nak beritahu orang nama aku Ayu,” balas Ayu, merendah diri. Tangannya masih menggaul nasi. Dari tadi, belum sesuap pun yang masuk ke mulutnya.

“ Eh! Ada pulak macam tu. Kau ni, maaf cakap ek! Walau tak cukup inci… kalau kau announce kat orang nak cari calon suami, berjujuk orang beratur nak isi borang tau! Nanti Nasi Kandar Beratur punya line pun tak boleh nak lawan kau punya calon. Janganlah merendah diri macam ni!”

Kata-kata Diana buat Ayu tersengih. Macam-macamlah Diana ni. Namun kehadirannya selalu menceriakan hidup Ayu.

“ Kalau kau tengok ciri-ciri wanita pilihan lelaki… aku cuma ada dua dari tiga belas. Awal-awal lagi dah tak lulus,” balas Ayu. Perlahan dia melafazkan ‘Bismillah…’. Suapan pertama masuk ke mulut.

“ Ciri-ciri apa pulak?”

“ Kau tengok dalam iklan perfume Simplysiti yang Dato Siti buat tu. Khairul Fahmi cakap… ‘saya suka yang aktif, ceria, kelakar, lawa… dan yang paling penting, wangi’. Satupun aku tak lekat,”  terang Ayu. Memang benar, mendengar ciri-ciri yang mereka sebutkan… membuatkan dia rasa rendah diri sungguh-sungguh. Kebanyakan karakter yang disebutkan itu, tidak ada dalam dirinya.

Diana ketawa besar diikuti bunyi mengekek di hujungnya. Beberapa kepala menoleh ke arah mereka. Ayu menjegilkan mata.

“ Sampai ke situ kau fikir?” Diana menggeleng kepala. “ Kejap-kejap… S.M Khalis cakap, dia nak yang confident, glamour, bijak dan ada daya penarik,” ucap Diana meniru cara perkataan itu disebut.  “Kat sini, kau dapat berapa mata ek?” Soalnya memandang Ayu. Mengusik sebenarnya.

Ayu menggeleng. “ Kosong. Semua tak ada. Confident… yang aku paling kurang. Glamour… jauh sekali. Kalau nak kata bijak, tak adalah jadi kerani kat pejabat peguam saja. Haiii… nasib badan.” Dia mengeluh. Tangan Diana pantas menggosok bahunya.

“ Cuma yang last tu aja… kata yang sorang lagi, dia suka yang feminine, romantik, sopan santun dan manis orangnya,” sambung Ayu lagi.

“ Haa… Yang ini, kau dapat dua markah. Aku rasa kat sopan-santun dan manis tu… kau ada.” Diana ketawa lagi. Ayu hanya tersengih menunggu ketawa Diana kendur.

“ Hmm… itu lelaki berprofil tinggi. Citarasa mereka pun, kenalah tinggi. Memanglah tak sesuai dengan kita. Tak semua lelaki mahukan kriteria yang sama. Kau ni pun, tak adalah buruk sangat. Ada orang minatkan kau diam-diam… kau tak tahu, kan!”

Sudahlah. Tak payah kau susah-susah nak sedapkan hati aku. Lagi satu… apa yang kau tahu kat sini… habis kat sini jer tau. Jangan hebah kat orang, aku sukakan mamat tu pulak. Buat sementara ni, biarlah aku jadi pungguk sekejap. Aku nak renung bulan tu puas-puas sebelum dia hilang ditelan siang.”

Diana menghela nafas panjang. Dia mahu berkata sesuatu tetapi membatalkan hasratnya.

“ Hari ini, aku belanja kau… sempena menyambut puasa.” Kata Ayu.

“ Laa… kenapa tak cakap awal-awal, boleh aku ambil lauk sedap-sedap,” gurau Diana sambil bangun. “ Hmm… kau pasti tak nak tahu pasal secret admire kau tu. Alang-alang dah kau tak sekufu dengan Eesa tu, kau terima sajalah orang ni. Orangnya baik dan aku yakin dia tak letak ciri-ciri yang macam tadi untuk calon isteri dia,” sambung Diana memandang penuh harap pada Ayu.

Ayu menggeleng kepala. Belum terfikir untuk ke arah itu.

*****

SEJAK PERISTIWA ‘ BUKU TERBALIK’ DUA MINGGU LEPAS, Ayu sudah tidak duduk di bangku dan menunggu Eesa seperti selalu. Dia hanya akan duduk di tangga pejabat menunggu Kak Tina datang. Maka dia jarang dapat melihat kelibat Eesa lagi. Cuma sekali sekala saja dia ternampak Eesa di waktu makan. Waktu itulah dia mengambil peluang untuk betul-betul memerhati…  seperti yang terjadi sewaktu bersama Diana tempohari. Namun kebelakangan ini, sejak memasuki bulan puasa… sudah beberapa hari dia tidak nampak langsung kelibat Eesa. Mahu ke bank tempat Eesa bekerja, takut pula dikatakan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. Namun selagi tidak nampak Eesa, hidupnya seperti terganggu. Ada rasa tidak enak yang seperti menggigit-gigit tangkai hatinya. Tidurnya sukar mahu lelap. Aduh! Kacau sungguh. Dari sekadar suka, hati sudah berubah menjadi rindu. Parah betul!

Rasa rindu itu menyebabkan tumpuan kerja juga turut terganggu. Banyak betul kesilapan yang dia lakukan. Kena marah dengan Abang Faizal, sudah menjadi agenda harian kebelakangan ini. Mujur Kak Tina tidak segarang suaminya. Mahu menunggu waktu kerja tamat, seperti mahu menunggu tamat berperang lagaknya.

Ayu! Mai sini kejap.” Lamunannya terganggu apabila dipanggil Kak Tina ke mejanya.

Ayu segera menapak. Melabuhkan punggong di kerusi bertentangan dengan Kak Tina sebelum bertanya, “ kenapa kak? Ada yang tak kena lagi ke?” Dia menggaru kepala. Jangan kena buang kerja sudahlah. Semakin dekat dengan Raya, semakin banyak duit yang hendak dipakai. Di manalah nak dicekaunya nanti.

Bukan sebab kerja. Hari ni, kurang sikit kesalahan Ayu. Sikit-sikit tu… akak dah betulkan. Jangan sampai ke tangan Abang Faizal, sudah! Yang tu akak tak dapat nak kata apa lagi dah…” sengih Kak Tina.

Ayu mengurut dada. Ada sedikit rasa lega.

“Apa masalah Ayu sebenarnya? Cuba bagi tahu akak. Kalau tak cukup duit nak raya… akak pinjamkan.”

Ayu geleng kepala. Tak kan nak beritahu pula! Tangannya mencapai pengepit kertas dan mengetuk-ngetuk ke meja dengan perlahan. Mujur ini meja Kak Tina, kalau tersilap buat di depan Abang Faizal, mahu pengepit kertas tu selamat mendarat di atas kepalanya. Itu kira boleh tahan, kalau masuk ke dalam mulut… lagi parah.

“ Kalau ikut pemerhatian akak, Ayu ni, macam orang kena penyakit cinta!”

Pengepit yang dipegang terlepas dari genggaman. Sudah mendarat di atas lantai. Ayu menelan air liur. Bulat matanya memandang Kak Tina. Seperti terkantoi dengan Diana tempohari, hari ini pun serupa. Muka Ayu memang lutsinar agaknya, semua orang macam boleh baca apa yang cuba disimpannya.

“ Hmm… betullah tu!” Kak Tina menghela nafas. “ Tak nak kongsi dengan akak?” Soalnya lagi.

Ayu buat muka sepuluh sen lalu menggeleng.

“ Hmm… baiklah! Kalau macam tu, hari niakak bagi Ayu half day. Balik awal, tenangkan hati, rehatkan otak. Esok Sabtu pun Ayu cuti, sampai Ahad. Bila datang Isnin, tak mau lagi ulangi kesalahan-kesalahan yang asyik berulang tu. Dua hari setengah ni… untuk Ayu settlekan masalah Ayu, boleh?”

Ayu mengangguk lemah. Sudah diberi cuti tanpa perlu diminta, kenapa mahu menolak pula. Dia menerima sahaja walaupun dia tahu, berilah sepuluh hari lagi pun, masalah yang bersarang di dadanya tak akan pernah selesai.

*****

ALANG-ALANG DAPAT BALIK AWAL DI BULAN PUASA, Ayu membelok masuk ke Pasar Ramadhan Taman Bertam Indah. Niat di hati, mahu membeli murtabak sedap yang sering diperkatakan orang.

Sebaik sampai, dia terus ke gerai menjual murtabak, membeli dua biji dan terus berpatah balik. Kalau terus menjamu mata, bimbang pula mata akan jadi rambang merenung juadah yang bermacam jenis dan beraneka rupa tu. Nanti, tak pasal-pasal membazir dan jadi bersaudara dengan Syaitan. Na’uzubillah!

Dalam pantas berjalan mengatur langkah sambil mata menjeling ke kiri dan kanan, kaki Ayu tiba-tiba menjadi kaku. Matanya memandang tepat ke depan. Jantung secara otomatik bergerak semakin pantas. Namun ada rasa tidak enak yang melingkari hatinya sebaik menyedari apa yang dipandang. Hati tiba-tiba terasa pedih. Sakitnya seperti ditoreh sembilu.

Di hadapannya, Eesa sedang berjalan beriringan dengan seorang wanita yang sungguh cantik rupawan. Orangnya tinggi dan berkulit cerah. Berkebaya nyonya warna merah dan berkain batik lepas. Tudung kepalanya pula digayakan mengikut trend terkini.

Sungguh! Itulah wanita tercantik yang pernah Ayu lihat seumur hidupnya. Setiap kali wanita itu tersenyum, ada lesung pipit terbenam menghiasi pipi gebunya. Hidungnya mancung bak seludang. Matanya bundar dengan alis yang panjang melentik. Ayu merasa terlalu kerdil. Antara dia dan wanita itu, seperi langit dengan bumi layaknya. Kalaulah dia diletakkan disebelah wanita itu, ibaratnya seperti meletakkan Woophy Goldberg di sebelah Angelina Jolie. Lelaki terencat akal, hatta budak berumur 4 tahun pun akan tahu memilih yang mana. Inikan pula Eesa yang lengkap sempurna segalanya. Begitu tragis sekali!

Lama dia merenung mereka. Jantungnya seperti disentak apabila wanita tadi memaut lengan Eesa. Membisikkan sesuatu di telinga Eesa sebelum mereka berdua ketawa kecil. Hatinya tiba-tiba terasa kosong sungguh! Terasa seperti dunianya tiba-tiba punah dan berakhir hari itu dan di situ juga. Ayu beristighfar. Mengurut dadanya perlahan. Dia sedar, dia perlu segera berlalu sebelum dia hilang kemampuan untuk membendung kolam airmatanya dari menumpahkan isinya.

Saat dia mahu berkalih, mata Eesa tiba-tiba merenung ke arahnya. Ada senyum terjongket di bibir Eesa. Namun dia sudah tiada hati untuk membalas. Kalaulah senyuman begitu dilontarkan sebelum ini, pasti dia akan membalasnya dengan senyuman yang lebih manis hingga ke telinga. Tanpa mahu menunggu lebih lama, dia segera menapak laju meninggalkan adengan yang menghancur lumatkan hatinya.

*****

DAHULU KATA AYU, DIA SEKADAR MAHU MERENUNG BULAN. Agenda merenung dari kejauhan itu rupanya sudah bertukar menjadi sesuatu yang menyakitkan. Salah dia sendiri. Siapa suruh menyimpul perasaan dalam diam! Kini dia akur. Bulan yang direnungnya sudah hilang ditelan siang. Tanpa perlu bertanding, dia tahu… dia kalah dek matahari yang bersinar terang. Dia perlu sedar diri dan berhenti untuk terus berangan menggapai bulan yang tingginya tak tercapai dek tangan.

Yang geramnya, Diana ketawa kuat sewaktu dia ceritakan tentang pertemuan tak disangka itu. Orang sedang bersedih, dia sibuk gelakkan orang. Tak sensitif langsung! Sifat berterus-terangnya itu memberi ruang kepada Diana merangka agenda tersembunyi di belakangnya. Tahu-tahu, Diana  muncul setiap Isnin bersama jambangan bunga ros untuk Ayu. Kata Diana, itu dari peminat rahsia. Dan alang-alang Ayu mahu melupakan Eesa, dia mahu Ayu pertimbangkan sepupunya, Bodeng.

Bodeng? Nama apa tu?” Soalan itu pernah ditanya Ayu pada Diana. Kata Diana, itu nama timangan dalam keluarga. Kata dia lagi, Ayu tak akan menyesal mengenali Bodeng. Berat juga bagi Ayu mahu mengubah rasa hati begitu sahaja. Macam tukar bajulah pula. Maka, dia minta masa mahu berfikir.

Ayu akhirnya akur. Itupun atas nasihat emak. Kata emak, kalau tidak dibukakan ruang, bagaimana mahu mendapat peluang. Lagipun umur Ayu sudah 28 tahun. Alang-alang ada yang suka, kenapa tak memberi peluang pada diri sendiri? Selama ini pun, emak sudah letih menjawab soalan cepu emas dari sanak-saudara. Kata emak dia sudah kehabisan idea untuk memberi jawapan dan alasan bagi pihak Ayu.

Maka, bertitik tolak dari situlah, hari ini, Ayu bakal menghadiri majlis berbuka puasa di rumah Diana. Mulanya dia menolak. Mahu berterawih dijadikan alasan. Namun kata Diana, mereka akan berbuka dan berterawih di rumah Diana…

“ Kau tak payah risau tentang berterawih. Nanti kita berbuka dan berterawih di rumah aku. Kau jangan terkejut… sebab Bodeng yang akan imamkan solat tu.” Kata-kata itu mengejutkan Ayu. “ Kenapa? Tak percaya? Aku sayang kau… dan aku bagi engkau lelaki dengan pakej lengkap ni. Kalau kau tolak… memang kau tolak tuah!”

Wah! Ayat ‘ Bodeng yang akan imamkan solat tu’, bagai besi berani yang membuatkan kepalanya terangguk-angguk beberapa kali memberi persetujuan. Ada rasa teruja di dalam hati kecilnya. Lagipun sejak membaca Novel ‘Suamiku Ustaz’, ada juga sekali sekala dia berangan mahu bersuamikan orang yang alim. Dia tersenyum sendiri.

Hoi! Senyum apa sorang-sorang depan pintu! Masuklah!” Suara Diana dari sebalik tingkap membuatkan dia terkejut. Dia mengurut dada.

Pintu dibuka. Seorang wanita sebaya emaknya tersenyum di situ. Ayu tersenyum. Menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia pernah datang ke sini beberapa kali dan dia tahu, itu bukan Mak Long Zizah, ibu Diana. Diana memperkenalkan wanita itu sebagai Mak Ngahnya.

 “ Apa kabar Mak Ngah? Ini ada sikit buah tangan dari Ayu.” Tegur Ayu sambil menghulurkan bekas berisi puding Trifle yang dimasaknya.

Mak Ngah hanya tersenyum. “ Duduklah! Mak Ngah nak ke dapur.”

“ Ada apa yang Ayu boleh tolong? Tak sedaplah nak datang makan saja.” Kata Ayu berbasa-basi.

“ Hmm… nak tolong Mak Ngah buat kari?” Tanya Mak Ngah. Soalan itu membuatkan Ayu menelan air liur. Selama ini, dia hanya memasak untuk makanan keluarga. Kalau dia yang buat kari, takut pula tak menepati citarasa orang lain. Namun terlajak perahu, boleh diundur, terlajak kata… kena masak karilah jawabnya hari ini. Dia memandang Diana yang hanya tersengih sambil membuat isyarat ‘thumbs-up’.

Mujur emak sudah mempersiapkan Ayu dengan ilmu memasak. Tidaklah kekok sangat dia menolong di dapur. Mak Ngah Diana pun sporting orangnya. Perangainya, sebiji macam Mak Long Zizah.

Dalam sibuk begitu, sekali sekala Ayu menjeling ke depan. Sejak dia datang tadi, belum terlihat kelibat lelaki muda di sini. Yang ada hanya Ayah Diana bersama dua orang adik lelakinya. Agaknya Si Bodeng itu belum sampai lagi? Entah mengapa, sedari tadi, tiada siapa yang berkata apa-apa tentang Bodeng. Mahu bertanya, dia malu. Takut dikata tidak sabar pula. Namun tak dapat dinafikan rasa berdebar dan rasa teruja itu… saling bertingkah. Cuma kadang-kala ia diselit rasa hambar setiap kali wajah Eesa terlintas di minda. Barang yang lepas, eloklah jangan dikenang. Pujuk Ayu menenangkan hatinya.

“ Abang Bodeng dah sampai!” Jerit Diana dari dalam ruang tamu. Jeritan yang membuatkan jantung Ayu seperti disentap.

“ Berapa orang?” Soal Mak Long Zizah. Dia menarik tangan Ayu ke depan. Mak Ngah mengikut dari belakang.

Bertiga. Kak Nadia dengan Pak We dia. Excited ni, Diana belum pernah kenal buah hati Kak Nadia tu. Abang Bodeng… tentulah sorang-sorang. Sebab partner dia dah ada kat dalam ni.”  Diana tersengih. Dia mengenyit mata memandang Ayu. Ayu tersenyum kelat. Tak tahu mahu beraksi macam mana.

“ Assalamu’alaikum!” Salam diberi dan seorang wanita melangkah ke dalam. Diikuti oleh dua orang lelaki di belakangnya.

Baru separuh menjawab salam, mulut Ayu ternganga. Itu wanita cantik yang Ayu lihat di tapak Pasar Ramadhan tempohari. Lebih memeranjatkan Ayu, Eesa kelihatan sedang berdiri dan tersenyum di belakangnya. Dan seorang lagi lelaki yang agak sebaya, berdiri di sebelah Eesa. Dia tersenyum memandang Ayu.

Aduh! Kalaulah dia boleh beredar dari majlis itu, detik itu juga dia mahu angkat kaki berlari pulang. Dia cuba mencari riak di wajah Diana, namun wajah Diana terlindung ketika itu kerana dia sedang memeluk wanita cantik tadi yang dipanggilnya Nadia.

*****

SERBA TAK KENA. Itu yang Ayu rasa sejak tadi. Sewaktu berbuka tadi, dia hanya mendiamkan diri. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Anehnya, tiada sesiapapun mengambil inisiatif untuk memperkenalkan dia pada tiga orang tetamu yang baru tiba. Diana pula, macam tak rasa bersalah langsung. Lebih teruk lagi, dia baru tahu yang Mak Ngah itu sebenarnya… ibu kepada Bodeng dan Nadia. Rasa mahu mencekik leher Diana. Tak pasal-pasal dia perlu melalui ujian getir di dapur oleh bakal ibu mertua.

Dia sudah kenal Eesa. Juga wanita cantik bernama Nadia yang merupakan sepupu Diana. Yang seorang lagi tu, asyik tersenyum sejak tadi. Agaknya, itulah Bodeng yang Diana maksudkan. Rupanya, boleh tahanlah! Sedap mata memandang. Namun yang tak sedapnya, kalau Nadia berkahwin dengan Eesa dan dia dengan Bodeng, dia sudah otomatik menjadi biras kepada Eesa. Aduh! Tak sanggup rasanya!

“ Kau menung apa?” Bisik Diana sewaktu mereka mengemas meja selepas berbuka.

“ Aku tengah fikir, nak bagi kau makan selipar perisa apa… apa lagi kejutan yang kau nak beri pada aku ni? Kalau aku tahu aku kena mengadap muka dia, mati idup balik aku tak datang! Dan kau… boleh buat muka selambaaa… jer.” Ayu mencubit pinggang Diana sebaik hanya tinggal mereka berdua di dapur. Diana menjerit.

“ Eh! Eh! Eh! Sudah… tinggalkan pinggan tu. Jom kita solat Terawih!” Mak Long Zizah tiba-tiba mematikan gurauan mereka.

“ Ada kejutan yang lebih besar.” Bisik Diana ke telinga Ayu sebelum menarik tangannya ke ruangan depan.

Ruang tamu, sudah bertukar menjadi lapang dengan sejadah siap dibentang. Lima orang lelaki di barisan hadapan. Ruang hadapan untuk Imam, masih dikosongkan. Ayu mengambil tempat di sebelah Diana. Dia tersenyum kepada Nadia yang mengapitnya di sebelah kiri. Naim adik sulung Diana mula melaungkan iqamah. Suasana bertukar senyap, dan seorang demi seorang, mula bangun berdiri.

“ Bodeng, silalah ke depan… imamkan kami.” Ayah Diana bersuara memecah keheningan.

Tiada pergerakan buat beberapa saat. Ayu berdebar. Jika tidak megambil kira kedudukan perasaannya terhadap Eesa, hari ini… dia akan bersembahyang berimamkan bakal suami.

Apa yang berlaku selepas itu sememangnya merupakan kejutan besar buat Ayu. Dia seolah-olah tidak percaya bila melihat Eesa bergerak ke depan mengisi sejadah di hadapan sekali.

“ Luruskan saf!” Katanya sambil menoleh ke belakang meneliti saf dan akhirnya mata itu singgah di wajah Ayu. Dia tersenyum mengangguk sebelum berkalih semula ke depan untuk memulakan tugasnya.

Ayu rasa mahu menangis. Betulkah apa yang sedang terjadi pada dirinya hari ini. Dalam masih keliru itu, dia terasa bahunya dipaut Diana.

Itulah Bodeng! Burhanuddin Eesa. Bodeng dan Eesa itu, orang yang sama.” Sehabis berbisik, Diana mencium pipi Ayu. Detik itu juga, airmatanya tumpah tanpa dapat ditahan lalu mengalir menuruni pipi. Dia terharu.

Sukar mahu digambarkan perasaan Ayu saat melihat Eesa mengangkat takbir dan memulakan bacaannya. Ada rasa sebak, terharu dan lazat bercampur-campur di dalam dadanya. Malam itu, dia bersolat diiringi rasa bahagia dan lazat yang tak akan mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata.

TAMAT

Hmm... hidup tak semestinya manis, dan indah macam dalam novel!

2 comments:

kak cik said...

hmm...but then jika Allah menghendaki akan jadi jugak kan..

Anonymous said...

sy hrap sy pn dpt mcm ni juga:)

-nur79-

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU