Salam

Manuskrip KERANA NUR KARMILA (working title) sudah ditukar tajuknya kepada 'NOMBOR 23'. Manuskrip sudah diterima oleh penerbit Jemari Seni dan sedang menunggu giliran untuk diterbitkan...

Nombor 23 adalah manuskrip genre Misteri -Polis Prosedural, yang berkisar tentang sejarah lalu sebuah keluarga. Tentang kehilangan, pencarian dan bagaimana pencarian itu telah membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama...

Untuk yang berminat mahu terus membaca... saya akn mula upload bab2 awal selepas ini...

Segala bentuk penulisan saya di sini adalah hak milik saya dan tidak boleh disalin atau diterbitkan dalam apa-apa bentuk ( cewah! macam bagus sangat!), tapi ini idea saya dan hasil kerahan otak saya, (penat tau!). Jadi saya harap anda menghormati hak saya ( belum pernah terjadi pada saya tetapi terjadi kepada kawan penulis).

Thursday, July 12, 2012

CERPEN - MAEL BURUNG UNTA



Semua orang gelar dia Mael Burung Unta. Mael tahu! Tapi dia tak kisah. Dia suka! Sebab kata Mat Pon kawannya, burung unta tu kuat. Larinya pula laju. Apa saja yang ada di badan burung unta, boleh dibuat duit. Pendek kata, sebagaimana berharganya burung unta itu, begitulah berharganya Mael. Makanya, setiap kali mendengar nama burung unta di belakang namanya, Mael jadi kembang dada. Rasa seperti diberi penghormatan yang tidak terperi layaknya.

      Namun yang dia tak tahu, Mat Pon bukan gelar dia burung unta sebab dia tu bernilai sangat. Mat Pon dengan Lan Keron kawannya, ada agenda tersembunyi sebenarnya. Lagipun gelaran burung unta tu sesuai sangat dengan Mael kerana setiap kali dia berjalan, kepalanya akan bergerak ke kiri dan kanan. Berubah arah dalam gerakan lambat macam ‘slow motion’. Mata Mael besar dan bulu matanya melentik. Bibir mulutnya pula memuncung tinggi, sama mancung dengan hidungnya. Betullah macam burung unta, kan! Tapi takkanlah Mat Pon nak beritahu perkara sebenar. Rosaklah agendanya!

“ Hang nak pi mana pulak ni, Mael? Tiap-tiap hari kerja merambu. Cubalah cari kerja sikit. Ni tak, duit aku jugak yang hang pau selalunya!” Leter Mak Teh Biah, emak Mael di satu petang sewaktu Mael membetulkan ‘remosnya’. Mak Teh Biah pun dah pandai guna perkataan ‘pau’ akibat selalu bersembang dengan Mat Pon dan Lan Keron yang sejak kebelakangan ni, kerap benar melepak di rumah mereka.

Mak ni bisinglah! Mael ada projek dengan Mat Pon dan Lan Keron. Projek ribu-ribu sempena Ramadhan dan Syawal. Kalau projek ni jalan. Sapa senang? Maaakkkk juga, kan!” Mael tersengih ke arah emaknya. Mak Teh Biah mencebik bibir.

“ Ya lah tu!” Pendek aja ayat Mak Teh Biah.

      Malas mahu melayan angan-angan Mat Jenin anaknya tu, Mak Teh Biah bangun ke dapur. Namun di dalam hatinya, dia cukup risau. Naluri keibuannya mengatakan yang Mat Pon dan Lan Keron tu, bukan iklas mahu berkawan dengan anaknya. Dia bimbang jika mereka menggunakan sifat bodoh-bodoh alang anaknya tu untuk kepentingan sendiri. Si Mael pula, kalau dipuji sangat, dia mudah jadi lupa diri!

*****

      “ MAEL mai dah! Mael mai dah!” Bisik Lan Keron.

Segera Mat Pon bangun dari baringnya. Dia mengambil kepiah putih dari dalam beg plastik. Satu dia pakai, satu lagi dia beri pada Lan Keron. Cepat-cepat Lan Keron pakai atas kepala dan terus pejamkan mata. Lakonan mereka perlu mantap untuk mempengaruhi Mael kali ini.

Mat Pon capai gitar buruk yang sedia menemaninya. Dia mula memainkan lagu Maher Zain, Insyallah versi Melayu. Boleh tahan jugalah suaranya. Kalau uji bakat rancangan Mentor tu, untuk dipilih jadi mentee tu, mungkinlah tidak. Tapi ada harapan dipanggil menyanyi dalam acara mingguan.

Mael bergerak menghampir. Dia nampak tertarik dengan alunan suara Mat Pon. Terus saja dia melabuhkan punggongnya di atas pangkin yang terletak bawah pokok Ceri tu. Dia pejamkan mata untuk menghayati liriknya kerana sejak dulu, Mael memang suka dengan lagu-lagu berunsur ketuhanan. Mat Pon pandang Lan Keron lalu mengenyit mata. Cepat-cepat Lan Keron mengambil telefon bimbit dari koceknya. Menekan butang untuk menulis mesej lalu terus menghantarnya. Sebaik selesai, Lan Keron angkat ibujari pada Mat Pon.

Entah angin apa hari ini, Mael yang memang selama ni tak pandai menyanyi, tiba-tiba terus menyanyi bersama. Sumbangnya, susah nak terangkan macam mana. Sampai Lan Keron menutup telinga dengan tangan dan tangan Mat Pon yang sedang memetik gitar, berhenti tiba-tiba.

“ Hek eleh! Ente buat ana terperanjat la… jangan potong stim ana la… Ana tau ente memang handsome, memang gagah dan tampan bergaya. Tapi ana kena cakap ikhlas la… bab nyanyi, ente memang fail. Fail lah… fail lah!” Kata Mat Pon sambil mengajuk cara P. Ramlee bercakap dalam filem Ahmad Albab. Lan Keron ketawa ala-ala cerita ‘Betty La Soy’ yang akhir bunyinya, seperti lendir disedut masuk ke hidung.

Mael tersengih. Suka sangat kalau orang kata dia kacak. Dalam kampong ni, cuma Mat Pon dan Lan Keron saja yang sedar kelebihan dirinya. Sebab itu dia suka berkawan dengan mereka. Cuma dia hairan, selalunya… tak begini pula cara Mat Pon bercakap!

“ Aku heran la… pasai apa yang hangpa dua orang ni buang tebiat? Pakai kepiah, nyanyi lagu Maher Zain, lepas tu… cakap ana sama ente pulak? Cuba cerita mai!” Dia tersengih menampakkan giginya yang putih bersih.

Mat Pon pandang Lan Keron. Lan Keron angguk kepala.

Mat Pon berdehem dua tiga kali. Terbatuk-batuk kecil. Meniru gaya ustaz-ustaz mahu memulakan ceramah. “ Bismilah….” Dia membaca Bismillah. “ Begini, ente kan, dah beberapa hari tak ikut kami! Kebelakangan ni, ana dengan Lan pi belajaq agama kat kampong seberang. Ni pun baru balik dari sana. Ente nampak ana punya kepiah?” Tanya Mat Pon sambil mengangkat kepiah di kepala. Lan Keron pun buat aksi yang sama. Mael hanya angguk kepala. Masih menunggu cerita seterusnya.

“ Tadi, ada ustaz kata, kalau orang kedekut tak keluar zakat. Kita boleh tolong keluarkan kat dia. Kita buat kebajikan untuk dia. Lagi dia tak tau, laaaagi bagus. Kan, nak buat kebajikan tu kena senyap-senyap!” Mat Pon mulakan ceramah versi ‘ sesat lagi menyesatkan’.

Mael garu kepala. Seingat dia, tak pernah pula dia belajar perkara begitu. Waktu arwah ayahnya masih ada, selalu jugak dia mengikut arwah ayahnya berguru di serata masjid. Kata ayahnya, dia tahu Mael kurang menjadi dalam ilmu dunia. Jadi, dia mahu dada Mael penuh dengan ilmu akhirat. Namun sejak ayah meninggal 10 tahun lalu, dia turut berhenti berguru. Lagipun, sudah tak ada orang yang sudi memberi semangat padanya. Tiba-tiba saja, ada rasa syahdu menyusup ke hati Mael. Teringat pesan ayahnya supaya membuat kebaikan selagi hidup di dunia.

“ Ada ke macam tu? Nak buat macam mana?”

 “  Macam ni, hang ingat Pak Long Pi’ee?” Soal Mat Pon. Mael mengangguk. Siapa tak kenal Pak Long Pi’ee yang maha kedekut seantero kampong tu.

“ Apa kata, kita tolong keluarkan zakat untuk dia. Kita tangkap lembu dia dalam lima ekor. Kita serah kat ustaz tu.”

Ish! Tak ke mencuri namanya tu?” Soalan Mael tu, buat Mat Pon dan Lan Keron tersedak tiba-tiba. Mat Pon geleng kepala. Isy! Dalam bodoh-bodoh alang, boleh pakai juga otak Mael Burung Unta ni rupanya.

Belum sempat Mat Pon menjawab, tiba-tiba terdengar orang memberi salam. Sebaik berkalih, seorang lelaki gaya seperti ustaz… sedang menapak ke arah mereka.

Mat Pon dan Lan Keron segera bergerak turun dari pangkin. Tertunduk-tunduk sebelum bersalam dan mencium tangan ustaz tersebut. Mael pun turut bersalam juga.

“ Mael, aku kenalkan… ini Ustaz Hasyim Al- Jawari. Guru mengaji kami kat kampong seberang sana."

Mael mengangguk. Matanya merayap ke wajah ustaz tersebut. Mukanya putih bersih. Pakaiannya juga dari jubah putih seperti selalu dipakai orang Arab. Memang macam gaya orang beriman.

“ Panjang umur ustaz, kami baru terangkan pasal zakat tu pada kawan kami, Mael ni. Dah ustaz ada ni, ustaz sajalah terangkan,”  ucap Mat Pon.

Mael mengangguk lagi.

Ustaz Hasyim memandang Mael. Dia tersenyum pada Mat Pon dan Lan Keron. Mereka memberi laluan kepada Ustaz Hasyim untuk mengambil tempat duduk.

Sebaik duduk, Ustaz Hasyim memulakan ceramahnya. Tutur katanya lembut dan perlahan. Sepatah demi sepatah dia menuturkan ayat. Pembawaannya memang menarik hati Mael. Dia teringat ustaz-ustaz yang dia pernah berguru bersama dengan ayahnya dulu.

Yang Mael tak tahu, sebenarnya muka ustaz tu sudah di’make-up’ dengan beberapa lapis bedak sebentar tadi. Dan gaya percakapan serta aturan ayat tu sudah dibuat latihan berulang kali sejak semalam. Tambahan gelaran Al-Jawari itu pula, datang dari keturunan Jawa di sebelah bapanya. Sesungguhnya ‘ Ustaz Hasyim Al-Jawari’ itu sebenarnya adalah peraih lembu curi yang terkenal di kalangan rangkaian pencuri-pencuri lembu seantero kawasan Baling.

“ Mael faham dak? Dari apa yang ustaz tengok, Mael ni budak baik, lawa dan suka buat kebajikan. Sama macam ayah Mael dulu.” Kata ustaz tu sambil mengurut belakang Mael.

Faham ustaz! Ustaz kenal ayah saya?”

Kenal. Ayah hang mesti bangga ada anak yang sukakan kebajikan macam hang.” Dia berhenti sebentar tersenyum pada Mael sebelum berkalih dan mengenyit mata pada Mat Pon dan Lan Keron.

“ Kalau macam tu, bila kita boleh mula?” Lan Keron mencelah. Lebih lama mereka membiarkan Mael berfikir, lebih kemungkinan untuk Mael menolak idea mereka.

‘Ustaz Hasyim’ menggaru dagunya sebentar. Berkerut seperti sedang mengira tarikh yang sesuai. “ Hangpa buat minggu kedua puasa. Dah ada… panggil ustaz ambil lepas Terawih.”

Mael nampak kurang senang. “ Kita buat waktu malam, boleh ustaz?”

“ Pasai apa?”

“ Saya takut pahala puasa saya kurang. Arwah bapa saya kata… kalau kita ambil barang tanpa pengetahuan tuan dia, kira macam kita mencuri. Saya tak mau mencuri waktu puasa!”

Jawapan Mael buat ‘Ustaz Hasyim’ menggaru kepala.

*****

Hari ini, Kampung Titi Lebai Tahir gempar dengan kehilangan lembu Pak Long Pi’ee. Bukan seekor dua, tetapi enam ekor semuanya. Seperti biasa, Mat Pon dan Lan Keron memasang telinga ketika bermain dam di gerai makan Jon Superman. Sejak lepas waktu berbuka, dekat situlah mereka ‘berterawih’. Macam mana nak berterawih, kalau puasa pun tidak!

 “ Haa… satu… dua… tiga, habis aku baham hang punya.” Lan Keron menggerakkan buah dam haji dari tudung botol minuman lemonade. Gerakan yang terus naik ke kedudukan ‘haji’. Mat Pon tepuk kepala. Baru tersedar yang dia telah tersilap langkah.

Aduh! Macam mana aku tak nampak tadi?” Mat Pon garu kepala. “Bang Jon, tambah teh ais satu!” Mat Pon membuat isyarat jari tunjuk nombor satu.

“  Oder bertambah, hutang bertambah. Asyik masuk buku tiga lima saja. Bila nak bayar ni?” Jon Superman merungut. Gelaran Jon Superman itu dia dapat bukan kerana dia kuat. Tapi kerana sifat beraninya ketika remaja. Semuanya kerana peristiwa cuba menyelamatkan Mael yang terperangkap atas pokok sedangkan dia cuma berkain pelikat. Sudahnya, dia sendiri tersangkut di dahan pokok dalam keadaan tergantung seperti sedang terbang. Sebab itulah lekat gelaran ‘Superman’ di belakang namanya hingga hari ini.

“ Namanya pun penanam anggur!” Suara Haji Said tiba-tiba kedengaran menambah dari belakang. Mat Pon berkalih, kurang senang dengan kata-kata Haji Said yang sedang mengambil tempat duduk. Haji Said baru balik dari masjid agaknya.

“ Haji janganlah perli kami. Jangan pandang kami tak dak mata…” Mat Pon bersuara tanpa memandang Haji Said. Dia memang tak berapa suka dengan Haji Said yang suka menegur segala perbuatannya.

Haji said tersenyum. “ Aku bergurau saja. Pasai apa pulak hang nak marah. Hangpa dua orang ni, tak berterawih ke?” Haji Said yang juga Imam kampong itu tersenyum manis. Mat Pon berdengus. Wajah Haji Said masih kekal tersenyum walaupun mendengar dengusan dari Mat Pon. Sebagai orang tua kampong yang penuh ilmu, tahap kesabaran dalam dirinya juga… amat tinggi.

“ Bagi aku teh tarik kurang manis satu. Haa… Jon, hang tak dengar apa-apa ke pasai lembu Pak Long Pi’ee yang kena curi semalam? Tanya Haji Said tiba-tiba. Ekor matanya mengerling ke arah Mat Pon dan Lan Keron. Entah kenapa, nalurinya kuat mengatakan yang mereka memang terlibat.

“ Dengar juga Haji.” Jawab Jon Seperman, belum sempat membalas soalan Haji Said, kedengaran riuh suara beberapa pemuda baru pulang dari masjid. Haji Said turut berkalih. Dia tersenyum bila melihat Mael burung Unta pun turut ada bersama.

Belum sempat Mael menapak ke arah Mat Pon dan Lan Keron, Haji Said sudah memanggil namanya.

“ Mael! Ke sini sekejap. Aku ada perkara nak bincang.” Mael berhenti terkebil-kebil sambil tangannya menggaru kepala. Mael cukup segan dengan Haji Said kerana dia pangkat datuk saudara di sebelah emaknya. Dengan rasa terpaksa, dia menapak ke meja Haji Said.

“ Jon, hari ni tak ada moreh, jadi kira aku belanjalah semua yang ada di sini. Mael, hang nak makan apa?”

“ Nescafe panas ajalah, Tok Cik. Mee goreng sepinggan pun bolehlah juga.” Mael sengih lagi. Kata orang, rezeki jangan ditolak, bala jangan di cari. Tapi entah kenapa, Mael terasa seperti dia sudah mengundang bala dalam hidupnya baru-baru ini.

“ Hmm… yang lain-lain nak makan apa, bolehlah oder.”  Mendengar pelawaan Haji Said, riuh-rendahlah bunyi mereka memesan makanan.

Yang tidak senang hanya Mat Pon dan Lan Keron. Mat Pon menumbuk meja tiba-tiba. Habis buah dam bertaburan di atas tanah. Segera dia menarik tangan Lan Keron beredar dari situ. Sebelum beredar, dia sempat memandang ke arah Mael dengan pandangan yang tajam.

Haji Said menggeleng kepala. Mael pula terkulat-kulat memandang. Hairan benar dia, Mat Pon lain benar anginnya kalau dibandingkan dengan beberapa hari lepas. Aura  pemuda alim yang sudah bertaubat, hilang tiba-tiba. Mael garu kepala.

“ Biarkan saja mereka tu.” Kata Tok Cik sambil menolak gelas Nescafe supaya lebih dekat dengan Mael. Mael menyambut lalu terus membawa gelas ke mulut. Dia mula menghirup.

“ Haa… ni, Tok Cik nak tanya, hang ada dengar apa-apa ke pasal Lembu Pak Long Pi’ee tu? Tok Cik tengok, kebelakangan ni, hang rapat benar dengan budak berdua tu…” soal Tok Cik bersahaja. Dia memandang tepat ke muka Mael.

Mael yang sedang menghirup air, tersedak tiba-tiba. Menyebabkan air tersembur. Percikan Nescafe panas yang mengenai tangannya,  membuatkan dia terlepas gelas secara tidak sengaja. Gelas itu pecah sebaik mencecah tanah.

Mael pucat memandang Haji Said. Namun Haji Said hanya tersenyum tanpa berkata apa. Haji Said tidak bertanya lanjut kerana dia yakin, dia sudah mendapat jawapan yang dicari-carinya.

*****

Sumpah! Aku tak cerita apa-apa!” Mael angkat tangan kanan gaya orang bersumpah. Tangan kirinya pula mengelap mulutnya yang sudah berdarah ditumbuk Mat Pon sebentar tadi.

“ Aku tak percaya!” Bentak Mat Pon. Dua malam lepas, dia dan Lan Keron mengintai Mael lepas balik dari gerai Jon Superman. Mael dengan Haji Said berbual lama. Lepas tu, berjalan balik beriringan dan masuk ke rumah Haji Said. Mat Pon tak tahu apa yang Mael ceritakan pada Haji Said. Namun apa yang dia nampak sewaktu mengintip melalui tingkap rumah Haji Said itulah yang lebih penting.

Lan Keron mengangguk. “ Betul tu. Kalau kau tak cerita apa-apa, apasal lama sangat kau berbual?” Badan Mael ditolak ke depan, memasuki kawasan rumah Haji Said.

“ Hangpa nak buat apa kat rumah Tok Cik ni, dia kan, tak ada! Dia ke Kuala Lumpur.”

“ Aku tau dia ke KL. Dia upah hang suruh jaga kebun dia, kan! Yang bagusnya, kami nampak kat mana dia simpan duit dia, masa dia nak ambik duit tu...” Mat Pon ketawa kuat. Bunyi ketawa itu kedengaran jahat seperti gaya Salleh Dol, samseng Kampung Dusun dalam cerita P. Ramlee.

Mael pucat. Dia sudah tertipu sekali. Dan kerana itu, dia sudah bersetongkol mencuri lembu Pak Long Pi’ee. Dua malam lepas, sengaja dia bertanya pada Tok Cik tentang zakat. Penerangan Tok Cik tentang zakat membuat Mael sedar yang dia sudah ditipu oleh Mat Pon dan kawan-kawannya. Dia tak mahu terlibat lagi.

Tolong! Aku tak mau dah ikut hangpa. Aku nak balik!”

“ Kalau hang nak hidup, hang baliklah!” Ugut Mat Pon sambil mengeluarkan pisau Rambo dari sarung yang terselit di pinggangnya. Dia tahu Mael akan mengikut saja jika melihat pisau itu. Mael perlu ada untuk melaksanakan misi mereka malam ini. Dia dan Lan Keron sudah merangka pelan itu sejak dua malam lepas.

Mael telan air liur. Seriau melihat ketajaman pisau yang berkilat membias cahaya bulan. Mahu tak mahu, kakinya dipaksa melangkah memasuki rumah Haji Said melalui tingkap yang sudah siap diumpil oleh Mat Pon.

Sebaik semua berada di dalam, cahaya lampu suluh mereka mula menerangi ruang. Rasanya, kalau tidak silap Mael, itu bilik sembahyang atau surau kecil dalam rumah Tok Cik. Jantung Mael berdetak kencang. Dia tidak suka dengan apa yang sedang terjadi.

“ Kat mana kita nampak malam tu?” Bisik Lan Keron ke telinga Mat Pon.

Atas almari kitab. Kalau tak silap aku… bawah Al-Quran yang bersusun tu. Hang panjat!”

Apasal aku pulak! Suruh Mael ajalah!” Lan Keron membantah. Kalau ikut pemerhatian mata kasarnya, tinggi juga almari kitab tu. Kena panjat meja tulis dulu, lepas tu panjat almari kain kat sebelah dan berdiri di situ. Dari situ, barulah tangannya boleh mencapai rak yang diisi kitab-kitab dan Al-Quran. Mahu ketar juga lutunya nanti. Hairan sungguh! Macam manalah Haji Said mampu memanjat dengan mudah malam sebelumnya.

Mendengar namanya disebut, Mael mula menggelisah. Dia sudah bertekat, dia tak akan benarkan anggota badannya bersetongkol membuat kejahatan kali ini. Kalau nak mati pun, biarlah. Dia mahu mati dalam iman.

“ Hang lupa ka? Mael kan, takut tinggi! Pasai tu Jon dapat nama Jon Superman!” Bisik Mat Pon lagi.

Lan Keron akhirnya mengangguk. Menghulurkan lampu picit pada Mat Pon. Mat Pon hulur lampu tu pada Mael. Mael menyambut macam orang bodoh. Terketar-ketar lutut Lan Keron memanjat dengan berpandukan cahaya lampu picit Mat Pon. Lan Keron akhirnya berjaya menjejakkan kaki di atas almari kain. Dia menghela nafas lega.

“ Cepat ambil duit bawah kitab tu!” Arah Mat Pon. Namun Lan Keron masih berdiri sambil menggaru kepalanya.

“ Pasai apa? Cepatlah sikit!” Mat Pon mula hilang sabar.

“ Ada masalah sikit! Aku tak ada air sembahyang. Macam mana nak pegang Al-Quran!”

Jawapan Lan Keron tu buat Mat Pon terduduk sambil bertinggung. Dia turut garu kepala. Sebal betul dia dengan perangai Lan Keron malam ini.

Ambil ajalah! Mengada-ngada betullah hang ni!” Sergah Mat Pon.

Namun Lan Keron masih tegak berdiri di situ. “Tak boleh! Tok guru mengaji pesan, haram pegang Al-Quran tanpa air sembahyang. Ambil sejadah kat aku!”

Malas bergaduh dengan Lan Keron, Mat Pon mengikut saja. Dia mengambil sejadah yang kebetulan terhampar di hujung kaki lalu menghulurkan pada Lan Keron. 

Lan Keron membalut Al-Quran yang letaknya di atas kitab-kitab yang lain lalu menghulur pada Mat Pon. Mat Pon menyambut dan terus menghulur pada Mael. Namun sambutan Mael kurang kuat menyebabkan Al-Quran terus jatuh dalam keadaaan terbuka.

Mael rasa bersalah dan berdosa. Kitab Allah itu patut dihormati dan dijaga kesuciannya. Mana boleh campak-campak ikut suka… walaupun tanpa niat. Sewaktu mahu mengambil semula Al-Quran itu, lampu suluhnya menyuluh mukasurat yang terbuka. Ayat terjermahan yang terletak di bahagian atas sebelah kiri, bagai besi berani menarik pandangan matanya. Dia membaca… itu surah Al-Maidah. Ayat 38;

‘Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.’

Entah kenapa, membaca ayat itu membuatkan badan Mael berpeluh tiba-tiba. Lututnya jadi lemah. Namun dia gagahkan juga menutup A-Quran terjermahan yang masih dilapik sejadah itu lalu mendakapnya ke dada. Rasa seram sejuk dan berpeluh itu makin kuat terasa. Dia sudah tidak kisah apa yang Mat Pon dan Lan Keron buat. Perlahan-lahan dia mengesot lalu bersandar di sudut bilik. Dalam keadaan terketar-ketar dia terus memeluk kitab Al-Quran itu lalu terus menangis dan menangis.

Mat Pon  dan Lan Keron pula, sudah tidak nampak apa yang terjadi di belakang mereka. Mereka sedang teruja melihat berhelai-helai not lima puluh ringgit yang tersimpan dalam sampul surat. Sampul surat yang telah berjaya diambil dari bahagian bawah kitab-kitab tadi. Namun kegembiraan itu tidak lama kerana tiba-tiba, telinga mereka telah menangkap bunyi siren kereta polis  berhenti di luar rumah.

Kelam-kabut Mat Pon dan Lan Keron berlari menyelamatkan diri dengan meninggalkan Mael. Niat awal mereka sememangnya mahu memukul Mael hingga tidak sedarkan diri selepas mendapat apa yang mereka hajatkan. Mereka mahu Mael dipersalahkan atas kejahatan yang mereka lakukan. Namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana ditangkap polis sebaik sahaja keluar dari rumah Haji Said.

“ Berapa orang semuanya?” Tanya anggota polis kepada Haji Said.

Haji Said terdiam lama. Dia memerhatikan Mat Pon dan Lan Keron di depannya. Dari perancangan dan intipan yang dia buat, dia tahu mereka bertiga semuanya. Dan dia juga tahu, Mael kelihatannya seperti dipaksa. Mulut Haji Said menjadi berat mahu mengatakan bilangan sebenarnya. Namun dia juga tahu, mereka sudah memeriksa seluruh rumah. Memang tiada langsung kelibat Mael di mana-mana.

“ Tiga orang!” Perkataan itu terbit dari mulut Lan Keron tiba-tiba. Mat Pon tersenyum sumbing pada Haji Said. Haji Said melepaskan nafas berat.

“ Tak ada siapa-siapa lagi. Kami dah cek semuanya. Confirm, memang hanya 2 orang!” Kata anggota polis yang memeriksa kawasan.

“ Kalau bertiga, mustahil terlepas, Tuan! Saya sudah kunci pintu bilik tu dari dalam. Tak mungkin ada yang boleh lepas!” Jelas Haji Said. Dia kehairanan. Kesemua anggota polis hanya menggeleng kepala. Pemeriksaan telah dibuat dan sememangnya tiada tanda-tanda kehadiran orang ketiga.

Sebaik pihak polis meninggalkan perkarangan rumahnya, Haji Said  memasuki surau rumahnya. Dia hairan bagaimana Mael mampu melepaskan diri. Namun apa yang dia lihat di dalam surau, memang mengejutkannya…

Mael sedang terduduk sambil menangis di sudut bilik dengan memeluk Al-Quran yang dibaluti sejadah.

*****

Topik dan isu utama yang menjadi perbincangan warga kampong Titi Lebai Tahir kebelakangan ini adalah isu penangkapan Mat Pon dan ‘partner in crimenya’ Lan Keron. Di masjid, di simpang jalan, di padang permainan dan yang paling meriah sekali adalah di gerai makan Jon Superman. Maka terbitlah bermacam-macam versi penceritaan dan teorinya. Setiap kali mendengar mereka berhujah, Mael sering diburu rasa bersalah. Dia ada menyuarakan hasrat mahu menyerah diri. Namun dihalang oleh Tok Ciknya, Haji Said. Kata Haji Said, dia yakin… Allah mahu memberi peluang untuk Mael bertaubat. Sebab itulah kewujudan Mael malam itu, dihijabkan dari pandangan manusia.

Apabila penduduk kampong bertanya tentang desas-desus pengelibatan Mael, Haji Said  hanya tersenyum. Lebih menghairankan mereka, kebelakangan ini… Haji Said kelihatan akrab dengan Mael Burung Unta yang sering menemaninya walau ke mana sahaja.

“ Haji! Mael! Mai singgah minum dulu!” Laung Jon Superman sebaik nampak kelibat Haji Said dan Mael yang sedang berjalan pulang dari masjid.

Assalamu’alaikum, Jon! Apa cerita?” Soal Haji Said.

“ “Alaikum Salam Haji! Ini, hari ni pendakwaan. Ni, jadi tajuk muka depan. ‘ Dua pemuda, Muhammad Saiful Hamdi dan Azlan Khairun Abdullah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencuri.” Jon Superman membaca tajuk akhbar.

“ Tak apalah! Biar jadi pengajaran untuk depa. Tak semua orang yang masuk penjara itu jahat. Dan tak semua orang yang bebas di luar tu, baik. Allah bagi hidayah dengan bermacam-macam cara. Ada orang, Allah bagi hukuman dunia… baru dia sedar. Ada orang, Allah tunjukkan kekuasaannya… baru dia berakal. Itu semua cara Allah merahmati hamba-Nya. Dia tak mau kita terus sesat. Tapi, yang paling menyedihkan ada dua golongan. Golongan pertama adalah orang yang Allah tak bagi peringatan langsung. Dia leka dengan dosa dia sampai mati. Dan golongan kedua, iaitu orang yang Allah dah bagi peringatan, masih tak mau sedar-sedar. Itu yang menyedihkan!” Panjang lebar Haji Said beri ‘tazkirah’ lepas Isyak di dalam gerai Jon Superman. Beberapa orang yang ada di situ mengangguk kepala mereka.

Mael turut terkesan dengan kata-kata Haji Said tu. Dia bertekad untuk menyambung keinginan arwah ayahnya dengan memenuhi dadanya dengan ilmu akhirat. Lagipun, dia kini ada Haji Said yang sedia memberi semangat dan tunjuk ajar ke arah menjadi Muslim dalam ertikata sebenar-benarnya.

2 comments:

Anonymous said...

Sangat sangat menarik....

Packy Sidique said...

Hai Anonymous, terima kasih! :)

Like Button, Kalau sudi klik like...

My Great Web page

SODUKU