SAAT MATA TERPANDANG DIA, jantung menjadi laju berdetak
tiba-tiba. Aku segera bergerak meminggir. Bersembunyi di sebalik tiang roman
yang di bina untuk mencantikkan ruang. Berdiri memerhatikan dia dari sudut itu
sambil tangan ku bawa ke dada. Detak dan rentak itu masih sama seperti sepuluh
tahun lalu. Tari degupnya masih serupa.
Tajul Arifin kah itu? Mataku
terus memerhatikan dia. Fizikalnya tiada yang berubah. Tiada tambahan lemak di
mana-mana. Senyuman yang meruntun jiwa itu masih dihiasi lesung pipit yang terbenam.
Melihat dia bercakap dan tersenyum sekali gus melalui telefon di tangannya,
membuat aku kembali merindukan saat saat bersamanya dahulu. Aku segera
menggelengkan kepala. Tunduk merenung lantai. Menghalau rasa itu jauh-jauh.
Yakin dengan kekuatan hati, aku kembali
mencari wajahnya. Detik itu, aku dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita
cantik, bertudung dengan gaya moden di sebelahnya. Aku terkesima. Ada rasa
sengal yang hadir seperti menusuk-nusuk ke jantung hatiku. Apalagi ketika
melihat pautan tangan di pinggang yang kelihatannya seperti tidak mahu
dilepaskan. Aku menelan air liur. Terasa kesat dengan nafasku bagai tersekat
di kerongkongan. Masih ujudkah rasa itu di sudut hatiku yang paling dalam? Masih
adakah cinta yang cuba aku lontarkan jauh-jauh suatu ketika dulu? Wajarkah aku
untuk merasai apa yang aku rasakan sekarang? Pertanyaan demi pertanyaan di dalam
hati itu hanya menghadirkan titisan air mata yang kemudiannya berubah laju
menuruni pipiku.
Tiang roman tempat aku
bersembunyi, kini menjadi tempat sandarku mencari kekuatan. Teruji dengan
goyahnya hatiku sendiri. Hati yang aku rasakan telah kuat setelah aku bawa
pergi menjauhi dia, nyata ia sebenarnya tidaklah sekuat mana. Segera aku
mencari kertas tisu di dalam beg sandang. Mengelap lelehan yang pastinya telah
mencomotkan wajahku ketika itu. Mata kembali ku bawa merayap sekitar ruang,
mencari kelibat dia. Kelibat yang seakan tak mahu aku lepaskan dari pandangan.
Saat mataku bertemu susuk
tubuhnya, aku menjadi kaget. Ruang di antara kami seperti terhenti dan sunyi. Dia
kini sedang berdiri memandang ke arahku. Seperti dia sendiri menerima kejutan
yang tidak pernah dia sendiri sangka dan duga.
Aku segera berundur perlahan.
Saat dia mula mengatur langkah ke arahku, aku terus berkalih lalu susup sasap
membelah kumpulan manusia yang memenuhi pasaraya besar itu. Detik itu juga, aku
nampak kelibat Mimi yang sedang bergerak menghampiriku. Pantas aku raih tangannya
memaksa dia turut berlari bersamaku. Kecoh mulut Mimi bertanya kenapa, namun
aku diamkan saja. Yang penting, aku harus segera menjauh dari bertemu Si Dia. Barisan
kedai yang berderet di situ seakan penyelamat padaku. Pantas aku heret tangan
Mimi lagi, masuk ke dalam lalu bersembunyi di sebalik deretan baju kurung dan
jubah yang bergantungan.
Dia mencari aku. Berpusing-pusing
dan berlegar-legar di situ. Ketika merenung aksinya dari sebalik cermin kedai, debar
di dada semakin kencang rentaknya. Aku lihat ada rona kerisauan di wajahnya.
Mimi yang sedang berdiri di sebelah, turut memerhati. Mulutnya ternganga.
“ Siapa?” Bisiknya.
“ Buah hati lama…” balasku. Dia
mengangguk tanda faham.
Tajul Arifin berlalu setelah
wanita cantik tadi menghampirinya. Ada riak tidak puas di wajahnya. Saat tangan
ditarik menjauhi, kepalanya masih tercangak-cangak mencari. Aksinya
menghadirkan sebak di hatiku, membuatkan mataku kembali berkaca.
*****
“ BUAH HATI LAMA KAU? Kenapa aku
tak tahu pun!” Mimi membeliakkan biji matanya.
Soalan itu terbit setelah Mimi
memberhentikan keretanya di kawasan parkir Taman Tasik Tengku Anis. Dia mungkin
bungkam dengan tangisku yang tidak mahu berhenti sejak tadi. Diajak makan, aku
menolak. Di beri soalan, aku menggeleng. Agenda membeli-belah yang dia
rencanakan sejak beberapa minggu sebelum kedatangan aku ke sini turut habis
berantakan.
“ Cerita lama, sebelum aku kenal
kau lagi…” balas aku lemah. Pintu kereta aku buka lalu menapak ke arah gazebo
yang dibina berhampiran tasik. Mimi mengikut dari belakang. “ Cerita sewaktu
umur aku 20 tahun. Hubungan itu pula berlangsung 2 tahun.” Sambung aku sebaik
melabuhkan punggong.
“ Sejak kenal engkau 8 tahun
lalu, aku tak pernah tengok kau macam ni. Kau pun tak pernah bercerita tentang
lelaki. Dasyat betul penangan dia pada kau!”
Aku mengangguk. Ya! Memang dasyat!
Kerana hingga kini, belum ada yang mampu mencuri hatiku seperti yang
dilakukannya. Semuanya bermula dengan agenda biasa dan membawa kepada
permasalahan yang tak terduga dalam hidupku.
Dia gemar mengusik. Dan, aku pula
tidak pernah kisah diusik. Tiada apa yang hadir di hatiku ketika itu kerana aku
maklum dengan statusnya.
“ Saya suka datang membeli di
sini.” Guraunya suatu hari. Aku tersenyum. Cakapnya cukup lembut seperti
berbisik. Kata Maza rakan sekerja aku, bunyinya seperti ‘ cakap orang dalam kelambu’.
Komennya membuat aku ketawa. Benar, suara serak-serak basah dan romantik
itu semakin lama semakin menggetarkan
hatiku.
“ Datanglah! Tak ada siapa yang larang.
Lagipun barang-barang kat sini, memang lengkap. Nak apa, semua dapat.” Balasku.
Dia tersenyum. Lesung pipit terbenam itu dapat ku lihat dengan jelas.
“ Saya suka datang, buka sebab
barang. Sebab saya suka tengok muka awak yang cantik dan menawan.” Setiap kali
berbual, dia memandang tepat ke dalam mataku.
Kekerapan dia mengunjungi tempat
kerjaku selalunya bukan kerana mahu membeli barangan. Sekadar berlegar-legar di situ sambil
mengusikku. Kadang-kadang dia hanya berdiri memandang. Membuatkan berdiri aku
seperti mahu tumbang dan duduk aku keluh kesah tak keruan. Kata Maza, lelaki
itu memang pakar mengayat perempuan. Gayanya sahaja sudah membuktikan. Aku
sedar semua itu. Namun tiada apa yang mampu aku lakukan.
Pandangan dan usikan yang dari
sehari ke sehari itu, akhirnya telah meghadirkan rindu di dalam diri. Jika dia
tidak datang, aku diam-diam menanti. Ya! Gadis muda seperti aku di ketika itu,
mana mungkin mampu melawan usikan dan godaan yang berterusan.
Aku tewas. Tewas menghalang hati
aku dari mengasihinya walaupun aku tahu status diri yang tak pernah
disembunyikannya. Kami mula berhubungan melalui telefon. Kadang-kadang, aku
keluar makan dengannya, Pandanganku tentang berkongsi kasih telah berubah
selepas itu. Kalau sebelum itu, aku membantah poligami, kini… aku adalah
penyokong kuat. Aku sudah rela berkorban apa sahaja. Hanya satu masalahnya…
selama 2 tahun mengenalinya, aku tidak pernah tahu siapa isterinya. Mereka
tidak pernah datang bersama hinggalah suatu hari, aku terserempak mereka
membeli-belah di pasaraya besar yang tidak jauh dari tempat aku bekerja. Sungguh!
Aku amat terkejut.
“ Kau kenal isteri dia?” Soal
Mimi. Kakinya sudah di angkat dalam kedudukan sila.
Aku mengangguk. “ Kenal. Selalu
jugak dia datang ke tempat kerja aku membeli barangan dapur. Dia selalunya
datang waktu kerja. Suami dia pula, selepas waktu kerja.”
“ Apa reaksi dia sewaktu
terserempak dengan kau?”
“ Dia buat biasa. Siap kenalkan
aku pada isteri dia, beritahu yang aku bekerja di sekian-sekian tempat. Isteri
dia tentunya cakap yang dia sudah kenal aku. Ya lah, aku hanya pekerja mini market di taman perumahan mereka.”
“ Kau cemburu?”
“ Aku terkilan. Cemburu
bukan masalahnya. Aku kan sudah bersedia berkongsi kasih!” Balasku sambil
merenung jauh ke tengah tasik. Mimi terdiam. Setia menunggu kisah aku
seterusnya.
“ Aku kenal Kak Mazni, isteri
dia. Sama lama macam aku kenal dia. Kak Mazni tu sebaik-baik perempuan yang
pernah aku jumpa. Cantik, peramah, mudah tersenyum dan sentiasa menasihati aku
tentang hidup setiap kali kami berjumpa. Anak-anak mereka yang 4 orang tu pun
comel-comel. Kau fikir, aku sanggup lukakan hati dia?” Soalku pada Mimi. Mimi
mengangkat bahu.
“ Kau rasa, dia tahu tak…. Kau
dengan suami dia?”
Aku senyum lalu menggeleng kepala. Entah
kenapa, aku tiba-tiba berasa malas mahu menyambung cerita. Terasa penat sungguh
mengenang kisah yang satu ini. Mungkin sebab itu aku tidak pernah bercerita
tentangnya pada Mimi. Buat masa ini, aku cuma rasa mahu balik dan berbaring
sahaja di rumah Mimi. Ketenangan yang aku idamkan dari percutian ini telah
membuat hati aku berubah gundah gulana.
“ Jomlah balik!” Aku bingkas
bangun.
“ Tak nak! Cerita kau belum
habis!” Bantah Mimi.
“ Kalau kau nak tunggu di sini
sampai petang pun, belum tentu aku ada mood mahu menyambung cerita…” balasku.
Ayat itu membuat Mimi bangun lalu mencekik leherku. Bergurau seperti yang selalu
dibuatnya. Aku hanya ketawa hambar.
*****
HARI KETIGA DI RUMAH MIMI, aku
telah bertembung dengan Tajul Ariffin. Peristiwa itu membuatkan aku takut untuk
keluar. Maka petang ini, setelah lima hari di sini, aku mohon Mimi tinggalkan
aku sendirian tatkala dia mengajakku keluar makan bersama tunangannya, Imran.
Aku cuma berpesan supaya dia belikan aku Nasi Ayam. Ketiadaannya membuatkan aku
terbaring merenung siling, kembali mengenang kisah lama.
Sungguh! Aku hairan. Perempuan
secantik dan sebaik Kak Mazni masih belum mampu membuat Tajul Ariffin setia.
Anak-anak yang keletah dan comel itu juga tidak mampu mengikat dia kepada
keluarga. Apa yang dia cari di luar sebenarnya? Aku cuma gadis biasa yang naïf
kalau mahu dibandingkan dengan Kak Mazni waktu itu. Dan kini, selepas 10 tahun,
aku temui dia bersama perempuan lain. Mungkinkah perempuan itu juga
terperangkap dan asyik dengan usikan dan godaannya? Di manakah kedudukan Kak
Mazni sekarang? Masihkah dia menjadi isteri Tajul Arifin yang sah? Kalau boleh,
aku amat ingin mengetahui semuanya.
Bunyi kunci bergerak tanda pintu
dibuka mengejutkan aku. Mimi sudah balik agaknya. Leka termenung, ditambah pula
dengan bunyi TV membuatkan aku tidak sedar akan kepulangannya. Aku bangun dari
pembaringan. Serentak dengan itu, Mimi masuk dengan muka teruja. Matanya bulat
bersinar memandangku. Melihatnya begitu dan mengenalinya sekian lama,
membuatkan aku dapat meneka… ada berita yang ingin disampaikannya padaku.
“ Kau mesti tak percaya siapa
yang aku jumpa,” ucapnya tanpa sabar. Bungkus nasi ayam dihulurkan kepadaku.
“ Siapa?” Soal aku bersahaja.
Entah artis mana pula yang dia jumpa. Selalunya kalau terjumpa artis, begitulah
jadinya.
“ Aku jumpa Tajul engkau. Aku
masih ingat rupa dia. Dia makan kat situ dengan anak dia. Tapi, aku tak nampak
perempuan yang boleh dipanggil isteri,” beritahu Mimi.
“ Anak? Berapa orang?” Soalku
kembali. Dadaku berdebar kembali. Turut teruja mendengar berita yang
disampaikan.
“ Empat. Tiga lelaki, seorang
perempuan.” Balas Mimi. Aku mengangguk. Betullah itu anaknya. Anak-anak yang
comel dan riang itu, pastinya sudah besar panjang. Namun, di mana Kak Mazni
agaknya?
“ Aku ada lagi satu berita… tak
tahu berguna ke tidak untuk engkau,” ucap Mimi lagi. Dia memandang tepat ke
wajahku. Mencari riak di wajahku. Aku angkat kening bertanya tanpa suara.
“ Kebetulan, masa aku dalam
kereta nak balik. Dia orang pun keluar. Aku minta Imran ikut kereta Tajul. Ikut
sampai ke rumah dia. Tak jauh pun! Cuma selang satu taman perumahan dari sini.”
Terang Mimi perlahan. Dia berhenti memandangku.
“ Tak jauh?” Tanyaku. Entah
kenapa ada debar dalam hatiku.
Mimi mengangguk. Dia sedang menanti
apa yang bakal terlontar dari mulutku.
Aku melepaskan nafas berat. Aku
perlu tahu, dan untuk mengetahui, aku perlu pergi ke sana mencari jawapannya.
“ Kau bawa aku ke sana lepas Asar,
boleh?” Soalku sambil memandangnya mohon pengertian. Dia tersenyum mengangguk.
*****
TIDAK SAMPAI 15 MINIT, Mimi sudah
memberhentikan keretanya di bawah sepohon pokok yang rendang daunnya. Dari situ,
dia menunding jari ke arah rumah teres berkembar dua tingkat yang saiznya
sederhana besar dan dipisahkan oleh padang permainan dengan tempat kami
memberhentikan kereta. Petang-petang begini, padang permainan itu dipenuhi
dengan kumpulan kanak-kanak bermain. Selalunya begitulah aktivitinya, walau di
manapun jua.
“Itulah rumahnya,” kata Mimi
memandang ke arahku. “ Kau nak pergi terjah ke?” Soalnya lagi.
“ Kau gila! Penat-penat aku
hilangkan diri, tak kanlah aku nak muncul macam tu aja.” Aku jeling dia di
sebelahku.
“ Tu yang aku tak faham! Kau sayang
Tajul. Kau larikan diri. Then, kau nampak ambil berat tentang isteri dia. Suruh
aku bawa kau datang sini. Tak kanlah sebab nak tengok rumah ni saja!" Dia berhenti memandang aku sebentar. " Kau ni
masih waras ke tidak?”
Aku tersengih. Sejak terserempak
dengan Tajul, baru hari ini aku terasa ingin tersenyum.
“ Tolong aku boleh?”
Mimi buat muka hairan. Namun mengangguk
perlahan.
Aku ambil telefon bimbit dari
dalam beg sandang. Mencari nombor Tajul yang sudah lama tersimpan di situ. “
Kau tolong dail nombor ni. Tak tahulah sama ada dia dah tukar nombor atau
belum. Masa aku larikan diri dulu, aku yang tukar nombor…”
“ Kau gila! Kalau dia tanya, apa
aku nak cakap?”
“ Kau cakap, konon-konon nak cari
Puan Mazni. Kalau nasib baik, dia terus bagi dekat isteri dia. Tapi kalau dia
tanya lagi, kau temberang ajalah. Pura-pura macam kau silap nombor.”
Mimi menelan air liur. “ Gila ke
apa? Aku mana pandai berlakon!” Dia membeliakkan matanya.
“ Please!” Aku temukan kedua-dua
tangan di depan dada. Pamerkan muka sedih. “ Buat untuk aku! Kau pasang speaker.
Aku tolong kau berlakon.”
Mimi akhirnya setuju. Menarik
nafas dalam-dalam sebelum menghidupkan speaker telefon bimbitnya. Dia memandang
tajam ke arahku sambil mengangkat dagu, isyarat bertanya nombor telefon tadi.
Dengan rasa berdebar aku bacakan nombor dan dia terus mendail. Sambil menunggu,
mata kami berlaga.
“ Hello!” Itu suara Tajul. Dia
masih menggunakan nombor yang sama rupanya.
“ Hello! Boleh cakap dengan Kak
Mazni?” Tanpa perlu diajar, itu yang terbit dari mulut Mimi.
“ Kak Mazni? Sekejap!” Dia
berhenti sebentar seperti sedang bercakap sesuatu dengan seseorang. “ Awak ni
siapa sebenarnya? Macam mana boleh ada nombor saya?” Tanya dia kemudiannya.
Mimi angkat kening. Aku terlopong.
Mendengar suara Tajul membuatkan aku tak mampu berfikir dan hanya terlopong
memandang Mimi.
“ Ermm… Saya Piah! Safiah. Dari… emm
dari syarikat… syarikat tapis air. Nak tanya… haa…. Nak tanya tentang oder yang
dia buat.” Tersekat-sekat Mimi menjawab. Dia garu kepala sebelum mengepal
penumbuk ke arah aku.
“ Kamu ni nak berlakon apa?
Tersekat-sekat…” belum sempat Tajul habiskan ayat, Mimi mencelah…
“ Maaflah encik! Agaknya saya
silap nombor agaknya! Saya minta maaf jer lah,” balas Mimi lalu mematikan
telefon. Dia segera menampar bahu aku. Mencorong matanya memandang aku
kemudiannya. Namun dia tiba-tiba ketawa. Ketawa yang amat kuat sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya. Dan, aku akhirnya turut ketawa sebelum aku berhenti tiba-tiba
apabila terpandang sesuatu di seberang sana.
“ Kenapa?” Soal Mimi yang
kehairanan melihat aku begitu.
Aku menunding ke seberang padang.
Ke arah seorang perempuan yang sedang bangun dari bangku di pinggir taman.
Seorang budak lelaki belasan tahun yang sedang berdiri berhampiran pagar, segera
bergerak mendapatkannya. Perempuan itu berjalan perlahan dengan dibantu
sebatang tongkat.
“ Itu Kak Mazni. Alhamdulillah! Mereka
masih bersama. Hmm… nampaknya, dia masih tak dapat berjalan seperti biasa…”
ayat yang akhir itu membuat dada aku menjadi sebak.
“ Aku semakin tak faham.” Komen
Mimi. Menggeleng kepala.
“ Jomlah, balik. Nanti aku
ceritakan.”
Mimi mengangguk. Memasukkan gear lalu
segera memandu pulang.
*****
TAJUL ARIFIN TIDAK PERNAH memburukkan isterinya sejak dia tahu aku mengenali isterinya.
Malah, dia selalu memuji Kak Mazni. Itu memang menghairankan aku, terfikir
juga, habis aku ini untuk apa? Pernah juga aku bertanya kenapa, namun
jawapannya cukup ringkas dan ikhlas. Katanya, setiap wanita diberi Allah
keistimewaan tersendiri. Dalam sepuluh kriteria wanita yang menarik hatinya,
Kak Mazni mempunyai lima, dam aku menepati yang selebihnya. Kedua-dua kami
menyempurnakan dan mewarnai hidupnya. Lagipun, Allah memberi kelonggaran untuk
lelaki memiliki lebih dari seorang isteri. Kebetulan, dia adalah lelaki yang kaya
dengan kasih sayang. Itu antara guraunya waktu itu. Katanya lagi, dia serius mahu memperisterikan aku
dan pada waktu yang sama tidak pernah terniat mahu menceraikan isterinya. Namun,
dia mahu perkahwinan itu dilakukannya secara rahsia.
“ Kau setuju waktu itu?” Soal
Mimi. Dia menguap, entah untuk kali yang
ke berapa.
Aku mengangguk. “ Aku jadi makin
sayang padanya. Adakala aku cuba menduga hatinya. Aku ugut mahu bersemuka
dengan Kak Mazni. Tapi dia melarang. Kesian katanya. Dia tak sanggup melukakan
hati Kak Mazni.”
“ Dia cuma ayatkan kau aja
agaknya…” komen Mimi.
Aku geleng kepala. “ Aku yakin
dia serius. Kami sudah merancang untuk ke sempadan dan berkahwin di sana. Namun
apa yang terjadi sehari sebelum tarikh tu, buat aku berfikir semula dan
mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Menghilangkan diri sebenarnya.”
“ Kau suka buat aku
tertanya-tanya… ceritakan ajalah!” Dia membeliakkan matanya.
Aku senyum. Merenung Mimi. “ Kau
nampak tadi, kaki Kak Mazni cacat, kan!” Soalku, Mimi mengangguk. Aku menghela nafas
lalu menggelengkan kepala. “ Dia jadi begitu, sebab nak selamatkan aku dari
dilanggar. Dia tak sempat ke tepi dan dia yang menerima akibatnya. Semuanya
terjadi di depan tempat aku bekerja.”
Mimi membetulkan sandarnya. Dia
memandang aku, sayu. “ Kau korbankan perasaan kau kerana membalas budinya? Kau
pergi sebab kau tak mampu undurkan diri selagi kau asyik bertemu Tajul? Ya lah!
Dia kan pakar ayat perempuan!” Aku mengangguk kerana tekaan Mimi itu memang
betul.
“ Tapi aku rasa, kau sebenarnya telah
menyelamatkan diri kau dari lelaki seperti Tajul. Tengoklah! Hari kita jumpa
dia tu… dia keluar dengan perempuan cantik, kan!”
Aku mengangguk. Walaupun aku
tahu aku masih belum mampu melupakan dia sepenuhnya. Namun aku yakin… aku
sudah melakukan perkara yang betul untuk diri aku sendiri, dan untuk Kak Mazni
juga.
“ Kau tahu, hingga hari ini, aku
tak pernah sangsikan kasih-sayang dia pada aku. Melihat cara dia memandang aku
hari itu, bagaimana dia mencari aku… aku tahu, dia juga masih gagal melupakan aku.
Tapi, aku tak akan berpatah balik. Aku tak mahu merampas kasih sayang Kak
Mazni. Dia wanita yang baik dan aku rasa dia juga wanita yang tabah. Hari ini, lepas lihat semua tu, aku rasa aku
juga tak cukup kuat untuk menerima perangai Tajul yang begitu. Perangai lelaki
yang sarat kasih sayangnya.” Aku tergelak di hujung ayat.
Mimi turut ketawa. Dia menguap lagi.
Matanya berair kerana menahan rasa mengantuk. Dia bangun menunjuk ke arah bilik
tidurnya. Aku hanya mengangguk. Aku sudah tak berhutang apa-apa cerita
dengannya. Segalanya sudah diketahuinya.
*****
MIMI MEMELUK AKU ERAT. Dia mencium
pipiku di kiri dan kanan lalu memegang bahuku.
“ Lepas ni, kau tak akan datang
sini lagilah?” Soalnya. Aku menangguk. “ So, akulah yang terpaksa ke sana nampaknya.”
Dia mengerutkan muka.
“ Kalau aku jumpa orang yang
boleh curi hati aku, boleh buat aku lupakan Tajul, aku tak kisah untuk datang.
Tapi lambat lagilah nampaknya.” Gurau aku.
“ Aku akan sentiasa doakan kau.
Kau cantik, mesti ramai yang sukakan kau. Masalahnya, selama ini, kau yang
tutup hati kau. Sekarang, kau dah nampak apa yang lebih baik untuk hidup kau.
Aku yakin… aku yakin…” Mimi mengangguk-angguk kepala. Dia melepaskan bahu aku.
Meraih tangan aku lalu menggenggam erat.
“ Bas dah nak jalan. Aku naik dulu.”
Dia mengangguk. Melepaskan tanganku.
Aku angkat tangan, separuh melambai. Pantas aku menapak naik menuju tempat
dudukku.
Hmm… nampaknya ada lelaki di
tempat duduk sebelah. Dia tersenyum. Aduhai! Ada lesung pipit. Aku membalas
senyumannya sebelum melabuhkan punggong. Aku kurang gemar dengan orang yang
terlebih ramah. Harap-harap dia bukan spesis yang begitu. Kalau ya pun, aku harap sangat, dia tidak mengajak aku berbual sepanjang jalan.
“ Nak ke mana?” Soalnya.
“ Sungai Petani.” Jawab aku.
“ Bagus tu. Destinasi kita sama.
Saya tak pernah ke sana. Ini kali pertama.” Sambungnya lagi. Aku hanya senyum.
Tidak berminat mahu jadi penunjuk jalan atau apa saja untuk dia. Sungai Petani
bukanlah besar sangat. Aku yakin dia boleh hidup tanpa pertolongan aku. Biarlah
kalau dia mahu kata aku sombong.
Menerima layanan dingin dari aku
membuat dia terdiam sebentar. Namun tidak lama sebelum satu soalan lagi
mencecah telinga aku…
“ Awak dah kahwin ke? Maaf kalau
saya terlebih ramah.”
Aku geleng kepala.
“ Single?”
Aku mengangguk memandangnya. Dia tersenyum.
Lesung pipit itu semakin jelas.
“Macam tak percaya wanita cantik macam
awak masih single.” Makin galak dia bercakap.
“ Ramai orang tak percaya saya masih
sendiri sebab saya cantik. Tapi saya cakap… sebab saya cantiklah saya tak mahu beri
hati saya kepada sebarang lelaki hanya untuk ditipu, dilukai, disakiti dan dikecewakan.” Entah kenapa, ringan benar mulut aku memberikan jawapan begitu. Sedangkan, aku baru saja bertemu dengannya.
Dia tersenyum lagi. “ Kalau begitu,
saya rasa… awak telah bertemu orang yang betul. Saya seorang doktor, selain merawat
penyakit hati, saya juga boleh merawat dan menjaga hati awak. Itupun kalau awak
benarkan.” Dia ketawa sebaik menghabiskan ayat. “ Jangan marah ya! Saya cuma bergurau.
Saya Doktor Izlan. Bakal bertugas di Hospital Sungai Petani. Selamat berkenalan.
”
Aku terkedu. “ Saya Umaira. Saya cuma
supervisor kecil di Guardian Pharmacy. Dan dia ketawa mendengar jawapanku. Entah
kenapa, aku jadi suka melihat gayanya yang bersahaja. Mungkinkah aku patut membuka
ruang untuk sesuatu yang lebih bermakna…
6 comments:
cerita yang menarik, tapi kenapa suka menghina diri dengan kata "supervisor cabuk!, mcm tidak berterima kasih dgn. rezeki yang tuhan berikan... sekadar pendapat
Hehe.. anonymous, dah agak ada orang akan komen. Saya cuma tulis ikut cara budak2 sekarang bercakap. Kalau nak banding dengan status doktor, kira kerja dia tu kureng sikit. Nanti ada supervisor Guardian yang marah kat saya... niaya...
Ya ampuuunnnnnn! Peace no war...
Untuk anonymous.. lupa nak say thanks atas teguran. Saya akan berhati-hati nanti....
Dah lama tak menulis cerpen cinta. Cerpen Kak Packy bagaikan megasak-asak semula perasaan tu. Hehehe.
Nor suka cerita ni. Best! Lepas ni bolehlah kita berjiwang karat bersama-sama ya. Hahaha.
Nor, haha... mood tengah ada, idea tengah mari, tangan pulak tengah laju.. jadi belasah aja...
Tulih, jangn tak tulih. Kita asah bakat yang tak seberapa nie... jiwang berkarat... muahahaha...
meakutkan betol org yg telebih kasih sayang ni..hehe
Post a Comment